Home Minda Presiden

Isu boikot terhadap zionis

70
SHARE

Minda Presiden PAS
[Bil: 24 / 2024]
ISU BOIKOT TERHADAP ZIONIS


Pendekatan boikot atau dalam bahasa Arab disebut muqata‘ah (مقاطعة) bukan perkara baharu. Dalam sejarahnya, boikot pernah dilakukan pada zaman para anbiya’ oleh kumpulan jahiliah terhadap perjuangan Islam, termasuk pada zaman Rasulullah SAW. Pihak Islam diizinkan untuk bertindak balas terhadap musuh dengan petunjuk Allah.

Allah berfirman menceritakan doa Nabi Musa yang diaminkan oleh Nabi Harun AS ketika mereka berdua menghadapi kezaliman Firaun. Firman Allah SWT:

﴿وَقَالَ مُوسَىٰ رَبَّنَآ إِنَّكَ ءَاتَيۡتَ فِرۡعَوۡنَ وَمَلَأَهُۥ زِينَةٗ وَأَمۡوَٰلٗا فِي ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا رَبَّنَا لِيُضِلُّواْ عَن سَبِيلِكَۖ رَبَّنَا ٱطۡمِسۡ عَلَىٰٓ أَمۡوَٰلِهِمۡ وَٱشۡدُدۡ عَلَىٰ قُلُوبِهِمۡ فَلَا يُؤۡمِنُواْ حَتَّىٰ يَرَوُاْ ٱلۡعَذَابَ ٱلۡأَلِيمَ ٨٨ قَالَ قَدۡ أُجِيبَت دَّعۡوَتُكُمَا فَٱسۡتَقِيمَا وَلَا تَتَّبِعَآنِّ سَبِيلَ ٱلَّذِينَ لَا يَعۡلَمُونَ ٨٩﴾

“Musa berkata, ‘Wahai Tuhan kami, sesungguhnya, Engkau telah memberi Firaun dan pemuka-pemuka kaumnya perhiasan dan harta kekayaan dalam kehidupan dunia ini. Wahai Tuhan Kami (kemewahan yang Engkau berikan) akibatnya mereka menyesatkan (manusia) dari jalan Engkau. Wahai Tuhan kami, binasakanlah harta benda mereka dan kunci matilah hati mereka, maka mereka tidak beriman hingga mereka melihat seksaan yang pedih.’ (88) Allah berfirman, ‘Sesungguhnya, telah diperkenankan permohonan kamu berdua. Oleh sebab itu, beristiqamahlah (tetaplah kamu berdua di jalan yang lurus) dan janganlah sekali-kali kamu mengikuti jalan orang-orang yang tidak mengetahui.’ (89)” [Surah Yunus: 88–89]

Doa dipanjatkan kepada Allah apabila kekayaan digunakan bagi menentang Islam. Setelah nyata bahawa Firaun tidak akan beriman lagi, maka Nabi Musa dan Nabi Harun AS memanjatkan doa kepada Allah supaya Firaun dibinasakan, termasuk hartanya, kerana sumber ekonomi juga menjadi senjata bagi menentang Islam.

Allah memperkenankan doa dengan syarat kemenangan wajib beristiqamah dan tidak jahil bertindak tanpa dipengaruhi oleh mereka yang bodoh.

Islam telah menetapkan garis panduan bagi menghadapi penentang Islam dalam beberapa nas al-Quran yang diamalkan oleh Rasulullah SAW, yang mengizinkan cara penentangan yang tidak melampau berkonsepkan maslahat dan sempadannya.

Rasulullah SAW ialah teladan yang wajib menjadi ikutan. Pemulauan ekonomi dilakukan melalui sekatan perdagangan, khususnya setelah berada di tapak yang kuat selepas hijrah dan bernegara yang berdaulat di Madinah. Sekatan ekonomi dilakukan dengan sempadan yang tidak melampau, sehingga mencetuskan Perang Badar al-Kubra secara adab peperangan dan strategi terbaik yang memberikan kemenangan. Peperangan bermula dengan sekatan perdagangan musuh yang pulang dari Syam. Ketika peperangan pula, bekalan air disekat kepada musuh.

Umat Islam juga memperoleh kemenangan dalam Peperangan Ahzab tanpa menyerah kalah tatkala menghadapi tekanan ekonomi sehingga ditawarkan bantuan ekonomi oleh Yahudi Madinah, dengan konsep berdikari bersama para sahabat kalangan Ansar yang sedia mempertahankan Islam dengan sumber ekonomi hasil ladang kurma mereka.

Golongan munafiq juga melakukan sekatan ekonomi di Madinah sebagaimana ucapan mereka yang didedahkan oleh Allah SWT dengan firman-Nya:

﴿هُمُ ٱلَّذِينَ يَقُولُونَ لَا تُنفِقُواْ عَلَىٰ مَنۡ عِندَ رَسُولِ ٱللَّهِ حَتَّىٰ يَنفَضُّواْۗ وَلِلَّهِ خَزَآئِنُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَلَٰكِنَّ ٱلۡمُنَٰفِقِينَ لَا يَفۡقَهُونَ ٧ يَقُولُونَ لَئِن رَّجَعۡنَآ إِلَى ٱلۡمَدِينَةِ لَيُخۡرِجَنَّ ٱلۡأَعَزُّ مِنۡهَا ٱلۡأَذَلَّۚ وَلِلَّهِ ٱلۡعِزَّةُ وَلِرَسُولِهِۦ وَلِلۡمُؤۡمِنِينَ وَلَٰكِنَّ ٱلۡمُنَٰفِقِينَ لَا يَعۡلَمُونَ ٨﴾

“Merekalah orang-orang yang mengatakan (kepada orang-orang Ansar), ‘Janganlah kamu memberikan perbelanjaan kepada orang-orang (Muhajirin) yang ada di sisi Rasulullah supaya mereka bubar (meninggalkan Rasulullah).’ Padahal kepunyaan Allah jua segala perbendaharaan langit dan bumi, tetapi orang-orang munafiq itu tidak memahami. (7) Mereka berkata, ‘Sesungguhnya, jika kita telah kembali ke Madinah, benar-benar orang yang kuat akan mengusir orang-orang yang lemah (umat Islam) darinya (Madinah).’ Padahal kekuatan itu hanyalah bagi Allah, bagi Rasul-Nya, dan bagi orang-orang Mukmin, tetapi orang-orang munafiq itu tiada mengetahui. (8)” [Surah al-Munafiqun: 7–8]

Para ulama telah menghuraikan dalam banyak karangan mereka daripada semua mazhab, bahawa sesuatu perkara itu dilihat dari segi maslahat. Terdapat maslahat yang diwajibkan, ada yang digalakkan, dan juga yang diharamkan. Sekatan ekonomi terhadap musuh juga menjadi maslahat yang diwajibkan apabila sumber ekonomi turut digunakan bagi menentang Islam.

Kini, sekatan dilakukan terhadap Zionis Israel dan bala tentera Ahzab yang menentang kebangkitan Islam dengan berbagai-bagai pendekatan dalam segala aspek, bukan sahaja kekerasan, malah termasuk cara halus melalui media, ekonomi, politik, dan lain-lain.

Allah menurunkan wahyu bagi menghadapi para penyair yang menjadikan syair sebagai alat serangan media pada zaman Rasulullah SAW. Firman Allah SWT:

﴿هَلۡ أُنَبِّئُكُمۡ عَلَىٰ مَن تَنَزَّلُ ٱلشَّيَٰطِينُ ٢٢١ تَنَزَّلُ عَلَىٰ كُلِّ أَفَّاكٍ أَثِيمٖ ٢٢٢ يُلۡقُونَ ٱلسَّمۡعَ وَأَكۡثَرُهُمۡ كَٰذِبُونَ ٢٢٣ وَٱلشُّعَرَآءُ يَتَّبِعُهُمُ ٱلۡغَاوُۥنَ ٢٢٤ أَلَمۡ تَرَ أَنَّهُمۡ فِي كُلِّ وَادٖ يَهِيمُونَ ٢٢٥ وَأَنَّهُمۡ يَقُولُونَ مَا لَا يَفۡعَلُونَ ٢٢٦ إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّٰلِحَٰتِ وَذَكَرُواْ ٱللَّهَ كَثِيرٗا وَٱنتَصَرُواْ مِنۢ بَعۡدِ مَا ظُلِمُواْۗ وَسَيَعۡلَمُ ٱلَّذِينَ ظَلَمُوٓاْ أَيَّ مُنقَلَبٖ يَنقَلِبُونَ ٢٢٧﴾

