Home Minda Presiden

Penyelesaian dua negara laksana ubat penahan sakit

74
SHARE


Minda Presiden PAS
[Bil: 26 / 2024]
PENYELESAIAN DUA NEGARA LAKSANA UBAT PENAHAN SAKIT


Ubat penahan sakit atau dikenali sebagai analgesik ialah ubat yang digunakan untuk melegakan kesakitan, bukan bagi menyembuhkan sesuatu penyakit. Bagi menyegerakan tindak balasnya, maka ditambah lagi dadah yang melalaikan sehingga membawa khayal atau menidurkan seseorang itu.

Begitulah perumpamaan cadangan penyelesaian dua negara bagi isu Palestin yang ditaja oleh negara-negara yang menubuhkan negara haram Israel bagi memberi sedikit keselesaan kepada rakyat Palestin, pada masa yang sama memberi peluang kepada kaum Yahudi yang datang menubuhkan negara haram itu.

Penyelesaian dua negara, satu bahagian untuk Israel yang telah diisytiharkan sejak tahun 1948 dan satu lagi bahagian negara untuk penduduk asal Palestin yang telah dihalau, belum diketahui di manakah sempadannya. Cadangan tersebut merupakan langkah sementara waktu kepada rakyat Palestin yang menderita ditimpa kezaliman yang paling ganas dalam sejarah kemanusiaan.

Penduduk Palestin dihalau dari tanah air mereka, dirampas rumah kediaman, kedai dan kebun atau dimusnahkannya bagi menempatkan kaum Yahudi atas nama perjuangan menegakkan negara impian Israel Agung (Israel Kubra) bermula dari Sungai Nil di Mesir sehingga Sungai Furat di Iraq, daripada laut ke laut.

Penyelesaian dua negara atau two-state solution dalam menghadapi konflik Palestin-Israel dicadangkan oleh negara-negara besar yang dipimpin oleh Amerika Syarikat dan sekutunya yang terlibat dalam penubuhan negara haram itu. Pada masa yang sama, diberikan sokongan persenjataan yang bertali arus dari negara tersebut kepada Israel. Dibekalkan dengan semua jenis senjata, termasuk senjata pemusnah yang kononnya diharamkan, tetapi dihalalkan kepada mereka khususnya kepada Israel atas nama menjaga keselamatan dan keamanannya.

Israel tidak menerima cadangan penyelesaian dua negara kerana idea tersebut bercanggah dengan perjuangan Yahudi Zionis yang berjuang untuk menubuhkan sebuah negara yang lebih besar wilayahnya, termasuk wilayah di Mesir, Syria dan Iraq, bahkan sehingga wilayah Arab Saudi termasuk kawasan Khaybar dan Kota Suci Madinah.

Kempen penyelesaian dua negara dilakukan oleh negara-negara kuasa besar yang menubuhkan negara haram itu, dengan dukungan negara-negara Arab dan Islam bekas tanah jajahan yang  berada di bawah pengaruh kuasa besar penjajah itu.

Negara-negara Arab dan Islam dapat dipengaruhi dan ramai juga yang menyokong, termasuk negara Malaysia Madani, menunjukkan masih berada di bawah ketiak negara-negara besar Barat.

Bagi rakyat Palestin, sebelum adanya negara bagi Palestin yang sebenarnya belum ditentukan sempadannya, kerajaannya telah ditubuhkan tanpa berdaulat, kerana tidak mempunyai kuasa mutlak menjadi kerajaan yang merdeka sepenuhnya. Banyak perkara dan urusannya berada di bawah arahan Israel, sehingga terus membawa masuk pendatang Yahudi seramai-ramainya dengan latihan bersenjata dan dibekalkan senjatanya yang mampu membunuh serta memaksa rakyat Palestin meninggalkan rumah dan harta yang telah dirampas.

Kerajaan boneka Palestin itu dibentuk kabinetnya yang diketuai oleh seorang Presiden yang tidak berkuasa dan mengikut arahan negara-negara Barat dan sekutu yang membiayainya laksana dadah yang melekakan dalam ubat penahan sakit tersebut.

