Home Artikel PAS Perlis

Kenyataan LGE: PAS dan BN Perlis Buat Laporan Polis

262 views
SHARE

Oleh: Haziq Dun

KANGAR: PAS Negeri Perlis telah membuat laporan polis terhadap Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berhubung kenyataan beliau baru-baru ini yang menyifatkan kerjasama Umno-PAS sebagai ‘isyarat perang’ terhadap orang bukan Melayu.

Laporan dibuat oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Perlis, Mohd. Shukri Ramli di Ibu Pejabat Polis Daerah Kangar dekat sini malam tadi.

Beliau yang juga ADUN Sanglang ketika dihubungi mengesahkan laporan polis berkenaan dibuat kerana kenyataan Lim Guan Eng amat merbahaya serta boleh mencetuskan suasana tegang antara kaum di negara ini.

“Justeru, PAS Negeri Perlis memohon supaya PDRM menahan dan membuat siasatan terhadap Menteri Kewangan iaitu Lim Guan Eng atas kenyataan asal beliau yang membawa maksud ‘kesatuan Umno-PAS adalah pengisytiharan perang kepada bukan Melayu’,” katanya.

Selain PAS, turut sama membuat laporan polis adalah Umno, MIC dan MCA negeri Perlis.

Mereka disertai oleh kira-kira 300 orang penyokong yang berkumpul di perkarangan IPD Kangar seawal jam 9.15 malam.

Lim Guan Eng baru-baru ini telah memuatnaik satu artikel bertajuk ‘Lim calls Umno-PAS union a declaration of war on non-Malays’ menerusi portal Malaysiakini.

Portal berkenaan bagaimanapun segera menukar tajuk artikel berkenaan setelah mendapat kecaman keras daripada pelbagai pihak.