“Apakah akan Aku beritakan kepadamu, kepada siapa syaitan-syaitan itu turun? (221) Mereka turun kepada tiap-tiap pendusta lagi yang banyak dosa. (222) Mereka menghadapkan pendengaran (kepada syaitan) itu, dan kebanyakan mereka ialah orang-orang pendusta. (223) Dan penyair-penyair itu diikuti oleh orang-orang yang sesat. (224) Tidakkah kamu melihat bahawasanya mereka mengembara di tiap-tiap lembah. (225) Dan bahawasanya mereka suka mengatakan apa-apa yang mereka sendiri tidak mengerjakannya? (226) Kecuali orang-orang (penyair-penyair) yang beriman dan beramal soleh serta banyak menyebut Allah dan mendapat kemenangan sesudah menderita kezaliman. Dan orang-orang yang zalim itu kelak akan mengetahui ke tempat mana mereka akan kembali. (227)” [Surah al-Shu‘ara’: 221–227]

Zaman kini, peranan media dalam segala lapangan juga menjadi senjata menentang musuh.

Jangan ada dalam kalangan kita yang diperalatkan untuk membantu Israel dan bala tentera Ahzabnya, khususnya kalangan agamawan dan ilmuwan yang lemah dalam iktibar sejarah dan sepak terajang politik yang terkini.

Firman Allah SWT:

﴿وَقَٰتِلُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ ٱلَّذِينَ يُقَٰتِلُونَكُمۡ وَلَا تَعۡتَدُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُعۡتَدِينَ ١٩٠﴾

“Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas, kerana sesungguhnya, Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.” [Surah al-Baqarah: 190]

Firman Allah SWT:

﴿… فَمَنِ ٱعۡتَدَىٰ عَلَيۡكُمۡ فَٱعۡتَدُواْ عَلَيۡهِ بِمِثۡلِ مَا ٱعۡتَدَىٰ عَلَيۡكُمۡۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ وَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلۡمُتَّقِينَ ١٩٤﴾

“…Oleh sebab itu, sesiapa yang menyerang kamu, maka lakukan serangan ke atas, seimbang dengan serangannya terhadapmu. Bertaqwalah kepada Allah dan ketahuilah, bahawa Allah berserta orang-orang yang bertaqwa.” [Surah al-Baqarah: 194]

Kini, kita menyaksikan kumpulan Islam Hamas di Palestin yang dinafikan kemenangannya di Palestin secara demokrasi, namun tidak dibenarkan untuk memimpin Kerajaan Palestin kerana Islamnya dan terpaksa bertahan di Gaza. Tiba-tiba, Gaza yang kerdil itu dikepung pula dalam segala aspek politik dan ekonomi, sehinggalah serangan Zionis yang dibantu oleh bala tentera Ahzab dari Amerika Syarikat dan negara Eropah dalam masa ratusan hari.

Banyak negara yang bersimpati dengan Zionis Israel mengikuti gendang dan iramanya, bermula dengan propaganda Islamofobia sehinggalah bersatu membelasah Gaza dengan sekatan politik, ekonomi, dan ketenteraan. Semua kumpulan Islam Ahli Kiblat daripada semua mazhab yang memahami Islam yang sempurna seperti Hizbullah, Ansarullah, Tanzim Jihad, Ibadi Oman, dan Kerajaan Islam Syiah Iran bersatu bersama Hamas dengan menyatakan sokongan terbuka, melainkan kalangan Islam yang memisahkan antara kiblat ibadatnya ke Makkah dengan kiblat politiknya ke Amerika Syarikat dan Eropah.

Hamas dan semua kumpulan Islam yang berperang mengikut adab Islam tidak melampau, hanya menyerang sasaran ketenteraan. Berbeza dengan tentera Zionis Israel yang kuat bersama bantuan pasukan Ahzab daripada Amerika Syarikat dan Eropah menyerang dengan cara yang paling melampau. Bukan sahaja berperang, malah membunuh dengan cara yang paling melampau terhadap mereka yang tidak terlibat dengan peperangan seperti warga tua, kanak-kanak, dan para pesakit di hospital, rumah ibadat, sekolah, dan khemah penempatan, termasuk para sukarelawan daripada semua bangsa dan agama sehinggalah tanah perkuburan; semuanya menjadi mangsa serangan.

