Home Berita PAS Perlis

Persiapkan Jentera Hadapi Pilihan Raya

1362
SHARE

Oleh : Muhammad Hadi

KANGAR : Seluruh jentera PAS diarah agar bersiap sedia bagi menghadapi pilihan raya umum yang akan berlangsung tidak lama lagi, demikian tegasan yang dibuat oleh Ustazah Nuridah Salleh ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS
Kawasan Kangar pada 24 Mac yang lalu.

Katanya, sebagai sebuah gerakan Islam yang memilih pendekatan secara damai (muwajahah silmiyyah) menerusi pendekatan demokrasi pilihanraya, PAS perlulah memiliki jentera pilihan rayanya yang tersusun serta bersedia untuk melakukan gerak kerja pilihan raya.

Menurutnya lagi, PAS mempunyai tanggungjawab yang sangat besar dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti iaitu mengembalikan semula kuasa politik Umat Islam di samping mewujudkan sebuah kerajaan yang mampu mengurustadbir negara dengan adil dan baik.

Justeru katanya, kerja-kerja menarik sokongan rakyat perlulah dilaksanakan dengan terancang dan efektif oleh jentera pilihan raya PAS menerusi program-program bersama pengundi serta aktiviti-aktiviti penerangan.

Mengulas lanjut, beliau berkata jentera penerangan hendaklah memperbanyak aktiviti menerang, bukan menyerang, melalui seluruh medium penerangan yang ada secara proaktif, bagi memberikan kefahaman yang jelas kepada para pengundi berkenaan agenda-agenda parti bagi memastikan mereka mengundi PAS dalam pilihan raya nanti.

“Laksanakan pendekatan dengan hikmah untuk menarik pengundi di luar sana, pengundi atas pagar dan mereka yang fobia atau kecewa dengan kacau bilau politik dalam negara kita supaya (mereka) bersama dengan PAS dan seterusnya mengundi PAS dalam pilihan raya.

“Kita mestilah menguasai media massa dengan memperbanyakkan menerang bukan menyerang, banyakkan menceritakan kejayaan serta sumbangan PAS kepada masyarakat serta menjelaskan prinsip dan halatuju perjuangan PAS kepada pengundi,” ujarnya.

Menyentuh isu golongan muda yang dilihat kurang minat dengan politik, beliau yang juga Ketua Muslimat PAS Malaysia mengingatkan agar isu tersebut ditangani dengan segera memandangkan peratus golongan muda yang layak mengundi adalah tinggi.

Beliau menyarankan supaya golongan terbabit disantuni menerusi program-program berbentuk kebajikan yang menurutnya, mampu mendekatkan golongan tersebut dengan PAS.

“Apa yang membimbangkan kita adalah undi protes golongan yang tidak tahan dengan kecamukan politik dan mereka yang tidak merasakan kepentingan mengundi, khususnya 40 peratus pengundi anak muda.

“Mereka ini kita perlu tangani dan santuni menerusi program-program berbentuk kebajikan serta ziarah rumah ke rumah oleh calon dan jentera kita, menghulurkan bantuan dan sentuhan kepada mereka,” jelasnya.