Home Berita PAS Selangor

Permohonan moratorium dibuka hari ini – Pengarah JAMN Selangor

124
SHARE

“Beramal Kerana Allah” | Jabatan Amal Malaysia Negeri Selangor

Oleh : Tn Shehdi Hazrik Shamsudin
Pengarah Jabatan Amal Malaysia Negeri Selangor

Artikel | Merujuk kepada pengumuman Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) oleh YAB Perdana Menteri Malaysia minggu lepas, hampir seluruh institusi kewangan negara hari ini sudah membuka permohonan bantuan insentif bayaran balik Pinjaman atau Pembiayaan bank.

Salah satu bantuan yang diumumkan adalah pemberian “Moratorium 6 bulan” atau Penangguhan bayaran balik bagi pinjaman atau pembiayaan betempoh “Term Loan / Financing” termasuklah sewa beli kenderaan, kredit kad dan sebagainya.

Bantuan ini adalah satu inisiatif oleh pihak Bank dalam membantu peminjam atau pelanggan yang menghadapi kesulitan kewangan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dikuatkuasakan seluruh negara.

Berbeza dengan moratorium ketika PKP1.0 PRIHATIN yang diberikan secara automatik 6 bulan tanpa perlu membuat permohonan dan PKP2.0 PENJANA dimana pemberian Moratorium secara Bersasar dan atas permohonan dan kelulusan pihak bank, kali ini di bawah PKP3.0 di bawah PEMULIH ia diberikan melalui permohonan namun kelulusan adalah secara automatik atau pasti lulus.

Kali ini para peminjam atau pelanggan bank boleh memilih sama sama ada memohon untuk mendapatkan Enam (6) bulan Moratorium, iaitu penangguhan pembayaran atau 50% pengurangan ansuran bulanan untuk tempoh enam (6) bulan, dan juga tawaran Pengstrukturan semula Pinjaman/Pembiayaan Kadar tetap.

Sebagaimana pengumuman pelan PEMULIH mereka yang layak memohon adalah Individu sama ada B40, M40 atau T20, Perusahaan Mikro dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME) yang yang terjejas pendapatan sepanjang PKP ini.

Walau bagaimanapun ia juga tertakluk kepada beberapa syarat yang ditetapkan oleh pihak bank dimana hanya Pembiayaan atau pinjaman yang diluluskan sebelum atau pada 30 Jun 2021 dan tidak ada tertunggak selama lebih dari 90 hari atau individu yang sedang melalui proses kebankrapan, atau perniagaan yang di dalam proses penggulungan syarikat.

Perkara penting yang pelanggan atau peminjam perlu tahu bahawa inisiatif ini tidak akan menjejaskan status Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) anda dan untuk maklumat lebih khusus dan tepat sila hubungi pihak bank atau laman sesawang bank anda.

Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor