Home Berita PAS Wilayah

Pendidikan politik berlandaskan Islam perlu diambil serius

57
SHARE

 

Pendidikan politik berlandaskan Islam perlu diambil serius

Oleh FATIMAH SHAMSUDDIN

SETIAWANGSA, 7 NOV: “Isu pendidikan politik berlandaskan Islam adalah penting yang perlu diambil kira secara agresif oleh setiap pimpinan dan ahli PAS terutama apabila PAS telah menjadi sebahagian kerajaan. Kata-kata hikmah menyebut, “Orang Islam yang tidak pedulikan politik, akhirnya akan dipimpin oleh orang politik yang tidak pedulikan Islam”.”

Demikian tegas Perwakilan daripada Wilayah Persekutuan, Ustaz Dr. Azahar Yaakob ketika membahaskan ucapan dasar Presiden dalam Muktamar PAS Pusat kali ke-67 di Duyong Marina Resort, Kuala Terengganu semalam.

Beliau turut menjelaskan bahawa Islam telah menggariskan tiga kategori yang perlu menjadi sasaran utama dalam pembangunan pendidikan politik iaitu keluarga, masyarakat dan negara.

“Kepincangan yang berlaku di dalam institusi keluarga, masyarakat dan negara yang sangat membimbangkan hari ini salah satunya berpunca daripada ‘trend’ ideologi yang jauh daripada ajaran Islam iaitu sekularisme, hedonisme dan materialisme.

“Sekiranya PAS tidak mengambil langkah yang proaktif dalam membendung hal ini, maka masyarakat akan terus tidak memahami kepentingan Islam dalam menguruskan hal ehwal kehidupan,” ujarnya.

Beliau juga menegaskan agar pimpinan dapat bertindak aktif dan cergas dalam mengeluarkan kenyataan untuk mencerminkan ketegasan PAS dalam memperjuangkan amar makruf nahi mungkar.

Di dalam perbahasan itu juga, beliau membentangkan dua cadangan kepada PAS untuk dilaksanakan.

“Pertama, kita mesti memperkasakan AKIFI iaitu Alim, Haraki, Sufi. Ahli PAS hendaklah membentuk diri mereka menjadi seorang yang mempunyai keilmuan yang komprehensif, terlibat secara aktif di dalam gerakan Islam dan mempunyai akhlak yang terpuji agar ahli PAS menjadi contoh kepada masyarakat.

“Manakala yang kedua, PAS hendaklah mengadakan perbincangan dengan pucuk pimpinan negara supaya PAS dapat menguasai kementerian yang lebih dekat dengan nilai kemanusiaan. Ruang inilah yang perlu digunakan untuk membentuk kembali minda masyarakat kepada acuan Islam,”jelasnya.