Home Artikel Dewan Ulamak PAS Pusat

Edaran Bible Kepada Orang Islam: Tindakan Yang Mencemarkan Perlembagaan

203 views
SHARE

1. Timbul isu di Pulau Pinang mengenai sebuah NGO yang mengedarkan Bible kepada orang ramai termasuklah kalangan penganut Islam baru-baru ini. Hal ini mendapat liputan yang meluas namun yang malangnya terdapat suara orang Islam sendiri seumpama Menteri Agama yang menganggap ianya isu remeh apabila memberikan ulasan bahawa edaran Bible itu hanyalah daripada NGO bukannya gereja. Malah edaran yang dibuat kepada penganut Islam adalah secara tidak sengaja. Alasan tersebut seolah-olah tiada keprihatinan mengenai keseriusan dalam hal penyebaran agama selain Islam tanpa pengawalan.

2. Edaran Bible yang berlaku di hadapan sebuah sekolah adalah jelas tindakan secara terbuka dan penyebaran secara rawak jelas menunjukkan seolah-olah agenda tersembunyi yang sengaja mencabar sensitiviti umat Islam. Belum reda isu penganjuran pesta arak yang dikenali dengan Oktoberfest, kali ini timbul pula isu edaran Bible jelas menunjukkan belang pihak tertentu yang sengaja menyentuh sensitiviti umat Islam malah tindakan tersebut jelas mencemarkan perlembagaan.

3. Ini kerana dalam konteks kebebasan beragama yang termaktub membolehkan agama lain diamalkan namun kebebasan yang diberikan tersebut tidaklah bermaksud agama-agama bukan Islam boleh menyebarkan agama mereka kepada penganut agama Islam. Ini adalah sesuai dengan kedudukan Islam sebagai agama tertinggi dalam Negara.

Malah, Perkara 11 (4) memberi kuasa kepada kerajaan negeri atau kerajaaan persekutuan untuk menggubal undang-undang bagi mengawal atau menyekat penganut agama bukan Islam menyebarkan atau mengembangkan ajaran atau kepercayaan mereka kepada orang-orang Islam.

4. Walaupun negeri Pulau Pinang masih belum menggubal Enakmen Kawalan Dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) berdasarkan peruntukan kuasa yang telah diberikan oleh perlembagaan, namun hampir kesemua negeri telah menggubalnya. Ini menunjukkan sensitiviti umat Islam terhadap penyebaran agama lain ke atas penganut Islam adalah suatu yang sangat sensitif dan tidak menghormati uruf majoriti penganut Islam di Malaysia ini.

5. Dalam hal ini, beberapa penekanan yang mesti diberikan perhatian dan juga memerlukan tindakan lanjut iaitu:

a. Pihak kerajaan negeri Pulau Pinang serta negeri yang masih belum menggubal Enakmen Kawalan Dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) mesti menggubalkannya segera kerana peruntukan kuasa telah diberikan oleh perlembagaan sejak 30 tahun lalu.

b. Tindakan tegas dan langkah yang efisyen mesti diambil di negeri yang telah menggubal Enakmen Kawalan Dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) bagi menjaga akidah umat Islam daripada dirosakkan.

c. Pihak Menteri Agama dinasihatkan agar tidak terlalu terbuka dalam membuat kenyataan hal-hal yang boleh memberikan kesan negatif kepada umat Islam. Ini dilihat kepada beberapa kenyataan beliau kebelakangan ini. Malah dalam isu edaran Bible ini pun beliau dilihat berlembut yang tidak kena pada tempatnya.

6. Justeru, pihak Dewan Ulamak PAS Pusat menegaskan bahawa isu ini mesti dikawal dengan sebaiknya sebelum semakin parah. Ia dibimbangi adanya agenda tersembunyi oleh pihak terbabit dalam menguji sensitiviti umat Islam ke atas agama Islam sendiri. Sekiranya umat Islam tidak bangkit dan lesu dalam hal-hal ini apatah lagi berkaitan kesucian akidah, maka ia adalah kejayaan awal musuh Islam merosakkan Islam. Waspadalah dan ambil pengajaran sebagaimana kata-kata Buya Hamka:

“Apabila umat Islam masih membisu ketika agamanya dihina, maka gantikanlah pakaianmu dengan kain kafan”

“Islam Memimpin”

“Islam Jalan Penyelesaian”

USTAZ MOHD ASRI MAT DAUD
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat

4 Rabi’ Al-Awal 1440 / 12 November 2018