Home Kenyataan Media Presiden PAS

Perbincangan Bersama Presiden Turki Recep Tayyip Erdoğan

4,212 views
SHARE

Catatan Presiden PAS

PERBINCANGAN BERSAMA PRESIDEN TURKI RECEP TAYYIP ERDOĞAN

Saya dijemput bersama tujuh pemimpin Kesatuan Ulama Islam Sedunia yang terpilih sebagai tetamu Presiden Turki, Recep Tayyip Erdoğan pada 8 November 2018 di Istanbul.

Pertemuan tertutup yang berlangsung hampir dua jam tersebut turut dihadiri Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi, Syeikh Dr. Ahmad Ar-Raisuni dan kepimpinan tertinggi Kesatuan Ulama Islam Sedunia, dimulakan dengan ucapan oleh Recep Tayyip Erdoğan dan diikuti sesi dialog.

Perbincangan yang berlangsung hampir dua jam tersebut menyentuh beberapa perkara penting melibatkan kepentingan umat Islam, antaranya:

1. Presiden Erdoğan menzahirkan rasa syukur dan terima kasih kerana sokongan secara khusus ketika menghadapi peristiwa rampasan kuasa tentera yang berjaya dipatahkan, dan memberikan komitmen untuk terus bersama para ulama.

2. Beliau menyatakan rasa dukacita terhadap perpecahan dalaman umat Islam kerana perbezaan kaum dan mazhab. Umat sepatutnya bersatu, namun tidak mudah dilakukan. Oleh itu, peranan para ulama sangat penting bagi mengembalikan umat kepada Al-Quran dan Sunnah yang menjadi tonggak perpaduan umat.

3. Kini kita menghadapi fitnah terhadap Islam, dilemparkan tuduhan pengganas untuk mencetuskan Islamofobia dan lain-lain. Malangnya ada kalangan umat Islam diperalatkan dan ada pihak yang menyumbang, sehingga membekalkan senjata berat di Utara Syria. Saya menyaksikan sendiri apa yang berlaku.

4. Peranan para ulama sangat penting bagi menyelamatkan anak muda yang diperalatkan untuk menjadi proksi musuh. Para ulama juga perlu melakukan perubahan ilmu, termasuklah beberapa istilah Islam perlu diperkenalkan, seperti beberapa perkataan dan istilah dalam bank daripada bahasa asing sepatutnya dipakai bahasa kita sendiri dalam konsep Muamalat.

5. Kewajipan mempertahankan Baitul Maqdis jangan dilupakan. Turki yang ditugaskan giliran menjadi Ketua OIC telah mengambil tanggungjawab. Kita tidak boleh membiarkan Israel bertindak ganas terhadap rakyat Palestin termasuk juga Amerika yang bersikap menjadi pelampau.

6. Kepimpinan tertinggi Kesatuan Ulama Islam Sedunia turut menzahirkan penghargaan di atas sokongan dan peranan Turki dalam membela nasib umat Islam di peringkat antarabangsa, dan memberikan komitmen untuk terus melipatgandakan usaha menyebarkan ilmu dan kefahaman Islam sebenar di kalangan umat Islam sedunia.

Di akhir pertemuan, saya sempat berbual dan beramah-mesra dengan Presiden Erdoğan serta berkongsi pandangan tentang perihal politik semasa di Malaysia dan menekankan kepentingan untuk hubungan akrab Malaysia-Turki ditingkatkan demi kebaikan umat Islam dan keamanan dunia. Beliau turut menyampaikan salam kepada rakyat Malaysia.

“Islam Memimpin”

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS

Bertarikh: 3 Rabiul Awwal 1440 / 12 November 2018