Home Kenyataan Media Dewan Muslimat PAS Malaysia

Perkukuh PN: Utama Kestabilan Politik, Kesejahteraan Negara

390
SHARE

Perkukuh PN: Utama Kestabilan Politik, Kesejahteraan Negara

1. Dewan Muslimat PAS Malaysia sentiasa mendokong agenda perjuangan PAS dengan memberikan sokongan padu kepada pucuk pimpinan PAS melalui gabungan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8.

2. Terkini di Kedah, majlis angkat sumpah menteri besar baharu akan berlangsung dalam masa terdekat setelah seramai 23 ADUN yang mengisytihar hilang kepercayaan terhadap Dato’ Seri Mukhriz Mahathir selamat mengadap Tuanku Sultan Kedah,10.00 pagi hari ini. Dengan pengisytiharan itu, menjadikan kedudukan PH Kedah 13 kerusi dan hilang majoriti.

3. Jika melihat peralihan kerajaan baru-baru ini yang melibatkan beberapa buah negeri antaranya Johor, Melaka dan Perak yang sudah bernaung di bawah kerajaan Perikatan Nasional, ternyata ia tidak berpenghujung pada tiga buah negeri tersebut, malah kerajaan PN akan terus diperkukuh dengan pembentukan kerajaan PN Kedah.

4. Meskipun kerajaan PH menang dan membentuk kerajaan dalam PRU-14 lalu, namun pemerintahannya selama tempoh 22 bulan itu cukup memberi kesan kepada rakyat khususnya Melayu dan Bumiputera. Walaubagaimanapun, hingga hari ini PH dilihat masih tidak menerima hakikat kejatuhan kerajaan mereka sendiri melalui peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri Malaysia ke-7 ketika itu.

5. Menyedari hakikat itu, PH dinasihatkan agar tidak mendabik dada bahawa mereka masih mendapat sokongan rakyat untuk kembali menaiki takhta kerajaan Malaysia. Di samping itu, rakyat dapat menilai wajah sebenar PH dengan perancangan membahaskan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri dalam sidang Dewan Rakyat 18 Mei 2020 akan datang meskipun negara sedang menghadapi krisis COVID-19 ini.

6. Marilah kita semua mengambil ibrah yang tercatat di dalam Surah Sad : ayat 26,

يَٰدَاوُۥدُ إِنَّا جَعَلۡنَٰكَ خَلِيفَةٗ فِي ٱلۡأَرۡضِ فَٱحۡكُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ بِٱلۡحَقِّ وَلَا تَتَّبِعِ ٱلۡهَوَىٰ فَيُضِلَّكَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِۚ إِنَّ ٱلَّذِينَ يَضِلُّونَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ لَهُمۡ عَذَابٞ شَدِيدُۢ بِمَا نَسُواْ يَوۡمَ ٱلۡحِسَابِ

Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan (hukum syariat) yang benar (yang diwahyukan kepadamu); dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu.

7. Dewan Muslimat PAS Malaysia berharap, agar pembentukan kerajaan PN Kedah dapat terus memelihara landskap politik negara dengan mengamalkan kestabilan dan kesejahteraan dalam berpolitik. Tuntasnya, semoga kerajaan PN terus komited menjalankan tanggungjawab kepada rakyat dan negara dengan baik dari semasa ke semasa.

“Islam Memimpin, Wanita Sejahtera”

Dr Najihatussalehah binti Ahmad
Ketua Penerangan
Dewan Muslimat PAS Malaysia.
15 Mei 2020 | 22 Ramadan 1441H