Home Berita PAS Wilayah

Penganjuran Ratu Cantik Miss World Malaysia Merendah Daya Pemikiran Manusia

795
SHARE

Kenyataan Media
Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan

PENGANJURAN RATU CANTIK MISS WORLD MALAYSIA MERENDAH DAYA PEMIKIRAN MANUSIA
(23 Disember 2020)

Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan membantah penganjuran Ratu Cantik Miss/Mrs Plus World Malaysia 2020 Grand Final Gala Night yang dijadual berlansung pada 2 Januari 2021 di Sunway Hotel Kuala Lumpur. DUPWP melihat penganjuran program ratu cantik di tengah wabak COVID 19 yang melanda dunia sangat tidak beradab, bertanggungjawab dan memalukan negara. Ia juga satu acara yang tidak memberi faedah kepada negara melainkan membawa impak negatif kepada masyarakat.

DUPWP menganggap penganjur tidak prihatin terhadap suasana dan sensitiviti masyarakat khususnya umat Islam di negara ini. Di saat masjid dan rumah ibadah ditutup, aktiviti keagamaan tidak dibenarkan, majlis ilmu di hadkan, manakala banyak aktiviti yang berfaedah terhalang kerana kekangan PKPB di kebanyakan negeri, pertandingan ratu cantik pula dibuka dan dibenarkan. Penganjur sengaja mahu mengundang kemarahan umat Islam dengan penganjuran pertandingan ratu cantik seperti ini. Apakah mereka sudah kering idea bagi menganjurkan aktiviti lain yang menambah nilai positif kepada masyarakat dan memberi kebaikan kepada semua pihak?

Kami menegaskan, wanita bukan untuk dieksploitasi sedemikian rupa. Kecantikan wanita bukan untuk ditonton dan dipamerkan. Maruah dan harga diri wanita tidak boleh dijual beli dan diperagakan. Wanita adalah anugerah Tuhan untuk dimuliakan dan diangkat kedudukannya. Mereka perlu dilindungi, dijaga, dikawal dan dipelihara sebaiknya. Tempat mereka bukan di kawasan terbuka untuk dilihat oleh orang lain tanpa pakaian, tetapi di kedudukan tinggi yang dihormati semua pihak.

Selain bercanggah dengan ajaran Islam, penganjuran ratu cantik juga melanggar batas susila dan budaya timur. Masyarakat Malaysia masih terkenal dengan adat ketimuran, rasa malu, menghormati dan menjaga kemuliaan diri dan orang lain. Aktiviti yang bebas tanpa had boleh mengundang gejala negatif khususnya dari kalangan anak-anak muda seperti pergaulan bebas, perzinaan, akhlak yang rendah, jenayah dan lain-lain lagi.

Justeru DUPWP mendesak agar penganjur segera membatalkan penganjuran Miss/Mrs Plus World Malaysia 2020 Grand Final Gala Night. Acara ini tidak perlu dilangsungkan pada bila-bila masa dan di mana sahaja kerana ia sudah ketinggalan zaman. Masyarakat maju yang bertamadun semakin bijak menganjurkan acara, dan memilih untuk mengangkat intelek dan daya pemikiran manusia, bukan memperbodoh dan menghina manusia. Masyarakat yang bijak sudah mengerti acara berfaedah yang menguntungkan dan acara yang merugikan. Kita sepatutnya berlumba-lumba mencari apakah bentuk acara yang memberi nilai tambah kepada peradaban dan daya pemikiran manusia supaya dihormati dan disegani.

USTAZ HJ MD ALI JAMIL
Ketua Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan