Home Artikel PAS Perak

Percayai Pimpinan, Yakini Janji Allah

217 views
SHARE

Oleh ASLINA KHALID 10 MARCH 2019

MENYAHUT seruan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Ameerah Perak menyeru seluruh masyarakat khususnya Muslimat Muda Perak bagi meletakkan keyakinan pada Allah S.W.T dalam menghadapi tohmahan dan fitnah demi fitnah yang dilemparkan kepada parti Islam ini.

Acap kali didengari, lontaran fitnah dari pelbagai pihak yang mengaitkan PAS dengan isu rasuah dan lain-lain seolah-olah sengaja mengganggu gugat kepercayaan ahli penyokong PAS terhadap pimpinan mereka sendiri. Oleh itu, kita hendaklah menyahut seruan Tuan Guru Presiden supaya bermunajat pada Allah dalam menghadapi ujian ini.

Apabila dalam setiap amal kita yakini janji Allah S.W.T, maka Allah akan penuhi janji-Nya. Amal ini akan sempurna apabila ada yakin pada janji Allah, tidak dengan ragu-ragu. Lihat orang-orang munafik, mereka ini ciri-cirinya beramal dengan melihat keadaan, melihat ahwal. Orang beriman pula ketika beramal yang dilihatnya adalah apa perintah Allah pada saat itu.

Bagi menghadapi mehnah dan tribulasi yang kian berpanjangan ini, ahli PAS hendaklah sentiasa mendekatkan diri dengan Allah S.W.T. Firman Allah:

يٰٓاَيُّهَا الَّذِيۡنَ اٰمَنُوا اسۡتَعِيۡنُوۡا بِالصَّبۡرِ وَالصَّلٰوةِ ؕ اِنَّ اللّٰهَ مَعَ الصّٰبِرِيۡنَ‏.

“Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar”

[al-Baqarah: 153]

Selain itu, Ameerah Perak berharap agar ahli PAS terus meletakkan wala’ dan thiqah (kepercayaan) terhadap pimpinan PAS. Kepercayaan yang dimaksudkan di sini adalah tenteramnya hati seorang ahli itu kepada pemimpinnya, kemampuan dan keikhlasan pemimpin itu. Tenteram hati itu begitu mendalam dan ia tercerna dari kasih sayang, penghargaan, rasa hormat dan taat.

Semoga Allah S.W.T sentiasa memelihara kita dari terpengaruh dengan anasir buruk yang cuba menjatuhkan keyakinan kita terhadap pimpinan PAS. Ameerah perak juga berharap ahli PAS tidak sedikitpun tergugat dengan mehnah ini sejurus menjadikan medan ini adalah medan yang mengukuhkan kebergantungan kita kepada Allah S.W.T.

“Terus Istiqamah”

ASLINA KHALID
Pengarah Ameerah Perak
Ahad 10 Mac | 3 Rejab 1440H