Home Kenyataan Media Dewan Muslimat PAS Malaysia

Hari Kanser Sedunia : ‘I Am and I Will’

542
SHARE

Hari Kanser Sedunia : ‘I Am and I Will’

1. Saban tahun, tarikh 4 Februari diraikan sebagai ‘Hari Kanser Sedunia’ bagi menyuntik kesedaran masyarakat mengenai penyakit kronik ini. Tema ‘I Am and I Will’ tahun ini merupakan satu motivasi bahawa setiap individu mempunyai kekuatan serta kapasiti diri untuk berjuang melawan penyakit kanser.

2. Penyakit kanser adalah penyakit yang tidak mengenali umur, jantina mahupun bangsa. Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pada tahun 2018 kanser merupakan penyebab kematian kedua tertinggi di dunia; iaitu kira-kira 1 daripada 6 kematian yang berlaku adalah akibat daripada penyakit ini.

3. Laporan Registri Kanser Kebangsaan Malaysia (2012-2016) pula mendapati bahawa tiga jenis kanser paling utama di Malaysia adalah kanser payudara (19%), kanser kolorektal (13.5%) dan kanser paru-paru (9.8%). Kanser yang paling kerap berlaku dalam kalangan kaum wanita adalah kanser payudara (34.1%), manakala kanser kolorektal merupakan kanser yang paling kerap berlaku (16.9 %) dalam kalangan lelaki. Lebih membimbangkan apabila laporan ini menunjukkan bahawa peratus keseluruhan kes kanser yang dikesan lewat (stage III dan IV) meningkat daripada 58.7% pada 2001-2011 kepada 63.7% pada 2012-2016.

4. Menurut laporan WHO, amalan gaya hidup sihat ini dapat mencegah sehingga 30-50 peratus kanser. Pengesanan awal kanser juga boleh dilakukan dengan menjalani ujian saringan kanser payudara, kolorektal, serviks dan kanser mulut di klinik-klinik kesihatan dan pergigian di seluruh negara, selain mengenalpasti serta mendapatkan rawatan awal apabila mengalami gejala.

5. Justeru, Dewan Muslimat PAS Malaysia menyeru agar segenap lapisan rakyat Malaysia mengambil perhatian serius akan langkah-langkah pencegahan serta pengesanan awal penyakit kanser. Ini boleh dilaksanakan dengan amalan gaya hidup sihat iaitu pemakanan seimbang, melakukan aktiviti fizikal, menangani stres, serta mengelakkan daripada mengambil bahan memabukkan dan tembakau.
“Akal sihat berada pada tubuh badan yang sihat.” Islam menyarankan umatnya sentiasa memelihara agama, akal, jiwa, harta dan keturunan.

6.Hakikatnya, berhadapan dengan penyakit kanser, selain daripada ikhtiar rawatan yang disediakan oleh pihak kesihatan, juga memerlukan perjuangan dan pergantungan yang tinggi kepada Sang Pencipta. Rebahnya semangat bakal mengakibatkan segala rawatan tidak berjaya. Tema ‘I Am and I Will’ membangkitkan motivasi para pesakit, keluarga dan masyarakat secara keseluruhannya dalam meneruskan perjuangan menghadapi kanser.

“Islam Memipin Wanita Sejahtera”

Dr Rosni Adam
Timbalan Ketua,
Dewan Muslimat PAS Malaysia
29 Jamadil Awal 1441
5 Februari 2020