Home Artikel Dewan Muslimat PAS Malaysia

Perkukuh Perikatan Nasional Demi Islam

988
SHARE

Perkukuh Perikatan Nasional Demi Islam

Putrajaya : Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM), YB Senator Ustazah Nuridah diiringi Naib Ketua, Puan Salamiah Mohd Nor dan Setiausaha, Dr. Nurul Hani Ali mengadakan sesi kunjung hormat ke Pejabat Menteri Pengajian Tinggi, YBM Dato’ Dr. Noraini Ahmad. Turut hadir dalam sesi ini Pengarah Strategik dan Pengurusan Risiko DMPM, Ustazah Wan Hasrina Wan Hassan dan Pengerusi Lajnah Pendidikan DMPM, Dr. Azimah Ibrahim.

YB Menteri menjelaskan usaha-usaha yang telah dilakukan oleh KPT dengan kerjasama pihak Kolej dan Universiti bagi membantu mahasiswa yang masih terkandas selepas arahan PKP dikeluarkan, antaranya menyediakan bekalan makanan, perkhidmatan kaunseling serta menghantar pulang mahasiswa ke kampung halaman masing-masing dengan selamat.

Selari dengan hasrat pihak KPT untuk memastikan tahap kebolehpasaran mahasiswa terus meningkat di zaman pasca Covid-19 ini, pihak Dewan Muslimat PAS mencadangkan agar pihak KPT menyediakan garis panduan pembelajaran secara atas talian agar dapat menggarap kebijakan sosial (social intelligence) dan kepimpinan yang sangat penting sebagai persediaan mahasiswa dalam menghadapi era ekonomi baharu ini.

Dewan Muslimat PAS juga mengharapkan agar KPT merangka polisi demi memperkasakan program modal insan kepada mahasiswa IPTA dan IPTS sama ada yang tinggal di kolej mahupun luar kampus dengan mewajibkan program kokurikulum bimbingan agama dan nilai (values) sebagai usaha memperkukuh jati diri dan minda para pelajar yang bakal mewarisi kepimpinan negara kelak.

Program sebegini sangat bertepatan dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang menekankan usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

Selain itu, Dewan Muslimat PAS berharap agar Subjek Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS) diwajibkan semula di IPTA dan IPTS selari dengan matlamat FPK iaitu melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.

Pada akhir pertemuan, kedua-dua pucuk tertinggi pimpinan wanita sayap parti masing-masing telah bersepakat dan bersetuju untuk terus berusaha bagi mengekalkan dan mempertahankan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) bagi kelangsungan Islam dan kebaikan seluruh rakyat Malaysia umumnya. Di samping agenda memperkukuh Muafakat Nasional (MN) yang telah dibentuk pada September tahun lepas terus menjadi agenda utama parti.