Home Berita PAS Pusat

Pengepungan Constantinople Oleh Sultan Murad II: Perintis Al-Fateh (3 Ramadhan 825h)

856
SHARE

RAMADHAN DAN PERJUANGAN

PENGEPUNGAN CONSTANTINOPLE OLEH SULTAN MURAD II: PERINTIS AL-FATEH (3 RAMADHAN 825H)

CONSTANTINOPLE merupakan sebuah kota strategikyang dikuasai oleh orang-orang Kristian, yang pernah dijanjikan oleh Nabi SAW bahawa ia akan dibuka oleh pemimpin terbaik. Kota ini dibuka oleh Kaisar Constantine pada tahun 330SM sebagai ibu kota empayar Rom Byzantine. Ia mempunyai kedudukan yang sangat strategik di pinggir Bosphorus, terutama untuk menguasai politik dan ekonomi Eropah. Kota ini menjadi pusat agama Kristian sehingga kejatuhannya pada 29 Mei 1453M.

Semenjak Islam bangkit menjadi sebuah empayar yang besar pada zaman Saidina Umar al-Khattab, ekoran jatuhnya Parsi, Baitul Maqdis, Damsyik dan Mesir ke tangan Islam, usaha-usaha untuk membuka Constantinople telah digerakkan bermula dengan gerakan Saidina Ali bin Abi Talib pada tahun 34H, dan diteruskan oleh Daulah Umayyah yang dipacu oleh Muawiyah bin Abu Sufian pada tahun 44-48H. Dalam tempoh selama hampir 800 tahun ini, sebanyak 12 ekspedisi dilakukan ke atas kota ini, iaitu sekali oleh Saidina Ali, lima kali oleh Daulah Umayyah, sekali oleh Daulah Abbasiyah dan lima kali oleh Daulah Othmaniyah. Kali pertama penyerbuan Othmaniyah dibuat oleh Sultan Yildirim Beyazid (793, 799 dan 802H), diikuti oleh Sultan Murad II (825H) dan akhirnya kejayaan dicapai oleh Sultan Mohammad al-Fateh pada tahun 857H (1453M).

Sultan Murad II: Sang Pemberani

Sultan Murad II (1421-1451) adalah sultan Daulah Othmaniyah yang keenam. Beliau adalah cucu kepada Sultan Yidirim Beyazid dan ayah kepada Sultan Mohammad al-Fateh. Beliau menjadi sultan sebanyak dua kali, di mana pada 1444-1446, beliau menyerahkan tahkta kepada anaknya, Mohammad al-Fateh, telah kembali menjadi sultan untuk menghadapi serangan-serangan orang Eropah ke wilayah Othmaniyah. Pada zamannya terjadi banyak perperangan dengan orang Kristian Eropah.

Ketika beliau mengambil alih kerajaan dari ayahnya, Mohamad I Celebi (1413-1421M), beliau berhadapan dengan pemberontakan bapa saudaranya, Mustafa Celebi yang disokong oleh Kaisar Byzantine, Manuel II. Mustafa Celebi kemudian mengisytiharkan dirinya sebagai Sultan Adrianople, sebelum ditumpaskan oleh Sultan Murad II. Baginda kemudiannya menubuhkan tentera Azeb pada 1421M, dan dapat menguasai Aydin, Germain, Menteshe dan Teke di Anatolia. Dalam tempoh antara 1428-1444M, Baginda berjaya menguasai Venezia, Karamanoglu, Serbia dan Hungary. Selepas menguasai Balkan dan Serbia, Othmaniyah menyertai Perang Varna pada 1444M untuk menentang gabungan Rom.

Kekalahan Baginda dalam Perang Jalowaz pada 1444M telah menyebabkan Baginda turun takhta dan menyerahkannya kepada Sultan Mohammad al-Fateh. Pada 1446M, Baginda menjadi sultan semula untuk menghadapi gabungan Kristian dalam Perang Kosova II pada 1448M dan dan mendepani serangan Mughal yang dipimpin oleh Shah Rokh, anak Temur Lenk. Pada 1450M, serbuan dibuat ke atas Albania dan Kruje, sebelum Baginda wafat pada 1451M.

Pengepungan Constaninople: Merintis Kebangkitan Othmaniyah

Kejayaan Sultan Murad II menyelesaikan pemberontakan Mustafa Celebi telah menimbulkan konflik baru dengan Byzantine kerana kuasa Kristian itu menaja gerakan pemberontakan. Pada 3 Ramadhan 825H bersamaan 21 Ogos 1422M, Sultan Murad II dengan pasukan Azeb telah melakukan pengepungan besar ke atas Constantinople. Ia ada lanjutan daripada tiga serangan Sultan Yildirim Beyazid sebelumnya, sekali gus untuk mengajar Byzantine yang cuba menaja gerakan pemberontakan sebelumnya. Pengepungan dengan 20,000 tentera Azeb ini telah menyebabkan beberapa wilayah Byzantine di sekitar Constantinople jatuh ke tangan Othmaniyah.

Untuk menyekat kemaraan Sultan Murad II, Kaisar Manuel II telah menggunakan helah dengan menghasut adinda sultan, Sehzade Mustafa untuk memberontak. Mustafa yang dikahwinkan dengan puteri Kaisar Ioannes VIII telah berpakat dengan Karamanoglu, Germain dan Hamit untuk menyerang Bursa pada 1422M. Tindakan Mustafa telah menyebabkan Sultan Murad II membatalkan hasratnya menawan Constantinople. Baginda menarik tenteranya untuk mempertahankan Bursa. Constantinople kemudiannya jatuh ke tangan Islam pada 1453M di bawah Sultan Mohammad al-Fateh.

MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
3 Ramadhan 1439 / 19 Mei 2018