Home Catatan Ramadhan

Peringatan Badar al-Kubro (Siri 2)

812
SHARE

Peringatan Badar al-Kubro (Siri 2)

KETUJUH: Tauhid menyatukan manusia

Peperangan ini membuktikan bahawa manusia yang asalnya berpecah kerana perbezaan kabilah akhirnya dapat bersatu dengan persamaan akidah. Sebaliknya, syirik dan kekufuran menyebabkan manusia berpecah dan membuat haluan mereka sendiri yang jauh dari ketentuan Yang Maha Esa.

Mustahil kita mengajak kesatuan dalam waktu yang sama membiarkan kemungkaran berleluasa dalam kelompok manusia yang ingin disatukan. Perpecahan tetap akan berlaku kerana kebenaran dan kebatilan adalah berasal daripada dua lembah yang berbeza dan tidak dapat disatukan.

Kelapan: Walak (kesetiaan) yang tidak berbelah bahagi

Orang yang taat semata-mata bersifat reaktif kerana mereka hanya akan melakukan ketaatan apabila wujud arahan dan keputusan.

Sebaliknya walak itu proaktif kerana apabila seseorang itu memiliki kesetiaan sehingga menumpahkan kasih sayang terhadap jamaah, dia tidak hanya menunggu arahan dan keputusan sebaliknya mengambil inisiatif melakukan apa yang terbaik bagi jamaah.

Justeru sikap ahli yang walak perlu peka keadaan sekeliling dan bersedia mencadangkan sebarang perkara kepada kepimpinan jamaah tanpa mengira apakah kita punya jawatan atau tidak, apakah kita layak atau tidak.

Sebagai contoh Habib bin Munzir yang mencadangkan kepada Nabi S.A.W supaya kem Islam dipindahkan ke hadapan dalam Perang Badar, walaupun dia bukanlah kepimpinan utama dan bukan bidang tugasnya menentukan kawasan kem.

Beliau adalah contoh terbaik mengenai erti sebuah walak. Bukan kerana tidak mahu taat kepada keputusan tempat kem yang dibuat oleh Nabi S.A.W, tetapi walak yang dimilikinya membuatkan beliau merasa bertanggungjawab untuk mengemukakan cadangan. Jika Habib sekadar memiliki taat, cadangan tersebut tidak akan timbul.

Kesembilan: Pemimpin sentiasa berada di hadapan

Apabila kedua-dua pasukan iaitu kaum Quraisy dan orang Islam bersemuka, maka Rasulullah S.A.W meluruskan barisan orang Islam dan membakar semangat mereka untuk berperang dan memotivasikan mereka untuk mati syahid.

Baginda bersabda yang bermaksud:

“Demi Tuhan yang jiwaku di dalam genggamanNya, sesiapa yang memerangi mereka (tentera orang Musyrik) pada hari ini, kemudian dia terbunuh dalam keadaan penuh kesabaran dan ikhlas, terus maju dan tidak lari dari medan pertempuran, pasti Allah S.W.T akan memasukkannya ke dalam syurga.”

Kesepuluh: Pergantungan kepada Allah yang tidak putus

Kemudian, Baginda pulang ke khemah sambil diiringi oleh Abu Bakar dan Saad bin Muaz yang menghunuskan pedangnya. Kemudian, Baginda berdoa di sebelah petang malam Jumaat tanggal 17 Ramadan yang bermaksud:

“Ya Allah aku menagih janji dan jaminan-Mu. Ya Allah, jika kamu binasakan kelompok ini (pejuang-pejuang Mukmin), Kamu tidak akan disembah lagi di muka bumi.”

Baginda memanjangkan sujudnya, sehingga Abu Bakar berkata:

“Cukuplah. Sesungguhnya Allah akan melaksanakan janji-Nya untukmu.”

Ironi yang berlaku kepada kita jika ingin mengharapkan kejayaan tetapi kurang berdoa dan bertawakal dalam erti kata berusaha bersungguh-sungguh dan membuat penyerahan nasib kepada Allah bukan kepada manusia tentulah perkara itu sangat jauh dengan apa yang telah dilakukan oleh Nabi sendiri.

Sesungguhnya kerja-kerja mendaulatkan Islam dan syariatnya adalah kerja yang perlu dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh. Bukan sambil lewa dan sampingan.

Kesebelas: Mempunyai perancangan dan strategi

Keyakinan dengan kebenaran yang dibawa tidaklah menghalang Nabi untuk merancang dan menyusun strategi. Inilah Sunnatullah yang perlu dipatuhi dan dilalui bahawa setiap perkara yang berlaku ada sebab, akibat dan kesannya.

Manusia diberi ganjaran atas usaha yang dilakukan. Adapun kemenangan dan kekalahan itu adalah urusan Allah Yang Maha Memberi dan Menentukan Rezeki. Ia dapat dilihat ketika memilih tempat yang strategik untuk berhenti serta mencari kelemahan kaum kafir Quraisy.

Baginda menghantar wakil-wakil perisik bagi menyelinap masuk ke pihak musuh untuk mengetahui bilangan musuh dan persediaan mereka.

Kedua belas: Kewajipan memposisikan diri bersama golongan beriman

Ketika berlakunya hijrah terdapat segolongan pemuda dari kabilah Arab Quraisy ini yang terhalang ikut berhijrah akibat halangan keluarga dan diseksa. Apabila persiapan perang dilakukan di Makkah mereka dipaksa menjadi sebahagian daripada tentera Musyrikin Quraisy tersebut.

Mereka yang tewas dan mati dalam peperangan tersebut telah disebut keadaan mereka dalam al-Quran surah an-Nisa’ ayat 97:

إِنَّ ٱلَّذِينَ تَوَفَّىٰهُمُ ٱلْمَلَٰٓئِكَةُ ظَالِمِىٓ أَنفُسِهِمْ قَالُوا۟ فِيمَ كُنتُمْ ۖ قَالُوا۟ كُنَّا مُسْتَضْعَفِينَ فِى ٱلْأَرْضِ ۚ قَالُوٓا۟ أَلَمْ تَكُنْ أَرْضُ ٱللَّهِ وَٰسِعَةً فَتُهَاجِرُوا۟ فِيهَا ۚ فَأُو۟لَٰٓئِكَ مَأْوَىٰهُمْ جَهَنَّمُ ۖ وَسَآءَتْ مَصِيرًا

“Sesungguhnya orang-orang yang diwafatkan malaikat dalam keadaan menganiaya diri sendiri malaikat bertanya, “Dalam keadaan bagaimanakah kalian?” Mereka menjawab, “Kami orang yang tertindas di negeri (Makkah). Para malaikat berkata, “ Bukankah bumi Allah itu luas, sehingga kalian dapat berhijrah di bumi itu?” Orang-orang itu tempatnya Neraka Jahanam dan Jahanam itu seburuk-buruk tempat kembali.”

Jelas, apabila kita gagal memposisikan diri kita bersama golongan beriman, risiko untuk menjadi perkakas dan pembantu kepada musuh Islam adalah sangat tinggi.

Kesimpulannya, perang Badar merupakan permulaan kemuncak segala kebaikan dalam Islam apabila golongan Muslimin sanggup menumpahkan segala upaya dan daya mereka untuk menegakkan kalimah Allah yang sangat tinggi dengan cagaran nyawa dan kehidupan mereka.

Wajar sambutan Badar al-Kubra dijadikan sambutan dalam kehidupan masyarakat Islam sebagai peringatan di atas teladan yang ditinggalkan. Ramadan Kareem.

HASLINDA ISMAIL dan NUSAIBAH KAAB

Bingkisan Artikel Ramadan

Lajnah ‘Alimat Dan Pembangunan Keluarga,

Dewan Ulamak PAS Pusat (LAPK DUPP).