Namun, rakyat Palestin tidak menyerah kalah, mereka terus berjuang sejak penjajah British yang meneroka penubuhan Israel melalui Perjanjian Balfour pada tahun 1917. Ramai dalam kalangan para pemimpin dan rakyat yang telah gugur syahid, namun perjuangan jihad tetap diteruskan sehingga Israel berada dalam keadaan tidak aman. Malah, semua rakyatnya diberikan latihan ketenteraan dan bersenjata.

Berlaku beberapa kali peperangan besar sejak tahun 1948 apabila negara Israel diisytiharkan. Bahkan, berlaku lagi beberapa siri peperangan pada tahun 1967 dan 1973 yang melibatkan negara Arab disebabkan oleh tekanan kebangkitan rakyat bersama Palestin, di samping peperangan kecil yang berterusan.

Walau bagaimanapun, Israel tidak dapat dikalahkan disebabkan bantuan negara-negara kuasa besar yang berteknologi tinggi. Kemaraan tentera Arab pada peringkat awal tahun 1948 dilihat berjaya beberapa langkah, termasuk kemaraan Mesir pada tahun 1973 yang secara tiba-tiba dihalang dengan gangguan negara kuasa besar secara ketenteraan dan pengaruh politiknya terhadap negara-negara Arab dan Islam yang berpecah dan lemah sehingga mengecewakan perjuangan rakyat Palestin.

Sehinggakan, negara-negara tersebut dipermainkan dan ditipu dengan idea penyelesaian yang rapuh dan sebuah perjanjian yang menguntungkan Israel. Akhirnya, berlaku pula usaha ke arah mengadakan normalisasi ke atas negara haram itu.

Kebangkitan semula Islam yang juga memasuki negara Palestin telah melahirkan kumpulan Islam Tanzim Jihad pada awal tahun 80-an selepas berlakunya Revolusi Islam di Iran yang menumbangkan Kerajaan Shah yang menjadi rakan negara Israel pada tahun 1979.

Iran berubah memberi nafas baharu kepada perjuangan Palestin apabila Republik Islam Iran bukan sahaja membatalkan pengiktirafan kepada Israel, bahkan bertindak lebih proaktif menubuhkan pasukan khas bagi membebaskan bumi al-Aqsa, namun dimomokkan usaha itu kerana mazhab Syiah yang dianutinya.

Pada akhir tahun 80-an, ditubuhkan Harakah al-Muqawamah al-Islamiyyah (Hamas) yang lebih kuat dan besar pengaruhnya, mengambil pendekatan demokrasi dengan menyertai pilihan raya umum dan bersamanya sayap tentera Briged al-Qassam bagi menghadapi Yahudi Zionis. Selain itu, mengambil strategi damai terhadap rakyat Palestin dan peperangan terhadap Zionis.

Langkah damai berkonsepkan demokrasi bersama rakyat Palestin telah berjaya melebarkan pengaruh Hamas dalam kalangan rakyat Palestin sehingga mereka berjaya memperoleh kerusi terbanyak dalam Pilihan Raya Umum yang diadakan. Sepatutnya mereka dapat memimpin kerajaan, tetapi dihalang oleh Israel dan kuasa besar Amerika Syarikat bersama sekutunya dengan bertindak secara paksa diberikan kuasa kepada kumpulan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) yang mendapat kemenangan kecil untuk menubuhkan sebuah kerajaan boneka yang dirancang boleh melaksanakan idea penyelesaian dua negara.

Hamas terpaksa bertahan di wilayah Gaza yang ditekan dengan sekatan ekonomi, politik dan pentadbiran, serta serangan ketenteraan, namun pengaruh Hamas berjaya menyatukan semua kumpulan Palestin bagi menentang Israel.

Hamas telah berjaya menggerakkan semua kumpulan Palestin bersatu menentang Israel secara ketenteraan melalui Operasi Taufan al-Aqsa (Ribut al-Aqsa) pada 7 Oktober 2023 yang mengejutkan seluruh dunia, khususnya kuasa besar Amerika Syarikat dan Eropah yang terpaksa mengerahkan armadanya dan bala tentera yang besar bagi membantu Israel.

