Home Minda Presiden

Peristiwa hijrah mewajibkan umat Islam berpolitik

218
SHARE

Minda Presiden PAS
PERISTIWA HIJRAH MEWAJIBKAN UMAT ISLAM BERPOLITIK


Firman Allah SWT:

﴿۞إِنَّ ٱللَّهَ يُدَٰفِعُ عَنِ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ كُلَّ خَوَّانٖ كَفُورٍ٣٨ أُذِنَ لِلَّذِينَ يُقَٰتَلُونَ بِأَنَّهُمۡ ظُلِمُواْۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ نَصۡرِهِمۡ لَقَدِيرٌ٣٩ ٱلَّذِينَ أُخۡرِجُواْ مِن دِيَٰرِهِم بِغَيۡرِ حَقٍّ إِلَّآ أَن يَقُولُواْ رَبُّنَا ٱللَّهُۗ وَلَوۡلَا دَفۡعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعۡضَهُم بِبَعۡضٖ لَّهُدِّمَتۡ صَوَٰمِعُ وَبِيَعٞ وَصَلَوَٰتٞ وَمَسَٰجِدُ يُذۡكَرُ فِيهَا ٱسۡمُ ٱللَّهِ كَثِيرٗاۗ وَلَيَنصُرَنَّ ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ٤٠ ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّٰهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ أَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُاْ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُواْ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَنَهَوۡاْ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۗ وَلِلَّهِ عَٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ٤١﴾

“Sesungguhnya Allah membela orang-orang yang telah beriman. Sesungguhnya Allah juga tidak menyukai mereka yang khianat lagi mengingkari ni‘mat-Nya. (38); Telah diizinkan (berperang) bagi orang-orang yang diperangi, kerana sesungguhnya mereka itu telah dizalimi. Dan sesungguhnya Allah, benar-benar Maha Kuasa untuk menolong mereka itu. (39); (Mereka itu) orang-orang yang telah diusir dari kampung halaman mereka tanpa alasan yang benar, kecuali kerana mereka berkata: ‘Tuhan kami hanyalah Allah.’ Dan sekiranya Allah tidak menolak (kezaliman) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentulah telah dirobohkan tempat-tempat pertapaan dan gereja-gereja (orang Nasrani), rumah-rumah ibadat (orang Yahudi), tempat-tempat sembahyang dan masjid-masjid (orang Islam), yang terdapat di dalamnya banyak disebutkan nama Allah. Sesungguhnya, Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya, Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa. (40); (Mereka itu) orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, nescaya mereka itu mendirikan solat, menunaikan zakat, menyuruh berbuat perkara yang ma‘ruf (baik) dan mencegah daripada melakukan perbuatan yang mungkar (buruk); dan kepada Allah jua dikembalikan segala urusan. (41)” (Surah al-Hajj: 38-41)

Berdasarkan ayat di atas, Allah SWT mewajibkan umat Islam agar berpolitik dengan memerintah negara, sehinggakan Islam itu berkuasa memerintah negara masyarakat majmuk. Seterusnya, memimpin umat manusia dengan adil dan aman sejahtera, walaupun masyarakat majmuk itu terdiri daripada berbagai-bagai bangsa dan agama.

Perintah agar menegakkan kuasa politik negara menjadi syarat bagi melaksanakan syariat Allah yang sempurna dan terbaik. Hal ini adalah semata-mata bagi mentadbir urusan dunia berpandukan petunjuk Allah (Islam) yang disebutkan sebagai khilafah.

Perkara inilah yang telah diisytiharkan oleh Allah SWT kepada para malaikat ketika mencipta manusia. Hal ini dijelaskan oleh firman-Nya:

﴿وَإِذۡ قَالَ رَبُّكَ لِلۡمَلَٰٓئِكَةِ إِنِّي جَاعِلٞ فِي ٱلۡأَرۡضِ خَلِيفَةٗۖ قَالُوٓاْ أَتَجۡعَلُ فِيهَا مَن يُفۡسِدُ فِيهَا وَيَسۡفِكُ ٱلدِّمَآءَ وَنَحۡنُ نُسَبِّحُ بِحَمۡدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَۖ قَالَ إِنِّيٓ أَعۡلَمُ مَا لَا تَعۡلَمُونَ٣٠﴾

