Home Berita Dewan Muslimat PAS Malaysia

Perkasakan Agenda 30% Wanita sebagai Pembuat Dasar

1950
SHARE

Perkasakan Agenda 30% Wanita sebagai Pembuat Dasar

PUTRAJAYA : Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) yang diketuai YB Senator Ustazah Nuridah binti Mohd Salleh telah mengadakan Kunjungan Hormat ke Pejabat Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bagi membincangkan hal-hal berkaitan kesejahteraan wanita dan keluarga. Rombongan telah diraikan dengan mesra oleh Menteri, YB Datuk Seri Rina binti Mohd Harun dan Timbalannya YB Dato’ Siti Zailah binti Mohd Yusoff serta pegawai-pegawai kementeriannya.

Perbincangan interaktif dua hala mendapat kata sepakat antara pihak Dewan dan Kementerian tentang beberapa isu antaranya, perihal memperkasakan wanita dan keluarga yang mesti diberikan perhatian dan dilaksanakan sewajarnya mengikut modul dan pengisian yang khusus.

Selain itu, keberadaan sejumlah 30% wanita sebagai pembuat dasar juga mesti diangkat semula menjadi agenda bukan sahaja dalam Kabinet Kerajaan, malah di semua sektor dan agensi kerajaan termasuklah parti-parti politik. Hal ini ditegaskan oleh Ketua Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik KPWKM, Tuan Chua Choon Hwa;

“Sekarang hanya 10% wanita sebagai pembuat dasar. Kita mahukan 30% wanita supaya suara mereka didengari dan diangkat.”

Seterusnya, DMPM berbesar hati untuk mengadakan hubungan strategik secara langsung bersama Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) melalui penubuhan JPW yang bakal diwujudkan di peringkat daerah sebagaimana peranan JKM, bagi mengoptimumkan peranan wanita dari semua komponen parti di setiap daerah .Secara tidak langsung usaha ini adalah diharapkan dapat bagi membantu memperkasakan JPW.

Di samping membincangkan isu pemerkasaan wanita, pihak DMPM juga mencadangkan supaya aspek pembinaan kaum lelaki sebagai ketua keluarga mesti diberikan penekanan dan dijadikan salah satu agenda kerana terlalu banyak masalah keluarga termasuk keganasan rumah tangga berlaku tidak dinafikan berpunca dari kaum lelaki.

Di akhir perbincangan, YB Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengucapkan tahniah atas inisiatif DMPM menubuhkan Gerakan Wanita Sejahtera sebagai pelengkap bersama bagi mengekalkan kesejahteraan kaum wanita terutamanya.

Pertemuan selama hampir dua jam turut dihadiri oleh Timbalan Ketua, Dr Rosni binti Adam, Naib Ketua, Puan Salamiah binti Mohd Nor serta beberapa orang lagi Ahli Jawatankuasa DMPM.