Home Minda Presiden

Perjuangan menangani Covid-19 belum selesai

130
SHARE
Minda Presiden PAS

PERJUANGAN MENANGANI COVID-19 BELUM SELESAI


Sehingga kini, belum ada negara dalam dunia yang boleh mendabik dada sudah berjaya menghadapi penularan wabak pandemik Covid-19, namun tidak ada yang berputus asa.

Kini, muncul pula pelbagai varian baru yang dikatakan paling berbahaya seperti varian Delta dan lain-lain bentuk. Malah, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sendiri telah memberikan amaran kepada semua negara supaya bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Hanya mereka yang masih gila berpolitiking membuat kenyataan bahawa Malaysia sudah gagal menangani wabak Covid-19, seolah-olah mereka berada di planet lain bukan di alam bumi. Hal ini disebabkan oleh nafsu politik angkuh mereka terlalu tinggi dan sangat rakus mahu berkuasa, sehingga mendabik dada dalam menyelesaikan masalah seperti apa yang dijanjikan dalam manifesto PRU-14 dahulu.

Mereka masih ingin mengaku boleh menyelesaikan semua masalah dalam sekelip mata sahaja, sehingga sanggup merempuh keadaan paling mencabar yang masih dihadapi oleh mereka yang berada di barisan hadapan.

Pasukan barisan hadapan berusaha penuh gigih dengan mengambil langkah pencegahan khususnya meningkatkan jumlah suntikan vaksin dengan seluas-luasnya bagi menyelamatkan rakyat, serta memberikan kefahaman akan kepentingannya kepada seluruh rakyat.

Namun, sikap mereka yang terlalu berpolitiking mendakwa bahawa kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia yang melaksanakan tugas secara langsung melaporkan angka statistik penularan wabak Covid-19, dianggap sebagai berpolitik. Walaupun pihak yang melaporkan angka statistik tersebut wajib berterus terang, tidak boleh menyembunyikan realiti atau kenyataan sebenar yang berlaku di lapangan.

Selain itu, terdapat juga mereka yang berani mencabar pihak yang menunaikan kewajipan menangani wabak ini, seperti orang buta memarahi orang yang menolongnya untuk menyeberangi jalan yang sibuk dan lalu lintas yang berbahaya. Sepatutnya berterima kasih kerana ada orang yang menolongnya, tetapi dibalas dengan maki hamun, seolah-olah tiada pertimbangan akal yang sihat, sudahlah matanya pula buta.

Kepada mereka yang dimaki, mudah-mudahan mendapat pahala percuma, manakala mereka yang memaki mendapat dosa dengan mudah. Jika bernasib malang, mereka boleh menghadapi hukuman atau tindakan undang-undang, bersekali dengan dosa, kerugian di dunia dan di akhirat jika tidak meminta maaf dan bertaubat.

Beberapa buah negara telah mengisytiharkan darurat secara menyeluruh atau terhad, apabila keadaan semakin parah dan mengambil tindakan yang pantas. Bukan sahaja menghadapi wabak, termasuk juga terpaksa berusaha untuk menyelesaikan kesan sampingan terhadap kehidupan rakyat.

Dalam keadaan yang mencabar seperti ini, peranan semua pihak adalah wajib bagi menyelamatkan keadaan secara bersama dan menolak segala kepentingan peribadi, puak dan kumpulan. Di sinilah pentingnya memelihara perpaduan dan permuafakatan yang sedia terjalin bagi meredakan ketegangan dan mewujudkan kestabilan politik dalam negara.

Islam juga melarang para penganutnya daripada berputus asa. Kita perlu membuat perbandingan dengan apa yang pernah dilakukan oleh Nabi Ayyub AS ketika diuji dengan penyakit, apabila menghadapinya dengan penuh kesabaran.

Kita perlu menyedari betapa masa sihat dan senang itu lebih panjang berkali ganda daripada masa sakit dan bencana. Namun, ramai dalam kalangan manusia yang lupa akan masa sihat yang panjang untuk bersyukur, sehingga lupa untuk bersabar ketika susah dalam masa yang lebih singkat.

Rasulullah SAW meminta supaya kita sentiasa bersyukur apabila senang dan sihat supaya mendapat kelebihan dalam semua keadaan, serta bersabar apabila menghadapi kesusahan dan bencana. Di samping itu, mendapat kelebihan apabila berikhtiar dengan ilmu dan akal yang dikurniakan oleh Allah SWT. Sabdanya:

‌عَجَبًا ‌لِلْمُؤْمِنِ، ‌لَا ‌يَقْضِي ‌اللَّهُ ‌لَهُ ‌قَضَاءً ‌إِلَّا ‌كَانَ ‌خَيْرًا ‌لَهُ، ‌إِنْ ‌أَصَابَتْهُ ‌ضَرَّاء ‌صَبَرَ ‌فَكَانَ ‌خَيْرًا ‌لَهُ، ‌وَإِنْ ‌أَصَابَتْهُ ‌سَرَّاء ‌شَكَرَ ‌فَكَانَ ‌خَيْرًا ‌لَهُ.

“Sungguh mengagumkan bagi seseorang yang beriman. Tiadalah ujian yang Allah timpakan kepadanya melainkan memberi kebaikan (pahala) kepadanya. Sekiranya dia mendapat kebaikan, dia bersyukur, maka itu kebaikan baginya. Sekiranya ditimpa ke atasnya perkara yang menyusahkannya, lalu dia bersabar, maka kebaikan baginya.” (Riwayat Muslim 2999)

Allah SWT mengharamkan bagi seseorang yang beriman daripada berputus asa dalam menghadapi ujian hidup di dunia. Firman-Nya:

﴿…وَلَا تَيْأَسُوا مِنْ رَوْحِ اللَّهِ إِنَّهُ لَا يَيْأَسُ مِنْ رَوْحِ اللَّهِ إِلَّا الْقَوْمُ الْكَافِرُونَ٨٧﴾

“…Dan janganlah kalian berputus asa daripada rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tiada yang berputus asa daripada rahmat dan pertolongan Allah itu, melainkan kaum yang kafir.” (Surah Yusuf: 87)

Maka secara tegas haram bagi mereka yang beriman bersikap tidak sabar apabila menghadapi bencana, kerana tidak redha dengan ujian Allah SWT dan tidak mengambil peluang untuk mendapat kelebihan bersabar sepertimana yang dijanjikan. Firman Allah SWT:

﴿وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنْفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ١٥٥ الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُمْ مُصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ١٥٦ أُولَئِكَ عَلَيْهِمْ صَلَوَاتٌ مِنْ رَبِّهِمْ وَرَحْمَةٌ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُهْتَدُونَ١٥٧﴾

“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kalian dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan daripada harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang bersabar. (155); (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu musibah, mereka berkata: ‘Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.’ (156); Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan pelbagai keberkatan daripada Tuhan mereka serta rahmat-Nya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya. (157).” (Surah al-Baqarah: 155-157)

Segala usaha dan perjuangan untuk menangani Covid-19 oleh pihak pemerintah perlu didukung bersama tanpa berputus asa dan hendaklah bertolong-menolong bagi menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN), demi menjaga nyawa seluruh rakyat tanpa mengira perbezaan agama, bangsa dan fahaman politik.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 2 Zulhijjah 1442 / 12 Julai 2021