“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: ‘Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.’ Mereka berkata: ‘Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan berbuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan menyucikan nama-Mu?’ Tuhan berfirman: ‘Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.’” (Surah al-Baqarah: 30)

Khilafah ialah politik mentadbir urusan dunia dengan petunjuk Islam yang menjadi tujuan manusia itu diciptakan oleh Allah SWT, bersama kewajipan agar beribadat mengikut konsep yang luas dalam semua urusan kehidupannya. Segala kewajipan tersebut adalah khusus bagi makhluk manusia sahaja kerana sifat fitrahnya yang tiada pada makhluk yang lain.

Para rasul AS berdakwah tanpa dipisahkan dengan politik bernegara pada zaman masing-masing. Perkara ini menunjukkan bahawa politik itu sebahagian daripada agama Islam yang dianuti oleh para anbiya’ dan rasul AS.

Demi menunaikan kewajipan ini, maka Rasulullah SAW menolak tawaran para pemimpin Musyrikin Makkah yang ingin melantiknya menjadi raja atau pemimpin, bersama kurniaan harta kekayaan tanpa diizinkan untuk melaksanakan Islam. Hal ini sekali gus menunjukkan tindakan yang menafikan adanya politik dalam Islam merupakan suatu pengkhianatan yang sangat besar terhadap amanah Allah SWT dan menderhakai perintah-Nya.

Justeru, demi menunaikan kewajipan tersebut, maka Rasulullah SAW terus bertemu dengan para pemimpin Arab yang datang menunaikan haji semata-mata bagi menghidupkan syiar agama Ibrahim AS yang dipuja oleh semua penganut pelbagai agama. Rasulullah SAW menawarkan janji kemenangan daripada Allah SWT kepada mereka, tetapi ramai dalam kalangan mereka tidak mempercayainya khususnya para pemimpin Makkah. Perkara ini disebutkan oleh firman Allah SWT:

﴿وَقَالُوٓاْ إِن نَّتَّبِعِ ٱلۡهُدَىٰ مَعَكَ نُتَخَطَّفۡ مِنۡ أَرۡضِنَآۚ أَوَ لَمۡ نُمَكِّن لَّهُمۡ حَرَمًا ءَامِنٗا يُجۡبَىٰٓ إِلَيۡهِ ثَمَرَٰتُ كُلِّ شَيۡءٖ رِّزۡقٗا مِّن لَّدُنَّا وَلَٰكِنَّ أَكۡثَرَهُمۡ لَا يَعۡلَمُونَ٥٧﴾

“Dan mereka (yang kafir) berkata: ‘Jika kami mengikuti petunjuk yang kamu bawa itu, nescaya kami dengan serta-merta ditangkap dan diusir dari negeri kami (oleh golongan yang menentang).’ Mengapa mereka (berkata demikian)? Bukankah kami telah melindungi mereka dan menjadikan (negeri Makkah) tempat tinggal mereka sebagai tanah suci yang aman, yang didatangkan ke tempat itu hasil tanaman daripada segala jenis, sebagai rezeki pemberian di sisi Kami? Tetapi kebanyakan mereka tidak memikirkan perkara itu untuk mengetahuinya (serta bersyukur).” (Surah al-Qasas: 57)

Setelah dua suku kaum dari Madinah iaitu Aus dan Khazraj menerima Islam dan berbaiah (memberikan janji  taat setia) untuk berkorban harta dan jiwa raga, termasuk menyerahkan tanah air mereka menjadi tempat pertama menegakkan kewajipan politik negara, maka diwajibkan berhijrah kepada mereka yang berkemampuan. Malah, diwajibkan agar berusaha sedaya upaya mungkin, walaupun terpaksa meninggalkan tanah air Makkah dan keluarga yang tersayang.

Hijrah berlaku dengan penuh cabaran kerana dihalang oleh musuh Islam, sehinggakan mereka yang berhijrah terpaksa mengorbankan harta, jiwa raga dan keluarga masing-masing. Bahkan, terdapat sebahagian dalam kalangan mereka yang meninggal dunia semasa dalam perjalanan dan juga terpaksa menyerahkan harta kepada musuh sehingga terpaksa meninggalkan keluarga yang tersayang.

