Home Artikel PAS Sarawak

Penting ‘Tarbiyyatul Aulad’ Dilaksana Ibu Bapa

355
SHARE

PETRA JAYA: Lajnah Pembangunan Wanita dan Keluarga Dewan Muslimat PAS Kawasan Petra Jaya telah menganjurkan program Sepetang Bersama Ustazah Ana melibatkan ibu-ibu waris murid PASTI dan pelajar SRITI.

Perkongsian berkaitan Tarbiyyatul Aulad atau Pendidikan Anak-anak disampaikan Pengerusi ‘Alimat dan Pembangunan Keluarga Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustazah Ana Mastura Ismail di Samariang, di sini kelmarin.

Dalam perkongsian tersebut, Ustazah Ana Mastura mengingatkan para ibu untuk menekankan aspek akidah terlebih dahulu dalam pendidikan anak-anak dan seterusnya aspek ibadah, pergaulan dan adab.

Beliau juga memandu peserta agar sentiasa jelas akan tujuan hidup iaitu keimanan kepada Allah supaya rasional dan tenang apabila berhadapan dengan pelbagai ujian hidup terutama ujian rumahtangga.

“Kita juga perlu perbetulkan balik niat kita untuk dapat anak biarlah zuriat kita boleh berjuang dalam perjuangan Islam dengan memberi kebenaran kepada anak-anak untuk menyertai program-program keagamaan jika keadaan mengizinkan.

“Ibu bapa terutama ibu juga perlu menjadi pendengar yang baik dan mendidik anak-anak mengikut usia mereka agar apa yang disampaikan dapat difahami dengan baik oleh anak-anak,” ujarnya lagi.

Menurut Pengerusi Lajnah Pembangunan dan Keluarga Muslimat PAS Petra Jaya, Diana Ngah, program ini merupakan julung kali diadakan bersempena kehadiran Ustazah Ana Mastura ke Kuching.

Beliau juga melahirkan rasa kesyukuran atas sambutan kehadiran yang sangat memberangsangkan dari ibu-ibu anak-anak PASTI dan SRITI serta berharap program sebegini dapat diadakan lagi pada masa akan datang.

Turut hadir Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Sarawak, Juwairiyah Matdin.