Operasi ketenteraan menentang Zionis dikuasai oleh kumpulan Islam Hamas, Tanzim Jihad, Hizbullah dan Ansarullah, serta semua kumpulan Islam daripada semua mazhab dan berbagai-bagai ideologi kanan dan kiri membawa kekuatan baharu yang tidak mampu dilakukan selama ini oleh negara-negara Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC). Hal ini disebabkan negara-negara itu telah termakan ubat penahan sakit yang disuap oleh kuasa besar Amerika dan sekutunya.

Sehingga kini, peperangan yang berlaku memakan hari-hari yang panjang berbulan-bulan lamanya dan hampir genap setahun dalam keadaan Israel tidak mampu menguasai medan perang, walaupun mereka sudah dibantu oleh rakan kuasa besar dan sekutunya. Para pejuang Palestin mampu meneruskan perjuangan, walaupun dalam keadaan Palestin dikecewakan oleh negara-negara Arab dan Islam yang masih berkhayal dengan teori penyelesaian dua negara.

Polisi pecah dan perintah (divide and rule) yang berlaku pada zaman penjajah masih berusaha digunakan, melalui pendekatan mewujudkan perpecahan melalui bangsa dan mazhab, sehingga mencetuskan perang proksi di beberapa negara Arab. Namun, isu Palestin telah mengukuhkan kembali perpaduan umat Islam di seluruh pelosok dunia tanpa peduli terhadap sikap kerajaan masing-masing yang sangat lemah.

Langkah berperang mengikut hukum Islam yang berperikemanusiaan oleh para pejuang Palestin adalah berbeza dengan tindakan Israel yang menggila lebih ganas daripada binatang sehingga mereka sanggup membunuh kanak-kanak, kaum wanita, warga tua, pesakit di hospital dan menyerang semua tempat berlakunya bantahan oleh seluruh dunia di semua negara termasuk negara Barat yang menyokong Israel. Keadaan ini telah menempa suatu sejarah baharu, sekali gus menyedarkan semua kalangan manusia yang berperikemanusiaan sehingga bertindak melalui Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) untuk mendedahkan kesyaitanan Israel dan bangsanya yang paling dimurkai Allah. Imejnya sudah kecundang, walaupun belum ada lagi pihak yang boleh menghukumnya.

Firman Allah SWT:

وَقَالَتِ ٱلۡيَهُودُ يَدُ ٱللَّهِ مَغۡلُولَةٌۚ غُلَّتۡ أَيۡدِيهِمۡ وَلُعِنُواْ بِمَا قَالُواْۘ بَلۡ يَدَاهُ مَبۡسُوطَتَانِ يُنفِقُ كَيۡفَ يَشَآءُۚ وَلَيَزِيدَنَّ كَثِيرٗا مِّنۡهُم مَّآ أُنزِلَ إِلَيۡكَ مِن رَّبِّكَ طُغۡيَٰنٗا وَكُفۡرٗاۚ وَأَلۡقَيۡنَا بَيۡنَهُمُ ٱلۡعَدَٰوَةَ وَٱلۡبَغۡضَآءَ إِلَىٰ يَوۡمِ ٱلۡقِيَٰمَةِۚ كُلَّمَآ أَوۡقَدُواْ نَارٗا لِّلۡحَرۡبِ أَطۡفَأَهَا ٱللَّهُۚ وَيَسۡعَوۡنَ فِي ٱلۡأَرۡضِ فَسَادٗاۚ وَٱللَّهُ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُفۡسِدِينَ ٦٤

“Orang-orang Yahudi berkata, ‘Tangan Allah terbelenggu’, sebenarnya tangan merekalah yang dibelenggu dan merekalah yang dilaknat disebabkan apa yang telah mereka katakan itu. (Tidak demikian), tetapi kedua-dua tangan Allah terbuka; Dia menafkahkan sebagaimana Dia kehendaki. Dan al-Quran yang diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu sungguh-sungguh akan menambah kederhakaan dan kekafiran bagi kebanyakan antara mereka. Dan Kami telah timbulkan permusuhan dan kebencian antara mereka sehingga Hari Kiamat. Setiap mereka menyalakan api peperangan Allah memadamkannya dan mereka berbuat kerosakan di muka bumi dan Allah tidak menyukai orang-orang yang melakukan kerosakan.” [Surah al-Ma’idah: 64]

Akhirnya, penyelesaian dua negara pasti akan ditelan zaman yang ditentukan oleh Allah mengikut ajalnya.

