Pergilah sudah guru, mentor & sahabatku Professor Dr Khazani Abdullah yang dikasihi. Juga guru & mentor isteriku, Dr Zuraidah Zan. Sejak menjadi antara pelajar pertamamu 18 tahun dahulu, tiadalah aku berhenti menjadi muridmu. Namun, tiadalah sudah saat-saat makan tengahari bersama dengan idea-ideamu mencurah-curah di depanku yang terpana sambil dirimu tersenyum menanti bahasanku. Biasanya disusuli dengan kita ketawa dengan ulasan-ulasan ‘bodoh’ dariku & sahabat-sahabat disekelilingmu. Selalunya berakhir dengan dirimu sendiri bercerita struktur dan jalannya idea itu bisa menjadi realiti.
Dan beberapa ketika, idea itu kau mesti gerakkan menjadi pasti. Lalu, berkampunglah kami disekelilingmu di dalam makmal atau dimana-mana persis murid-murid di sekeliling Ibnu Haitham. Indah bersulam resah. Indah meneroka ilmu dengan obornya ditanganmu, resah menghadam idea-idea geniusmu untuk ummah yang tidak pernah padam. Kadang-kadang kami ini tertanya-tanya tiadakah secebis ruang mindamu untuk sesuatu yang sia-sia supaya tidaklah ia menekan-nekan minda muda kami ini. Mujurlah masih ada jenaka-jenaka terutama tentang dua titik ‘lemah’ dirimu – apa sahaja tentang Terengganu & makanan. Daripada jenaka itupun masih terbit ideamu yang belum murid-muridmu ini siapkan – mencipta sistem cahaya laser untuk menarik sotong sewaktu mencandat. Nampok benar kuatnya Ganu mu itu. Idea & usaha dirimu lah jua wujudnya Sigtech Sdn Bhd, Laser Electro-Optics Society (IEEE LEOS Malaysia), Fiber Optic Association of Malaysia (FOAM), Certified Fiber Optic Professional Program, Al-Haitham Research Group, NGO Ilmuan, K-Chart research tool etc, dan antara anak emasmu Sekolah Integrasi Tahfiz Ilmuan (SRITI/SMITI).
Aku pernah bertanya mengapa menempah letih menubuhkan Sigtech? Jawabmu tidak cukup usaha pensyarah melahirkan pelajar dengan ijazah. Engkau mahu teruskan lagi dengan memberi mereka kerja & nafkah. Katamu tiada yang lebih gembira bagimu bilamana tahu pekerja itu menghantar sedikit rezeki itu kepada ibubapa mereka. Kami juga bergurau K-Chart itu bukannya Knowledge-Chart sebagaimana dakwamu, tetapi sebenarnya Khazani-Chart. Aku pernah menyoal apa inspirasimu ‘menurunkan’ ilmu membuka SRITI? Lalu panjang lebar engkau syarahkan integrasi ilmu sebenar itu di dalam matematik adanya feqah dan di dalam tauhid itu adanya sains. Tidak cukup mendidik orang dewasa, engkau mahu melentur pula yang cilik-cilik dengan acuan Islam. ‘The real challenge’ dengan output yang amat direct & indah, katamu. Setiap kali anak-anak SRITI kita sukarela berzikir beramai-ramai di dalam musafir atau menjadi imam solat dengan yakinnya, engkau akan kongsikan klip dan gambar itu. Bangga. Bagiku, keindahan peribadi anak-anakku adalah bersumberkan keikhlasan dan sistem didikanmu. Inspirasi dan visimu besar. Untuk Allah, untuk ummah, untuk Islam. Engkau ada segala peluang untuk menjadi jutawan, namun engkau pilih untuk korbankan dengan banyaknya untuk satu perjuangan. Sesak dan berat dada kami ini dengan apa yang engkau tinggalkan untuk kami sudahkan.
Selama ini kami berlindung bernaung bayang kepintaran, kebijaksanaan, kegigihanmu tuan. Perit sungguh rupanya bersahabat dengan seseorang kerana Tuhan. Bila mereka tiada, tiadalah apa material dunia yang boleh menggantikannya. Guruku, jika sampaimu di pintu syurga dan daku serta sahabat-sahabat ini tiada disekelilingmu, tanyakanlah Allah tentang kami sebagaimana engkau memilih kami menumpang kebaikan dirimu disini. Berehatlah. Semoga Allah memberi keampunan & rahmatNya ke atasmu, Allahumma ameen.
Dr.Hanif
{jathumbnail off}