Home Berita PAS Selangor

Jangan robohkan perpaduan ummah ini lantaran kesilapan kita – Setiausaha BPPN Selangor

55
SHARE

May be an image of one or more people and people standing

Nadi Selangor by Roslan SMS | Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor

Oleh : Tuan Hj Roslan Shahir Dato Mohd Shahir
Setiausaha Badan Perhubungan PAS Selangor

Artikel | Mesyuarat Jemaah kabinet telah memutuskan yang Parlimen akan bersidang sebelum pengisytiharan Darurat tamat iaitu sebelum 1 Ogos tahun ini. Dengan pengumuman ini redalah segala tuntutan agar Parlimen segera bersidang.
Sudah pasti dalam kita menggalas beban pandemik Covid 19 ini rakyat mahukan sesuatu yang positif dihasilkan melalui persidangan Parlimen kali ini.

Bincang dan bawalah perkara-perkara yang boleh memanfaatkan kehidupan rakyat dan negara. Jangan digunakan pula Parlimen nanti sebagai gelanggang memaki hamun, melepaskan geram dan dendam, kerana dalam keadaan tenat ini rakyat tidak minat melihat atau mendegar aksi biadap dan tidak bertamdun apatah lagi dari wakil-wakil rakyat.

Ini bukan masanya berpolitik dan menuding jari, terbitlah dengan idea dan cadangan yang bernas dan boleh membantu memulihkan kehidupan dan masadepan semua. Itu yang rakyat nanti-natikan bukannya drama dan aksi jerit-pekik yang langsung tiada kesan buat situasi hidup rakyat masa kini.

Veteran DAP Lim Kit Siang yang juga ahli Parlimen Iskandar Puteri sebagai contoh dalam posting nya di Facebook mengajak rakyat agar keluar dari trajektori atau landasan kerajaan gagal sebagaimana rakyat berjaya terbit keluar dari trajektori kleptokrasi dalam PRU ke 14 tahun 2018.

Kononnya beliau melonggokkan masalah pandemik yang kita hadapi ini terhadap kerajaan semata-mata. Inikah sahaja yang mampu difikirkan oleh seorang ahli Parlimen yang berpenggal-penggal duduk di Parlimen? Bagaimana dengan negeri-negeri PH? Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang jauh lebih baikkah mengurus pandemik ini berbanding yang lain?

Menuding jari dan menyalahkan pihak lain memang satu perangai dan sikap PH yang terkenal sepanjang 22 bulan pemerintahan mereka. Sikap sebegini sesungguhnya bukanlah suatu penyelesaian yang boleh membantu kita terbit dari kemelut yang sedia ada.

Sepatutnya beliau mengenepikan perbezaan politik disaat negara berhadapan dengan cabaran ini. Galakkan rakyat agar mendaftar seramai mungkin untuk mengambil vaksin, sarankan pematuhan SOP dan galakkan tabiat norma baru yang perlu menjadi amalan baru dalam kehidupan semua.

Tetapi tidak, bagi beliau DAP dan PH inilah masanya untuk mengambil kesempatan. Disaat kehidupan rakyat yang tidak menentu, inilah masanya untuk membakar api kemarahan rakyat, tuduh dan salahkan kerajaan dengan harapan ianya dibenci rakyat dan jatuh lalu kembali berkuasalah PH dikepalai beliau, anak-anak dan pendukungnya.

Mereka bukannya mahu menyumbang ke arah merobah nasib dan masadepan rakyat dan negara tetapi yang lebih utama dan penting buat mereka adalah merampas kuasa dan naik kembali memerintah setelah jatuh tergolek angkara perletakkan jawatan Tun Dr Mahathir dahulu. Rakyat perlu sedar dalam kita sibuk fokus menghadapi dugaan ini, mereka pula sibuk mahu naik berkuasa.

Apakah perubahan kuasa diketika ini yang dikehendaki rakyat? Apakah sekiranya jatuh kerajaan ini rakyat akan menerima dengan tangan terbuka PH atau apa sahaja pakatan politk yang mereka bawa sedangkan PH ini dahulu ketika berkuasa selama 22 bulan telah gagal menepati janji-janji manifestonya, menipu rakyat demi mahu berkuasa.

Demikianlah juga kita dengar, semoga ianya tidak jadi begitu kononnya ada langkah dalaman yang mahu merobohkan kerajaan yang ada ini. Umno yang merupakan parti yang menjadi nadi kepada kekuatan kerajaan PN hari ini khabarnya mahu menarik diri dari kerajaan tanggal 1 Ogos ini.

Penarikan diri itu dibuat kerana Umno tidak lagi dapat menerima dan berkerjasama dengan PPBM parti pimpinan Perdana Menteri.

Jika Umno benar-benar bertindak untuk tarik diri dari kerajaan ini, kerajaan majoriti Melayu Islam yang terbentuk buat pertama kali dalam sejarah, maka tidak syak lagi kerajaan ini akan roboh dan mustahil boleh naik kembali kerajaan seumpama ini. Akibatnya kembali tergugat dan terancamlah nasib anak bangsa lantaran kesilapan kita.

Disaat rakyat menunggu-nunggu akan berjaya dan berkesannya Pelan Pemulihan Negara untuk memerangi pandemik ini yang mampu menyelamatkan semua untuk kembali kepada kehidupan sebagaimana sebelum ini, tiba-tiba dimaklumkan yang Umno mahu keluar dari kerajaan yang akan memaksa kerajaan ini roboh dan berkemungkinan naik dan berkuasa kembali PH. Lalu cemas dan bimbang rakyat khasnya umat Melayu Islam, jangan sampai mereka memusuhi kita.

Jika Kit Siang menuduh kerajaan ini gagal, itu kerana Kit Siang berangan-angan untuk kembali berkuasa, sesuatu yang tidak akan diizinkan umat Melayu Islam. Tetapi mengapa Umno mahu bertindak sedemikian juga? Bukankah peperangan menghadapi pandemiki ini membariskan Menteri-menteri Umno di barisan hadapan, dengan rekod yang cemerlang dan disegani serta dipandang tinggi rakyat.

Menteri Kanan Keselamatan, Menteri yang bertanggungjawab darihal program vaksinasi negara, Menteri Kesihatan semua dari Umno belaka. Dan suka atau tidak terbukti mereka telah berjaya mengharumkan nama Umno terutama diwaktu pandemik ini.

Begitu juga dengan Menteri-menteri dan Timbalan-timbalan Menteri Umno yang lain, begitu juga Pengerusi-pengerusi GLC dari Umno hari ini samada di TNB, di FELDA, di PUNB dan lain-lain semuanya memiliki rekod prestasi yang baik yang menjadi kebangaan umat Melayu dewasa ini dan sudah pasti menaikkan nama Umno di mata semua.

Sekiranya ada perbezaan pandangan, perselisihan dan tidak puas hati, demi nasib dan masa depan ummah, uruskanlah ia dengan berhemah, bijak dan matang. Kerajaan ini sesungguhnya batu loncatan untuk kebangkitan kembali kuasa politik Melayu Islam yang akan memayungi negara dan menyemarakkan keadilan dan kesaksamaan buat semua mengikut tradisi dan status quo yang ada.

Jangalah kerana kepentingan lain kita tergamak menggadaikan segalanya dan akhirnya kembali terhimpit dan terancam kedudukan bangsa dan agama kita.

Pihak musuh menanti-nanti dengan penuh nafsu untuk meroboh dan menggagalkan kita. 22 bulan pemerintahan PH sewajarnya menjadi iktibar yang cukup besar buat kita jangan lagi izinkan ianya kembali berkuasa.

Semua pihak perlu berlapang dada, disaat inilah sebagaimana menghadapi pandemik ini kita mahukan rakyat berkorban maka dalam bab politik semasa juga kita masing-masing perlu sedia berkorban kerana yang mahu kita pertahankan adalah maruah kita sendiri bukannya orang lain. Semoga semua pihak dapat bertindak dengan bijak, apa pun kembalilah ke meja perundingan sebagaimana berundingnya orang-orang besar Melayu dizaman dahulu. Muafakat membawa berkat itulah ungkapan berupa pesanan yang kita warisi turun temurun.

Umno diyakini tidak akan sesekali berkerjasama dengan DAP atau suku-sakatnya. Lantas kembalilah berunding mengikut jajaran perpaduan ummah agar persafahaman dan muafakat politik dapat terjalin berteraskan agama dan menghormati adat budaya bangsa.

Biarkan musuh terus mengigit jari, rakyat tidak mahukan PH kembali berkuasa. Masadepan Malaysia adalah bersama politik perpaduan ummah dan tidak yang lain.

Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor