Home Kenyataan Media PAS Kedah

Peringatan daripada Wabak Coronavirus

1494
SHARE

KENYATAAN MEDIA PESURUHJAYA PAS KEDAH

PERINGATAN DARIPADA WABAK CORONAVIRUS

Sebagai orang beriman, kita sentiasa yakin bahawa di sebalik setiap kejadian, pasti ada hikmah atau peringatan yang Allah SWT mahu kita renungi dengan penuh keinsafan.

Justeru, bagaimana kita melihat kemunculan wabak novel coronavirus (2019-nCoV) yang mula menyerang bandar raya Wuhan di Hubei, China pada pertengahan Disember tahun lalu, dan kini telah merebak ke serata dunia termasuk Malaysia?

Dengan penuh tawadhu’ dan keinsafan, kita mahu mengajak semua pihak khususnya ahli-ahli PAS melihat apa yang berlaku dari perspektif keimanan yang kita pegang bahawa ini mungkin suatu pembalasan daripada Allah SWT.

Semua orang pun tahu bahawa sejak beberapa bulan sebelum wabak itu menyerang, seluruh dunia tertumpu ke Xinjiang, China, wilayah etnik Uyghur yang beragama Islam.

Di sana, orang Uyghur ditahan di dalam kem yang kononnya bertujuan untuk memberi pendidikan vokasional.

Mereka sebaliknya ditindas dengan berbagai-bagai bentuk penderaan. Muslimat diperkosa malah dipaksa tidur sekatil dengan lelaki yang menahan suami mereka. Warga Uyghur dipenjarakan tanpa sebarang kesalahan melainkan hanya kerana mereka beragama Islam

Lebih membimbangkan kita adalah adanya laporan ramai tahanan Uyghur dibunuh untuk dijual organ mereka.

Anehnya, ketika hampir seluruh dunia mengecam kekejaman China, ada menteri dari negara kita menafikan laporan itu.

Dalam isu ini, rejim komunis China langsung tidak mempedulikan desakan dunia supaya dihentikan penindasan ke atas penduduk Muslim Uyghur.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut mengecam Beijing.

Apa yang mengejutkan, di sebalik gesaan itu, rejim seakan menunjukkan angkuh dengan melakukan penindasan baru.Berbagai bentuk kekejaman yang tidak masuk akal dilaporkan berlaku di sebalik tembok apa yang disebut oleh Beijing sebagai pusat latihan vokasional untuk Muslim Uyghur.

Paling membimbangkan ialah laporan mengenai berlakunya pembunuhan untuk tujuan menjual organ tahanan.

Belum pun reda isu Uyghur, rejim komunis pimpinan Xi Jinping menyerang warga Muslim daripada etnik Han pula. Masjid-masjid dirobohkan. Begitu juga gereja.

Sebagai negara dengan populasi terbesar dunia, kekuatan ekonomi yang tidak tertanding, bilangan tentera yang paling ramai, pemegang kuasa veto dan rangkaian etnik Cina yang bertebaran di serata benua, Beijing semakin ghairah mahu mengchinakan dunia.

Di Malaysia, PAS tidak peduli konflik atau perang dagang antara China dengan Amerika Syarikat (AS). Kita melihat Washington sesekali perlu juga diajar.
Dalam konteks itu, China dilihat sebagai kuasa pengimbang yang paling mampu tatkala Rusia belum berupaya untuk bangkit segagah dahulu.

Bagaimanapun, dalam keadaan dunia begitu mengharapkannya, rejim komunis China sebaliknya mula menyerlahkan watak pembuli.
Menerusi Inisiatif One Belt, One Road (OBOR), mereka cuba untuk mengembalikan semula peranan dan kedudukannya sebagaimana ketika era kegemilangan Laluan Sutera.

Mereka membina jaringan ekonomi dengan negara-negara Asia dan Afrika atas nama kemakmuran bersama menerusi pelbagai bentuk kerjasama. Ketika itu, ada beberapa negara yang terpesona, termasuk Malaysia.

Namun akhirnya apa yang menanti ialah perangkap hutang sebagaimana dialami Sri Lanka. Colombo terpaksa menyerahkan Pelabuhan Hambantota yang baru dibina kepada China untuk dipajak selama 99 tahun lantaran tidak mampu membayar hutang AS$1.4 bilion (RM5.66 bilion) dengan Beijing yang dipinjam untuk membina pelabuhan itu.

Kerajaan Sri Lanka terpaksa membayar hutang dengan maruah, kerugian dan kritikan rakyatnya sendiri setelah terperangkap dalam ‘permainan’ China.
Apa yang berlaku ke atas Sri Lanka mengulangi nasib Mesir ketika membina Terusan Suez pada 1869.
Gabenor Mesir, Ismail Pasha membuat pinjaman berbilion Pound daripada firma kewangan milik keluarga Yahudi, Rothschild untuk membiayai projek terusan itu.

Rothschild meletakkan syarat; Mesir perlu membenarkan mereka untuk terlibat sama sebagai kontraktor, arkitek, jurutera, pembekal dan sebagainya.

Akhirnya, wang yang dipinjam tidak mencukupi lalu Rothschild menawarkan pinjaman baru dengan faedah 20 peratus.

Akhirnya, setelah projek siap, Terusan Suez terpaksa diserahkan kepada Rothschild apabila Mesir tidak mampu membayar balik wang yang mereka pinjam.
Rothschild mendapat keuntungan berganda daripada kutipan cukai kapal-kapal yang melalui terusan itu selain keuntungan daripada faedah pinjaman yang diberikan kepada Mesir.Kerajaan Mesir akhirnya jatuh muflis.

Ketika wabak coronavirus mula menyerang pekerja di pasar haiwan eksotik di Wuhan pada pertengahan Disember tahun lalu, kita di Asia Tenggara cemas melihat gelora pertikaian Beijing – Jakarta di Laut China Selatan.

Ia berpunca daripada pencerobohan kapal-kapal nelayan China di perairan Natuna yang termasuk dalam Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Indonesia.
Selain itu, kapal-kapal pasukan Pengawal Pantai China juga dikatakan berulang kali memasuki perairan Indonesia yang didakwa sebagai wilayah mereka.
Apabila Indonesia bertindak balas dengan menghantar kapal tentera dan pesawat, China juga menghantar kapal yang lebih banyak, seakan isyarat sedia untuk berperang.

Apapun, itu tidaklah lebih teruk berbanding kenyataan Kerajaan China mahu menulis semula kitab suci Al Quran yang diumumkan tidak lama sebelum coronavirus menyerang.

Selain Al Quran, kitab Bible juga mahu diubah bagi memastikan kandungan dua kitab itu tidak bertentangan dengan dasar-dasar komunisme China.
Bagi kita, apabila Al Quran pun mahu diubah, ini adalah kemuncak keangkuhan seseorang manusia.
Dalam sekelip mata, Allah membalas keangkuhan itu dengan menghantar virus yang menjadikan kerajaan dan rakyat China huru-hara.

Jinping terpaksa melupakan cadangan gilanya untuk beri sepenuh tumpuan kepada wabak yang melanda, malah tanpa segan silu pula merayu bantuan dunia.
Hinanya warga China, pergi ke mana-mana pun orang tidak mahu terima!

Dari perspektif iman, apa yang sedang berlaku mengingatkan kita kepada cerita Namrud, raja yang memerintah Babylon pada zaman Nabi Ibrahim.
Kekayaan dan kekuasaan menyebabkan Namrud lupa diri hingga mahu dia disembah sebagai tuhan. Malah dia mencabar Allah SWT untuk menyelamatkan Nabi Ibrahim jika Dia (Allah) benar wujud.

Allah menghantar hanya seekor nyamuk untuk masuk ke dalam kepala Namrud menyebabkan dia kesakitan yang amat sangat hingga terpaksa memerintahkan orang memukul kepalanya.

Akhirnya, Namrud mati dalam keadaan kepalanya pecah sebagai tanda betapa hinanya dia setelah menunjukkan keangkuhan yang melampaui batas.
Demikian juga Abrahah yang diserang sekumpulan burung membawa batu ‘sijjil’ dari neraka yang setelah terkena batu itu, jadilah dia dan tentera bergajahnya yang mahu memusnahkan Kaabah seperti daun yang dimakan ulat.

Itu balasan dosa atas tindakan manusia yang melampaui batas!

Kebesaran dan keagungan Allah SWT tidak terjejas walau sedikit pun dengan apa jua cabaran atau keangkuhan manusia namun hal yang seperti ini ditunjukkan untuk kita semua insaf dan tidak melampaui batas.

Wallahua’lam.

USTAZ AHMAD YAHAYA
Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah
5hb Januari 2020/ 11 Jamadil Akhir 1441H