Penyelesaian dua negara hanyalah memberi peluang kepada kalangan munafiq dan bodoh terduduk meninggalkan tugas jihad dengan berbagai-bagai alasan yang salah. Mereka itulah golongan yang muncul dalam peristiwa Ahzab yang dinyatakan oleh firman Allah SWT:

۞قَدۡ يَعۡلَمُ ٱللَّهُ ٱلۡمُعَوِّقِينَ مِنكُمۡ وَٱلۡقَآئِلِينَ لِإِخۡوَٰنِهِمۡ هَلُمَّ إِلَيۡنَاۖ وَلَا يَأۡتُونَ ٱلۡبَأۡسَ إِلَّا قَلِيلًا ١٨ أَشِحَّةً عَلَيۡكُمۡۖ فَإِذَا جَآءَ ٱلۡخَوۡفُ رَأَيۡتَهُمۡ يَنظُرُونَ إِلَيۡكَ تَدُورُ أَعۡيُنُهُمۡ كَٱلَّذِي يُغۡشَىٰ عَلَيۡهِ مِنَ ٱلۡمَوۡتِۖ فَإِذَا ذَهَبَ ٱلۡخَوۡفُ سَلَقُوكُم بِأَلۡسِنَةٍ حِدَادٍ أَشِحَّةً عَلَى ٱلۡخَيۡرِۚ أُوْلَـٰٓئِكَ لَمۡ يُؤۡمِنُواْ فَأَحۡبَطَ ٱللَّهُ أَعۡمَٰلَهُمۡۚ وَكَانَ ذَٰلِكَ عَلَى ٱللَّهِ يَسِيرٗا ١٩

“Sesungguhnya, Allah mengetahui orang-orang yang menjadi penghalang antara kamu dengan orang-orang yang berkata kepada saudara-saudaranya, ‘Marilah kepada kami’. Dan mereka tidak mendatangi peperangan melainkan sebentar sahaja. (18) Mereka bakhil terhadapmu, apabila datang ketakutan (bahaya), kamu lihat mereka itu memandang kepadamu dengan mata yang terbalik-balik seperti orang yang pengsan kerana akan mati, dan apabila ketakutan telah hilang, mereka mencaci kamu dengan lidah yang tajam, sedang mereka bakhil untuk berbuat kebaikan. Mereka itu tidak beriman, maka Allah menghapuskan (pahala) amalnya. Dan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (19)” [Surah al-Ahzab: 18-19]

Apa yang berlaku membenarkan sabda Rasulullah SAW:

لَا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي عَلَى الدِّينِ ظَاهِرِينَ، لِعَدُوِّهِمْ قَاهِرِينَ، لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَالَفَهُمْ إِلَّا مَا أَصَابَهُمْ مِنْ لَأْوَاءَ، حَتَّى يَأْتِيَهُمْ أَمْرُ اللهِ، وَهُمْ كَذَلِكَ.

“Akan sentiasa ada daripada kalangan umatku suatu kumpulan yang nyata menegakkan agamanya (Islam) dengan gagah perkasa menghadapi musuh mereka. Mereka tidak boleh dimudaratkan oleh orang yang menentang mereka (atau mengecewakan), melainkan mereka hanya menghadapi sedikit kesusahan. Sehinggalah datang ketentuan (kemenangan dan pertolongan) Allah, sedang mereka masih tetap dalam keadaan begitu.”

قَالُوا: يَا رَسُوْلَ اللهِ، وَأَيْنَ هُمْ؟

Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, di manakah mereka?”

قَالَ: بِبَيْتِ الْمَقْدِسِ وَأَكْنَافِ بَيْتِ الْمَقْدِسِ.

Baginda menjawab, “Di Bait al-Maqdis dan sekitar Bait al-Maqdis.” [Riwayat Ahmad, Musnad Ahmad, Musnad al-Ansar, No. 22320, daripada Abu Umamah al-Bahili]

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS
Bertarikh: 22 Zulqa‘dah 1445 / 31 Mei 2024