Home Berita Dewan Pemuda PAS Malaysia

Juara Gemagegarvaganza 2017 : Tahniah Kumpulan UNIC

727
SHARE

KENYATAAN MEDIA
Dewan Pemuda PAS Malaysia

23 Mei 2017 | 26 Sya’ban 1438

JUARA GEMAGEGARVAGANZA 2017 : TAHNIAH KUMPULAN UNIC


Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengucapkan tahniah atas kejayaan kumpulan nasyid UNIC di atas kejayaan menjuarai pertandingan realiti hiburan GemaGegarVaganza (#GGV) anjuran ASTRO baru-baru ini. Persembahan yang menarik dan kekuatan vokal secara keseluruhannya dilihat telah memberikan kelebihan kepada kumpulan UNIC untuk menjuarai pertandingan ini.

DPPM melihat perkembangan yang baik bagi industri nasyid tanah air melalui program ini apabila artis-artis nasyid dapat diketengahkan ke dalam arus perdana industri hiburan di negara ini. DPPM mengharapkan agar lagu-lagu bermesej kebaikan ini dapat terus dipopularkan di kalangan masyarakat, sesuai dengan mesej dan nasihat yang dibawa melalui karya-karya nasyid ini. DPPM juga tertarik dengan salah satu komen juri jemputan iaitu Datuk Siti Nurhaliza yang menyatakan “Penyanyi nasyid adalah penyanyi terbaik, GGV membuktikan penyanyi nasyid adalah ‘first class’,”.

Dalam pada masa yang sama, DPPM juga mengharapkan agar penambahbaikan dapat dibuat oleh penerbit penganjuran program-program hiburan agar dapat menepati sepenuhnya garis panduan hiburan dalam Islam yang telah dikeluarkan oleh pihak JAKIM (edisi Ke 2 Tahun 2015). Pihak penerbit juga boleh mencontohi penerbitan program-program hiburan yang telah diadakan di Negeri Kelantan, dengan contoh penganjuran program hiburan yang mengambil kira Enakmen Kawalan dan Tempat-Tempat Hiburan 1998 yang telah diwartakan oleh Kerajaan Negeri Kelantan. Ini bagi mempastikan program-program hiburan ini dapat memberikan impak yang positif dan baik untuk rakyat Malaysia.

DPPM juga terbuka untuk berkongsi pengalaman dalam penganjuran program-program hiburan yang pernah diadakan di Negeri Kelantan sebelum ini kepada pihak penganjur penerbitan rancangan-rancangan hiburan di negara ini. Pihak DPPM amat mengalu-alukan kerjasama dengan pemain industri hiburan seperti syarikat-syarikat penerbitan rancangan hiburan, produksi TV dan Media Internet, serta pihak artis sendiri demi memartabatkan industri hiburan di Malaysia. DPPM turut positif untuk sama-sama memberikan idea dan cadangan agar program-program hiburan yang disajikan kepada rakyat Malaysia adalah berkualiti, bermesej dan menghiburkan.

Sekian, terima kasih.

“Mara Menuju Cita”

“Sejahtera Bersama Islam”

Ir. Hj. Khairil Nizam bin Khirudin
Timbalan Ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia

 

Sumber gambar: Instagram Nasyidkini

{jathumbnail off}