??Tadabbur Ramadhan??
Siri 09/1439H
Surah Al-Araf: Ayat 179: Penyebab Masuk Neraka
? Firman Allah serta terjemahannya:
وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرًا مِنَ الْجِنِّ وَالْإِنْسِ ۖ لَهُمْ قُلُوبٌ لَا يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لَا يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ آذَانٌ لَا يَسْمَعُونَ بِهَا ۚ أُولَٰئِكَ كَالْأَنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ ۚ أُولَٰئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ
Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi) neraka Jahannam kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.
? Tafsir ringkas :
1. Dalam ayat ini Allah s.w.t menyatakan ancaman nerakaNya terhadap golongan yang sesat dan lalai kerana mengabaikan beberapa tuntutan pengetahuan serta ni’mat pancaindera yang dikurniakan padanya. Golongan tersebut termasuklah
i) Jin, Iblis & Syaitan
ii) Manusia yang terdiri dari 3 kategori :-
a. Al-Ghofiluun – golongan yabg leka & lalai terhadap ayat-ayat dan ketentuan Allah s.w.t & Rasul.
b. Al-Munafiqun –golongan yang bermuka-muka, memahami ayat-ayat Allah, kadang menyatakan beriman tetapi tidak mentaati ketentuan Allah SWT & Rasul SAW.
c. Al-Kaafirun – golongan kafir yang sama ada diberikan peringatan ataupun tidak, tetap kufur dan tidak mahu mentaati, bahkan menentang ketentuan Allah SWT & Rasul SAW.
2. Golongan yang dijanjikan seksa neraka ini sama sekali tidak memanfaatkan anggota badan / pancaindera yang telah diciptakan Allah bagi tujuan mendapat petunjuk dan hidayah. Mereka tidak membuka hati yang dikurniakan kepada mereka untuk berfikir dan memahami, sedangkan bukti-bukti keimanan dan hidayah yang terbentang di alam buana dan di dalam perutusan-perutusan yang dibawa oleh rasul dapat difahami oleh hati yang terbuka dan matahati yang celik. Mereka tidak membuka mata mereka untuk melihat bukti-bukti kekuasaan Allah yang tersebar di alam ini. Mereka tidak membuka telinga mereka mendengar ayat-ayat Allah yang dibacakan kepada mereka. Mereka hidup cuai, lalai tanpa berfikir.
3. Apabila mereka berpaling, lalai dan mendustakan ayat-ayat Allah serta ajaran Rasul-Nya, maka Allah akan menutup bagi mereka pintu-pintu hidayah, di mana:
i) Hati tidak dapat memahami ayat-ayat Allah s.w.t;
ii) Mata tidak dapat melihat tanda-tanda kekuasaan Allah s.w.t;
iii) Telinga tidak dapat mendengar seruan dan perintah dari ayat-ayat Allah SWT.
4 . Allah SWT memberikan perumpamaan kepada golongan ini seperti binatang ternakan ( an’aam ), bahkah lebih hina dan sesat daripada binatang.
Na’uzubillah min zalik.
? Pengajaran :
1. Kita wajib merenung ke dalam diri yang penuh dengan ni’mat kurniaan Allah terutamanya tiga alat super canggih dalam diri manusia, iaitu qalbu (hati/akal), mata dan telinga. Bila ketiga-tiga alat itu tidak digunakan untuk memahami wahyu Allah yang menjadi sistem hidup manusia (syariat Allah) di dunia dan sunnatullah (sistem penciptaan Allah bagi alam semesta), maka manusia akan sukar menerima Islam sebagai the way of life. Bahkan di antara mereka akan memerangi Islam sebagaimana yang dilakukan oleh umat-umat terdahulu.
2. Sebagai seorang Muslim hendaklah kita berusaha sedaya upaya memperteguhkan keimanan kita terhadap Allah SWT dengan menggunakan sebaik-baiknya nikmat anggota badan/pancaindera yg Allah kurniakan itu, ke arah jalan ketaqwaan dan kebaikan, bukannya ke arah kemungkaran dan kemaksiatan. Kita hendaklah menggunakan ni’mat-ni’mat ini untuk berfikir, memahami, merenung apa yang tersurat dan tersirat agar kita tidak tergolong di kalangan penghuni neraka. Manfaatkanlah nikmat-nikmat ini dalam meraih dan mengembangkan ilmu pengetahuan demi untuk mendekatkan diri kita kepada Allah s.w.t.
3. Jagalah dan gunakan akal dengan sebaik-baiknya. Ia adalah potensi manusia yang paling sempurna. Dengannya manusia dapat berfikir dan memahami maksud tujuan diciptakan di muka bumi dan menjalankan visi dan misi sebagai seorang insan sejati iaitu mengabdi diri kepada Allah SWT dan menjadi khalifatullah.
4. Sentiasalah memanfaatkan keajaiban akal dengan sebaiknya dan tidak terlalu mengikut kehendak hawa nafsu sehingga melanggar ketentuan yang telah digariskan oleh Allah SWT yang menjadikan diri kita makhluk yang paling rendah dan hina, bahkan lebih hina daripada perilaku binatang.
5. Didiklah diri kita supaya kita membuka pintu hati dalam menerima dan memahami kebenaran yang Allah sampaikan kepada kita melalui sumber utama iaitu ayat-ayat Al-Quran serta sunnah RasulNya.
6. Seimbangkan penggunaan pancaindera yang hebat ini supaya kita dapat melihat kebenaran menggunakan mata hati bukannya melihat dengan fikiran semata, kerana manusia dikurniakan dengan mata zahir dan mata hati. Mata zahir digunakan untuk mengetahui ilmu dunia, akan tetapi ilmu wahyu memerlukan kita menggunakan mata hati dalam menilai dan memikirkan kebenarannya.
7. Berusahalah agar diri kita menggunakan kelebihan telinga untuk mendengar wahyu Allah. Luangkan masa untuk mempelajari tafsir Al-Quran serta memahaminya sebagai panduan kita sebagai seorang muslim dalam mencapai kejayaan dunia dan akhirat.
? Rujukan:
Tafsir Ibn Kathir
Tafsir Fi Zilalil Quran
Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak
9 Ramadhan 1439 / 25 Mei 2018