Langkah ekstrem Zionis Israel menggegarkan seluruh manusia yang berperikemanusiaan untuk bangkit menentang Zionis tanpa mengira agama, bangsa, dan ideologi yang dianut mendahului kerajaan masing-masing menentang Zionis Israel, termasuk di dalam negara Israel sendiri. Mereka melakukan demonstrasi serta pemulauan ekonomi dan media, sehinggalah beberapa negara terus memutuskan hubungan diplomatik dan menyeret Israel ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Kesan pemulauan ekonomi ialah antara yang paling ketara, walaupun berlaku secara automatik atas sifat kemanusiaan, antaranya pemulauan barangan Israel dan negara sekutunya. Bagi umat Islam, sudah ada sempadannya dalam al-Quran dan al-Sunnah jika dibaca dengan baik dan insaf.

Sangat malang dan ketinggalan bagi mereka yang mahu menganjurkan seminar kerana kejutan perkara yang berlaku dan lebih malang kalau diseret oleh perasaan simpati terhadap Zionis dan sekutunya.

Zionis Israel kini dalam keadaan gelabah kekalahan politik, ekonomi, dan ketenteraan. Sebenarnya, keadaan mereka sangat lemah yang menepati firman Allah SWT:

﴿لَا يُقَٰتِلُونَكُمۡ جَمِيعًا إِلَّا فِي قُرٗى مُّحَصَّنَةٍ أَوۡ مِن وَرَآءِ جُدُرِۢۚ بَأۡسُهُم بَيۡنَهُمۡ شَدِيدٞۚ تَحۡسَبُهُمۡ جَمِيعٗا وَقُلُوبُهُمۡ شَتَّىٰۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمۡ قَوۡمٞ لَّا يَعۡقِلُونَ ١٤﴾

“Mereka tidak akan memerangi kamu dalam keadaan bersatu padu, kecuali di dalam kampung-kampung yang berbenteng atau di sebalik tembok. Permusuhan antara sesama mereka adalah sangat hebat. Kamu mengira mereka itu bersatu, sedangkan hati mereka berpecah belah. Yang demikian itu kerana sesungguhnya, mereka ialah kaum yang tidak mengerti.” [Surah al-Hashr: 14]

Allah mendedahkan kelemahan mereka kerana terlalu mengejar kebendaan, lupa akan akhirat, dan paling takut akan kematian walaupun paling kejam dan zalim. Mereka melarikan diri daripada jihad menegakkan agama Allah pada zaman Nabi Musa AS, tetapi berperang mengejar keduniaan. Apabila berperang, mereka berlindung di sebalik tembok yang kebal dan terkini menggunakan kenderaan kebal dan berperisai serta senjata jarak jauh.

Mereka berpecah kerana keduniaan dan kebendaan sehingga menjadi hilang akal, seterusnya melakukan keganasan melebihi binatang yang tidak berakal. Walaupun dalam kalangan mereka dilantik para rasul yang paling ramai untuk memimpin mereka serta dikurniakan kitab ilmu wahyu, mereka tidak layak mendapat hidayah daripada Allah. Maka, ramai antara mereka yang kufur aqidah dan ni‘mat Allah serta melakukan kerosakan dan kejahatan di bumi Allah, sehingga menjadi bangsa yang paling dimurkai dan dilaknat oleh Allah.

Umat Islam berkewajipan secara fardu ‘ain bagi menentang mereka dalam segala aspek, termasuk pemulauan barangan Israel dan penyokong mereka. Kebanyakan sumber ekonomi berada di laluan negara Islam; dari Asia Tenggara, Asia Barat, dan Afrika Utara, sehinggalah Asia Tengah yang semuanya ialah wilayah Islam, termasuk umat Islam menjadi pasaran yang besar. Hanya sedikit sekatan di Laut Merah oleh Yaman sudah menggelabahkan seluruh penyokong Israel.

Pada masa yang sama, sokongan ekonomi dan kewangan kepada Palestin adalah sangat wajib dan penting dalam aspek perang ekonomi yang juga diwajibkan dengan janji fadilat yang paling besar dan berganda. Firman Allah SWT:

﴿مَّثَلُ ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمۡوَٰلَهُمۡ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنۢبَتَتۡ سَبۡعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنۢبُلَةٖ مِّاْئَةُ حَبَّةٖۗ وَٱللَّهُ يُضَٰعِفُ لِمَن يَشَآءُۚ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٌ ٢٦١﴾

“Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan harta mereka di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada tiap-tiap tangkai mengandungi seratus biji. Allah melipatgandakan (ganjaran) bagi sesiapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui.” [Surah al-Baqarah: 261]

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS
Bertarikh: 8 Zulqa‘dah 1445 / 17 Mei 2024