Setelah berhijrah ke Madinah, Allah SWT mewahyukan surah-surah Madaniyyah yang berkaitan urusan negara dengan sempurna, merangkumi urusan antara negara, agama dan bangsa. Keadaan ini adalah disebabkan bagi menyampaikan Islam yang diwajibkan ke seluruh pelosok dunia.

Sebahagian besar daripada kalangan Ahli Kitab Yahudi dan Nasrani  menentang negara yang ditegakkan itu. Namun, kewajipan tetap ditunaikan, walaupun dipaksa berperang menentang musuh yang datang dari segenap penjuru.

Islam yang sempurna telah berjaya mentadbir masyarakat majmuk, sehingga berjaya menyatukan umat manusia pelbagai agama bukan sahaja umat Islam. Begitu juga, kejayaan melaksanakan konsep adil terhadap semua, sehingga dapat mewujudkan keamanan dan mencapai kemajuan hingga mencipta tamadun baharu dalam aspek politik, ekonomi, sains dan teknologi.

Kejayaan tersebut dicapai dengan berpandukan petunjuk wahyu serta menguruskan ilmu dan pengalaman manusia yang terdapat dalam seluruh tamadun terdahulu yang terdiri daripada pelbagai bangsa sebelumnya. Tamadun Islam mengambil ilmu yang berfaedah, pada masa yang sama menolak kemungkaran dan kezaliman.

Kewajipan tersebut tetap terus ditunaikan, walaupun selepas kewafatan Rasulullah SAW. Sekali gus menunjukkan kewajipan politik itu tidak boleh dinafikan oleh mereka yang beriman kerana ia diwajibkan oleh al-Quran, Sunnah dan ijmak para ulama’. Para ulama’ tetap memeliharanya secara ilmu walaupun berlakunya pengkhianatan yang menafikan kewajipan besar tersebut, sehingga dihapuskan kuasa pemerintahan Islam yang melaksanakan syariat Allah yang telah diwajibkan.

Fahaman yang menafikan kewajipan politik bukanlah daripada ajaran Islam, namun ia merupakan suatu bentuk penyelewengan penganut agama Yahudi dan Kristian. Sesiapa yang meninggalkan kewajipan ini akan menyebabkan mereka beroleh celaka di dunia dan di akhirat. Allah SWT memberikan amaran kepada orang-orang Yahudi supaya menjadi pengajaran kepada umat Islam melalui firman-Nya:

﴿…أَفَتُؤۡمِنُونَ بِبَعۡضِ ٱلۡكِتَٰبِ وَتَكۡفُرُونَ بِبَعۡضٖۚ فَمَا جَزَآءُ مَن يَفۡعَلُ ذَٰلِكَ مِنكُمۡ إِلَّا خِزۡيٞ فِي ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَاۖ وَيَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِ يُرَدُّونَ إِلَىٰٓ أَشَدِّ ٱلۡعَذَابِۗ وَمَا ٱللَّهُ بِغَٰفِلٍ عَمَّا تَعۡمَلُونَ٨٥ أُوْلَٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ ٱشۡتَرَوُاْ ٱلۡحَيَوٰةَ ٱلدُّنۡيَا بِٱلۡأٓخِرَةِۖ فَلَا يُخَفَّفُ عَنۡهُمُ ٱلۡعَذَابُ وَلَا هُمۡ يُنصَرُونَ٨٦﴾

“…Apakah kalian hanya beriman kepada sebahagian (daripada isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka, tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu antara kalian, melainkan mendapat kehinaan dalam kehidupan dunia, dan pada Hari Kiamat mereka dijatuhkan dengan azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kalian lakukan. (85); Mereka itulah orang-orang yang membeli (mengutamakan) kehidupan dunia (dan kesenangannya) dengan (meninggalkan perintah-perintah Allah yang membawa kebahagiaan dalam kehidupan) akhirat; maka tidak akan diringankan azab seksa mereka (pada Hari Kiamat), dan mereka pula tidak akan diberikan pertolongan. (86)” (Surah al-Baqarah: 85-86)

Agama Yahudi telah banyak diselewengkan oleh para agamawan yang bersekongkol dengan kerajaan yang zalim pada zamannya. Sehinggakan, dipesongkan aqidah, syariat dan akhlaknya hingga mereka bertindak melampau dengan membunuh para anbiya’ dan ulama’ yang menasihati.

Hanya segelintir para agamawan sahaja yang memeluk Islam dan menjadi sahabat yang setia kepada Rasulullah SAW sehingga akhir hayat.

Allah SWT berfirman terhadap agama Nasrani atau Kristian:

﴿ٱتَّخَذُوٓاْ أَحۡبَارَهُمۡ وَرُهۡبَٰنَهُمۡ أَرۡبَابٗا مِّن دُونِ ٱللَّهِ وَٱلۡمَسِيحَ ٱبۡنَ مَرۡيَمَ وَمَآ أُمِرُوٓاْ إِلَّا لِيَعۡبُدُوٓاْ إِلَٰهٗا وَٰحِدٗاۖ لَّآ إِلَٰهَ إِلَّا هُوَۚ سُبۡحَٰنَهُۥ عَمَّا يُشۡرِكُونَ٣١﴾

“Mereka menjadikan para pendeta dan pra rahib mereka sebagai tuhan selain daripada Allah, dan juga (mereka mempertuhankan) Al-Masih (Nabi ‘Isa) putera Maryam, padahal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Tuhan yang Maha Esa; tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan-Nya. Maha Suci Allah daripada apa yang mereka sekutukan.” (Surah al-Tawbah: 31)

Ayat di atas menjelaskan bagaimana para agamawan itu bersekongkol dengan kerajaan yang sesat dengan meninggalkan petunjuk Allah SWT. Lalu, mereka menghalalkan perkara yang haram dan mengharamkan perkara yang halal.

Atas perintah Maharaja Constantine I, maka telah diadakan Persidangan Nicaea (atau dikenali sebagai Persidangan Nicaea Pertama) pada tahun 325 Masihi yang disertai oleh kira-kira 300 orang paderi dari seluruh Empayar Rom.

Persidangan tersebut telah membincangkan pelbagai isu teologi, khususnya tentang ajaran Arius (Arius of Alexandria) yang menambah lagi kesesatannya.

Antara kesan utama yang lahir daripada Persidangan Nicaea itu ialah pembentukan fahaman Nicaea yang sehingga kini menjadi asas bagi kebanyakan aliran dalam agama Kristian. Persidangan tersebut hanya meneruskan kitab Injil ciptaan yang menafikan politik dalam Islam yang menjadi agama semua para rasul AS.

Penjajah Barat telah membawa masuk ajaran sesat ini ke dalam negeri-negeri Islam yang dijajah supaya kuasa politik Islam dapat dihapuskan. Selain itu, umat Islam pula dapat dikawal pengajian agamanya dengan menganuti ajaran salah ini, sehinggakan ia mempengaruhi sebahagian besar dalam kalangan umat.

Tujuannya supaya umat Islam tidak berpolitik menentang penjajah, dalam keadaan mereka beragama Islam secara peribadi dalam urusan ibadat dan keluarga sahaja, serta diizinkan pengajian Islam sekadar itu sahaja. Kuasa yang dinamakan agama terserah kepada raja-raja dan ulama’ yang membantunya, sedangkan kuasa politik mentadbir negara pula dikuasai oleh penjajah dan anggota pasukannya.

Pada zaman mutakhir, negara-negara itu diberikan kemerdekaan mengikut acuan sekularisme. Lantas, dalam kalangan anak-anak muda yang ketinggalan amalan agamanya paling mudah terpengaruh dengan ajaran sesat itu, sehingga mereka langsung tidak peduli terhadap politik atau menafikannya.

Oleh itu, berlaku suatu keburukan yang telah diberikan amarannya oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya:

لَتُنْقَضَنَّ ‌عُرَى ‌الْإِسْلَامِ ‌عُرْوَةً ‌عُرْوَةً، فَكُلَّمَا انْتَقَضَتْ عُرْوَةٌ تَشَبَّثَ النَّاسُ بِالَّتِي تَلِيهَا، وَأَوَّلُهُنَّ نَقْضًا الْحُكْمُ وَآخِرُهُنَّ الصَّلَاةُ.

“Demi sesungguhnya akan berlaku, ajaran Islam yang diikat laksana simpulan tali yang kukuh akan dirungkai satu demi satu. Maka, apabila setiap satunya dirungkai, maka ia menjadikan para penganut Islam berpegang dengan simpulan berikutnya (yang masih ada). Simpulan pertama yang dirungkai ialah (pelaksanaan) hukum Islam (oleh pemerintah Islam) dan simpulan terakhir yang dirungkai ialah (pelaksanaan) solat.” (Riwayat Ahmad 22160, Ibn Hibban 6715 dan lain-lain daripada Abu Umamah al-Bahili RA)

Imam al-Ghazali RH menulis dalam kitabnya:

‌الدِّينُ ‌أَسٌّ، ‌وَالسُّلْطَانُ ‌حَارِسٌ، وَمَا لَا أُسَّ لَهُ فَمَهْدُومٌ، وَمَا لَا حَارِسَ لَهُ فَضَائِعٌ.

“Agama itu asas, kuasa pemerintah (politik) itu pula yang mengawasinya. Perkara yang tidak mempunyai asas, nescaya akan runtuh; dan perkara yang tiada pengawas, nescaya akan hilang.” (Al-Ghazali, al-Iqtisad fi al-I‘tiqad, ms. 128)

Kita sedang menyaksikan hari ini betapa banyak hukum Islam yang wajib, telah dilupakan sehingga ia hilang. Khususnya, dalam urusan kehidupan dunia yang menjadi jambatan menuju ke alam akhirat.

Apabila umat Islam meninggalkan politik, maka mereka akan dikuasai oleh umat bukan Islam. Sehinggakan, ia menyebabkan mereka dihina di tanah air sendiri oleh bangsa lain bukan Islam yang memerintah mereka.

Abu Bakar al-Siddiq RA pernah menegaskan dalam ucapannya, setelah beliau dilantik menjadi Khalifah yang memimpin negara selepas kewafatan Rasulullah SAW, katanya:

لَا يَدْعُ قَوْمٌ الجِهَادَ فِيْ سَبِيْلِ اللّهِ إِلَّا ضَرَّبَهُمُ اللهُ بِالذُّلِّ.

“Tidaklah kaum yang meninggalkan kewajipan jihad (memenangkan Islam) itu, melainkan Allah akan menimpakan kehinaan dan kejahatan ke atas mereka.” (Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, jld. 5, ms. 248)

Ucapan di atas menerangkan maksud sebalik firman Allah SWT:

﴿يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مَا لَكُمۡ إِذَا قِيلَ لَكُمُ ٱنفِرُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ ٱثَّاقَلۡتُمۡ إِلَى ٱلۡأَرۡضِۚ أَرَضِيتُم بِٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا مِنَ ٱلۡأٓخِرَةِۚ فَمَا مَتَٰعُ ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا فِي ٱلۡأٓخِرَةِ إِلَّا قَلِيلٌ٣٨ إِلَّا تَنفِرُواْ يُعَذِّبۡكُمۡ عَذَابًا أَلِيمٗا وَيَسۡتَبۡدِلۡ قَوۡمًا غَيۡرَكُمۡ وَلَا تَضُرُّوهُ شَيۡ‍ٔٗاۗ وَٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٌ٣٩﴾

“Wahai orang-orang yang beriman! Apakah sebabnya, apabila dikatakan kepada kalian: ‘Pergilah beramai-ramai (untuk berjihad) pada jalan Allah’, kalian merasa keberatan (dan suka tinggal menikmati kesenangan) di tempat (masing-masing)? Adakah kalian lebih suka dengan kehidupan dunia daripada akhirat? (Kesukaan kalian itu salah) kerana kesenangan hidup di dunia ini hanya sedikit jua, berbanding dengan (kesenangan hidup) di akhirat kelak. (38); Jika kalian tidak pergi beramai-ramai (untuk berjuang pada jalan Allah bagi membela agama-Nya), Allah akan menyeksa kalian dengan seksaan yang tidak terperi sakitnya dan kalian akan digantikan dengan kaum yang lain, dan kalian tidak akan dapat mendatangkan kemudaratan sedikit pun kepada-Nya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (39)” (Surah al-Tawbah: 38-39)

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 20 Muharram 1444 / 18 Ogos 2022