RAMADHAN DAN PERJUANGAN
PERANG AIN JALUT: TENTERA ISLAM HENTIKAN KEMARAAN MONGOL (25 RAMADHAN 658)
SEMENJAK pemimpin Tatar atau Mongol (Mughaliyah), Genghis Khan memulakan ekspedisi meluaskan Empayar Mongol ke barat pada 1206M, kerajaan Islam yang memanjang dari Baghdad ke Transoxiana (Asia Tengah) menjadi hadangan pada perluasan kuasa mereka, sekali gus menjadi pesaing utama Mongol dalam menguasai politik dunia. Kerana itu, sepanjang abad ketujuh Hijrah, menyaksikan pertembungan di antara Empayar Mongol dan Daulah Abbasiyah sehingga membawa kepada jatuhnya Baghdad pada 656H (1258M). Sebenarnya telah berlaku tiga serangan besar Empayar Mongol ke daulah Islam iaitu pada 617-620H yang dipimpin sendiri oleh Genghis Khan dan pada 628H pimpinan anaknya, Ogadei Khan dengan panglimanya, Syurmajan.
Dua serangan pertama ini telah menyebabkan menguasai Dinasti Khawarizmiyah (Turkmenistan, Tajikistan, Afghanistan, Pakistan dan sebahagian Iran sekarang) jatuh ke tangan Mongol. Ogadei Khan yang menyerahkan wilayahnya di kawasan timur (China, Mongolia dan Manchuria) kepada anaknya, Kublai Khan, sedang kawasan Parsi diserahkan kepada seorang lagi anaknya, Hulagu Khan, sedangkan Khan Agung dipegang oleh Manku Khan. Hulagu Khan yang berjaya dalam misinya meruntuhkam Baghdad pada 656H, mengatur langkah seterusnya untuk menguasai Syam yang diperintah oleh Dinasti Saljuk, selain pusat baru Daulah Abbasiyah di Kaherah, Mesir.
Kejatuhan Baghdad dan Pemulihan Semula Daulah Islam
Kekalahan Daulah Abbasiyah dalam serangan Mongol pada 1258M telah meruntuhkan kekhalifahan Islam. Kerajaan-kerajaan Islam yang wujud di Syam dan Mesir pula terpaksa berhadapan dengan serangan Salibiyah dan ancaman Mongol sekali gus. Di Syam, beberapa kerajaan kecil seperti Mosul, Anatol, Halab dan Damsyik telah tunduk kepada Hulagu Khan. Kerajaan Miyafarqin yang enggan bersekutu dengan Mongol telah diserang dan ditakluk, sehingga akhirnya Mongol menuju ke Palestin pada 1260M.
Di Mesir, ketika Dinasti Ayubiyah (1171-1341M) yang melemah, telah membangkitkan Dinasti Mamalik pada 1250M dengan pembunuhan Sultan al-Muazzam Turan Syah dan perkahwinan Izzuddin Aybak (1254-1257M) dengan Sultanah Sajaratul Dur. Dinasti Mamalik sendiri menghadapi krisis setelah Mamalik Bahri yang mengambil alih kerajaan dari keluarga Ayubiyah pada 1250M, bergeser dengan Mamalik Muizziyah, penguasa baru pada 1257M. Pada 1259M, Sultan Saifuddin al-Qutuz mengambil alih kerajaan daripada Sultan Mansur Ali (1257-1259M). Baginda telah mengatur gerakan untuk mengukuhkan sokongan keluarga Ayubiyah kepada Mamalik dan menarik sokongan bekas jajahan di Syam yang kini tunduk kepada Mongol, demi untuk mempertahan Palestin dan Mesir daripada serangan panglima Mongol, Kitbuga.
Pertempuran di Ain Jalut: Penjajahan Mongol Terhenti
Tiga langkah awal diambil oleh Sultan Saifuddin al-Qutuz dalam mengukuhkan kerajaannya ialah mengembalikan kestabilan pentadbiran, memberi pengampunan kepada pengikut Mamalik Bahriyah dan penyatuan semula Mesir dengan Syam. Penyelesaian konflik dalam tempoh tiga bulan ini telah membolehkan Mamalik menghadapi tentera Mongol yang sudah menguasai Palestin yang berjarak 35 km dari sempadan Mamalik. Hulaqu Khan telah menawarkan Mamalik supaya menyerah kalah, tetapi Sultan Saifuddin al-Qutuz berkeras untuk mempertahankan maruah Islam.
Setelah menyelesaikan masalah kewangan, Sultan Saifuddin al-Qutuz mengisytiharkan perang ke atas Mongol, bukan bertahan di Mesir. Pada Syaaban 658H, tentera Mamalik mula bergerak ke Akka dan mengadakan perjanjian damai dengan tentera Salib sebelum menuju ke Palestin dalam dua pasukan, salah satunya dipimpin oleh panglima Ruknuddin Baibars. Ketika pasukan Ruknuddin Baibars tiba di Gaza pada akhir Julai 1260M, tentera Mongol masih berada di Lubnan. Kitbuga mengantar pasukan kecil untuk menyekat tentera Islam, tetapi mereka tewas. Ini adalah kekalahan pertama pasukan Mongol di tangan tentera Islam sejak 617H.
Kekalahan tentera Mongol ini bukan sahaja menjadi penghinaan kepada mereka, bahkan membakar semangat tentera Islam. Kedua-dua pasukan Islam menuju ke Nablus, dan tiba di sana pada 24 Ramadhan 658H dan memilih kawasan mata air Ain Jalut sebagai medan perang. Tentera Islam bersedia menunggu ketibaan tentera Kitbuga. Ketika pasukan Mongol tiba pada 25 Ramadhan 658H, mereka diserang oleh dua ketumbukan, bermula dengan pasukan Ruknuddin Baibars, kemudian datang pula kepungan pasukan Sultan Saifuddin al-Qutuz. Akhirnya, Kitbuga yang meruntuhkan Baghdad pada 656H telah berjaya dibunuh sehingga tentera Mongol berpecah dan akhirnya dikalahkan. Kerana kekalahan ini, tentera Mongol tidak lagi menyerang Islam sehingga Timurlane menyerang Daulah Othmaniyah pada 1402M.
MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
25 Ramadhan 1439 / 10 Jun 2018