Home Artikel PAS Wilayah

Penulisan Berstrategi, Penerangan Berkesan

568
SHARE

PENULISAN BERSTRATEGI, PENERANGAN BERKESAN

Oleh: Dhiya’ Muttmainnah
16 Mac 2020

BATU: Ameerah Batu komited melahirkan ejen penerangan PAS yang berkesan di peringkat Parlimen Batu.

Bengkel Pengurusan Isu Semasa anjuran Ameerah Batu dengan kerjasama Lajnah Penerangan PAS Kawasan Batu dan Lajnah Penerangan Dewan Muslimat PAS Kawasan Batu telah diadakan di Darul Madani, Pejabat Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan, baru-baru ini.

Antara objektif bengkel tersebut adalah untuk memastikan para peserta dapat menguasai teknik pengurusan isu semasa dengan baik sekaligus menatijahkan penerangan yang berkesan kepada masyarakat.

Turut hadir bersama adalah Yang diPertua (YDP) PAS Kawasan Batu merangkap Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Azhar Yahya, Timbalan YDP PAS Kawasan Batu, Ustaz Abu Bakar Abd Rahman, Ketua Penerangan PAS Kawasan Batu, Ustaz Yusuf Assiddiq Ahmad Sharkawi, Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Batu (DMPKB), Hajah Salbiah Abdul Wahab dan Ketua Penerangan DMPKB, Dr Hasiba Kamaruddin.

YDP PAS Kawasan Batu, Ustaz Azhar Yahya berucap merasmikan Bengkel Isu Semasa

Bengkel tersebut telah dirasmikan oleh Ustaz Azhar Yahya yang telah menyuarakan harapan beliau agar program sebegini menjadi salah satu wasilah dalam membantu masyarakat untuk mendapatkan penerangan yang benar dari PAS serta mengatasi provokasi dan fitnah yang berleluasa hari ini.

Bengkel yang bermula dari jam 9.00 pagi sehingga 1.30 tengahari itu telah dikendalikan oleh Ketua Felo Unit Kajian Parlimen Terengganu Strategic and Integrity Institute (TSIS) yang juga merupakan Setiausaha Akhbar Menteri Alam Sekitar iaitu Mior Isfandy bin Mior Azizan.

Antara kunci utama yang ditekankan oleh beliau dalam menghasilkan penerangan yang baik adalah dengan memperbanyakkan bacaan.

“Hasil bacaan yang banyak itu juga perlu diuruskan dengan ilmu agar mampu dinatijahkan dengan penuh hikmah,” ujar beliau lagi.

Hajah Salbiah Abdul Wahab dalam ucapan penutup beliau telah mengingatkan para peserta agar bengkel ini tidak berakhir begitu sahaja.

Beliau berharap agar bengkel ini menjadi satu batu loncatan buat para peserta yang hadir untuk menjadi ejen penerangan PAS yang baik dan berkesan.

“Yang penting, kita mesti mengangkat dan menonjolkan nilai Islam yang mendatangkan kesejahteraan sejagat kepada semua masyarakat,” seru beliau di akhir ucapan.