Home Berita PAS Kedah

Pengurusan hutan secara sistematik jamin kelestarian sumber hutan

259
SHARE

Oleh AMAL NABILA

LANGKAWI, 19 Okt – Kerajaan negeri melalui Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) akan terus mengurus sumber hutan berdasarkan prinsip ‘Pengurusan Hutan Secara Berkekalan’ bagi menjamin pembangunan sosio-ekonomi negeri.

Kerajaan negeri juga memperuntukkan RM7 juta bagi memastikan kelancaran pelaksanaan aktiviti pengurusan dan pembangunan hutan.

Menteri Besar, YAB Haji Muhammad Sanusi Md Nor berkata kepentingan sumber hutan meliputi kepelbagaian  biologi, ekosistem,  sumber air mentah dan kestabilan alam sekitar bagi memenuhi keperluan negeri Kedah dan negeri-negeri sempadan Kedah.

 

“Kedah telah mewartakan kawasan seluas 133,791 hektar sebagai kawasan perlindungan yang meliputi Hutan Tadahan Air, Hutan Taman Negeri, Hutan Perlindungan Hidupan Liar, Hutan Lipur, Hutan Perlindungan dan Hutan Pelajaran selaras dengan peruntukan Seksyen 10 (1) Enakmen (Pemakaian) Perhutanan Negara 1985,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Pengarah-Pengarah Perhutanan Negeri Semenanjung Malaysia kali ke-41 di Hotel Adya, Langkawi, baru-baru ini.

Selain itu, katanya, JPNK mengesan seluas 3,428  hektar kawasan hutan simpan di negeri ini diteroka secara haram oleh pihak tertentu sejak tahun 2011.

“Penerokaan hutan secara haram menyebabkan kehilangan hasil kepada kerajaan negeri dan menyebabkan kerosakan kepada kepelbagaian biologi dan kualiti sesuatu kawasan Hutan Simpanan Kekal.

“Dalam menangani masalah penerokaan haram, saya mencadangkan agar JPNK menggunakan teknologi terkini seperti penggunaan Unmanned Aerial Vehicle (UAV), penderiaan jauh (remote sensing) dan perkhidmatan radar digunakan sepenuhnya bagi mengawal dan memantau kawasan Hutan Simpanan Kekal yang berisiko tinggi kepada pencerobohan hutan oleh penduduk setempat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, sehingga kini, sejumlah 600,000 pokok telah berjaya ditanam di negeri Kedah oleh JPNK, lain –lain agensi kerajaan serta pelbagai pihak di seluruh negeri Kedah melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok yang telah dilancarkan pada 5 Januari 2021.

“Saya berharap agar Jabatan Perhutanan negeri Kedah akan terus dapat meningkatkan kerjasama dengan penduduk setempat, badan-badan bukan Kerajaan mahupun badan korporat dalam usaha-usaha pemuliharaan ini supaya komitmen kerajaan negeri terhadap usaha ini dapat direalisasikan.

“Hubungan erat yang terjalin perlu terus dikekalkan serta dipertingkatkan lagi kerana pengurusan hutan yang berkesan dan berkekalan memerlukan penglibatan yang bersepadu daripada pelbagai pihak,” katanya.