Home Berita PAS Melaka

Penghidap kanser usus tahap 4 terima bantuan kerusi roda

673
SHARE

Oleh : Ibnu Janie

MASJID TANAH, 12 Feb : Seorang pesakit kanser usus tahap empat, Nor Azizi Ismail telah menerima bantuan kerusi roda daripada Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK), PAS Kawasan Masjid Tanah.

Sumbangan ini telah diserahkan oleh Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah, yang juga Pengerusi Lajnah LKK PAS Kawasan Masjid Tanah, Cikgu Arshad Md Som di rumah Azizi, di sini, petang semalam.

Azizi yang kini menetap di Batu 23 3/4 Kampung Ramuan China Kecil memaklumkan bahawa beliau sudah membuat pembedahan bagi membuang kansernya itu sebelum ini namun masih belum sembuh sepenuhnya dan kini beliau kerap berulang alik ke Hospital Melaka bagi rawatan kemoterapi.

Beliau yang sudah berkeluarga dan mempunyai enam orang anak ini dahulu bekerja sebagai pemandu lori, namun kini tidak lagi mampu bekerja kerana keuzuran yang dialaminya akibat penyakit kanser ini.

Tambah Azizi, beliau kini sedang memohon bantuan daripada JAIM akibat hilang sumber pendapatan ditambah dengan isterinya pula tidak bekerja menyukarkan mereka untuk menampung perbelanjaan harian keluarganya.

Hadir sama di dalam majlis penyerahan itu ialah Ketua Urusan Muslimat JPrD PAS Ayer Limau, Ustazah Zainon Abd Rahman dan AJK Muslimat JPrD Ayer Limau, Rosila Suboh.