Home Berita PAS Wilayah

Penyatuan ummah bermasyarakat majmuk cabaran buat Wilayah

31
SHARE

 

Penyatuan ummah bermasyarakat majmuk cabaran buat Wilayah

Oleh DHIYA’ MUTTMAINNAH

BATU, 7 Nov: “Ucapan Dasar Tuan Guru Presiden berkaitan penyatuan umat Islam bermasyarakat majmuk merupakan suatu arahan dan cabaran buat warga PAS Wilayah Persekutuan.”

Demikian kata Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Azhar Yahya ketika ditanya berkenaan ucapan dasar Presiden dalam Muktamar PAS Pusat ke-67 yang berlangsung di Duyong Marina Resort, Kuala Terengganu semalam.

Beliau turut menyatakan bahawa agenda penyatuan ummah di tengah-tengah masyarakat majmuk itu sangat realistik terutama di Wilayah Persekutuan dengan kepadatan penduduk berbilang kaum.

“Bagaimana kita hendak memahami konsep masyarakat Madinah yang merupakan masyarakat majmuk terbaik yang dipaparkan oleh Rasulullah SAW?

“Bagaimana kaedah dan resepi Baginda dalam menyantuni masyarakat bukan Islam yang sangat ramai di peringkat awal penyebaran Islam dahulu?

“Ini semua memerlukan pengkajian yang serius dalam kita membawa gerakan dakwah, siasah dan tarbiyah di Wilayah Persekutuan yang merupakan sebuah kota pesat membangun,” jelas beliau.

Beliau turut mengingatkan semua ahli agar mendalami ilmu Fiqh Al-Ta’ayush kerana ia berkait rapat dengan panduan Islam bagi kewujudan bersama antara orang Islam dan bukan Islam dalam sesebuah negara.

“Inilah kuncinya jika kita ingin berjaya di Wilayah Persekutuan dalam mendukung ucapan dasar Presiden yang melibatkan masyarakat majmuk.

“Kita santuni masyarakat majmuk dengan ilmu dan praktikaliti terbaik yang pernah ditunjukkan dalam sepanjang kehidupan Nabi SAW.
InsyaAllah, di situlah keberkatan dan kekuatan PAS dalam bertindak dan berpolitik iaitu dengan petunjuk Allah dan Rasulnya.” kata beliau.