Home Kenyataan Media Dewan Ulamak PAS Pusat

Penganjur Debat Piala Tun Razak Perlu Peka Soal Hukum

85 views
SHARE

KENYATAAN MEDIA
Dewan Ulamak PAS Pusat

PENGANJUR DEBAT PIALA TUN RAZAK PERLU PEKA SOAL HUKUM

Bismillahirrahmanirrahim

1. Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menegur sikap penganjur jawatankuasa Debat Piala Tun Razak yang diadakan kalangan pelajar sekolah yang berusia 13 – 15 tahun baru-baru ini atas kecuaian tajuk-tajuk yang dipilih untuk diperdebatkan.

2. Sepatutnya perkara ini tidak menjadi isu kerana soal berhubung agama mestilah lebih sensitif untuk dipastikan kawalannya dan mestilah merujuk terlebih dahulu kepada para ulamak yang merupakan ahli dalam bidang agama Islam.

3. Tajuk-tajuk debat menjadi polemik apabila dalam konteks berdebat semestinya ada pihak yang menyokong dan pihak yang membangkang. Bagaimana mungkin, wujudnya bangkangan ke atas sesuatu yang telah jelas dan muktamad akan dosanya seperti homoseksual?

4. Sedangkan jelas firman Allah SWT dalam hal ini seperti berikut :

وَلُوطًا إِذۡ قَالَ لِقَوۡمِهِۦۤ أَتَأۡتُونَ ٱلۡفَـٰحِشَةَ مَا سَبَقَكُم بِهَا مِنۡ أَحَدࣲ مِّنَ ٱلۡعَـٰلَمِینَ  إِنَّكُمۡ لَتَأۡتُونَ ٱلرِّجَالَ شَهۡوَةࣰ مِّن دُونِ ٱلنِّسَاۤءِۚ بَلۡ أَنتُمۡ قَوۡمࣱ مُّسۡرِفُونَ

Maksudnya :
“Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya: “Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu? “Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas”.
[Surah Al-A’raf 80 – 81]

5. DUPP melahirkan kebimbangan dengan situasi semasa yang menjurus kepada penularan agenda liberalisme seperti ini menjadi seolah-olah proses normalisasi ke dalam minda masyarakat tanpa sedar yang akhirnya perkara maksiat dan dosa dianggap biasa. Sedangkan jelas ia bercanggah dengan kehendak agama yang sebenarnya.

6. Sehubungan itu, dalam konteks kebebasan bersuara pada masa kini yang diharapkan mestilah kebebasan tersebut tidak melampaui batasan syariat. Bukanlah maksud kebebasan bersuara itu sehingga melupakan sempadan dosa dan pahala.

7. Asasnya, dalam kebebasan bersuara, semua pihak mesti memahami panduan asas yang telah ditetapkan seperti :

i. Kebebasan bersuara bukanlah sehingga menceroboh sesuatu yang telah jelas hukum halal atau haramnya.

Hadith dari an-Nu’man bin Basyir, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda :

إِنَّ الْحَلَالَ بَيِّنٌ، والْحَرَامَ بَيِّنٌ

Maksudnya : “Sesungguhnya perkara yang halal itu jelas dan perkara yang haram itu jelas.” – riwayat al-Bukhari dan Muslim

ii. Kebebasan bersuara bukanlah pada perkara yang tidak mendatangkan faedah untuk diri, bangsa, dan agama.

Hadith dari Abu Hurairah, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda :

من حُسْنِ إسْلَامِ الْمَرْءِ تَرْكُهُ مَا لَا يَعْنِيهِ

Maksudnya : “Antara yang menunjukkan keelokan Islam adalah dengan
meninggalkan perkara-perkara yang tidak mendatangkan faedah untuk dirinya.” riwayat at-Tirmizi dan Ibn Majah

iii. Kebebasan bersuara bukan dengan mengadakan perhimpunan atau majlis yang membincangkan perkara yang haram atau sesuatu yang bercanggah dengan syariat Islam. Firman Allah SWT:

لَّا خَیۡرَ فِی كَثِیرࣲ مِّن نَّجۡوَىٰهُمۡ إِلَّا مَنۡ أَمَرَ بِصَدَقَةٍ أَوۡ مَعۡرُوفٍ أَوۡ إِصۡلَـٰحِۭ بَیۡنَ ٱلنَّاسِۚ وَمَن یَفۡعَلۡ ذَ ٰ⁠لِكَ ٱبۡتِغَاۤءَ مَرۡضَاتِ ٱللَّهِ فَسَوۡفَ نُؤۡتِیهِ أَجۡرًا عَظِیمࣰا

Maksudnya : “Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau berbuat kebaikan, atau mendamaikan di antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredhaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar.” – Surah an-Nisa’ : 114

iv. Kebebasan bersuara mestilah menjauhi sebarang kata-kata kesat yang berbaur penghinaan, cemuhan dan seumpamanya yang boleh mencetuskan perbalahan sesama manusia serta kerosakan umum.

Hadith dari Abdullah ibn Mas’ud bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda :

لَيْسَ الْمُؤْمِنُ بِالطَّعَّانِ وَلا اللَّعَّانِ وَلا الْفَاحِشِ وَلا الْبَذِيءِ

Maksudnya : “Seorang Mukmin yang sempurna imannya bukanlah seorang pengutuk, pelaknat, pelaku perkara-perkara keji dan bukan juga seorang yang bercakap kotor.” – riwayat at-Tirmizi

v. Kebebasan bersuara bukanlah tiket untuk berkata apa sahaja menurut sesuka hati malah adabnya ialah menjauhi perkara yang sia-sia serta lebih elok berdiam dari berkata perkara yang tidak elok.

Firman Allah SWT :

وَٱلَّذِینَ هُمۡ عَنِ ٱللَّغۡوِ مُعۡرِضُونَ

Maksudnya : “Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia” – Surah al-Mu’minun : 3

Hadith dari Abu Hurairah bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda :

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ ، فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ

Maksudnya : “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia berkata baik atau diam” – riwayat al-Bukhari

8. Dengan panduan asas ini, DUPP memperingatkan kepada mana-mana pihak yang menganjurkan sebarang pertandingan debat atau apa sahaja yang melibatkan konteks kebebasan bersuara supaya menjaga etika dan displin agar tidak mengundang lagi sebarang polemik, terutamanya yang menyentuh sensitiviti agama.

Sekian.

YB DR NIK MUHAMMAD ZAWAWI SALLEH
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Malaysia (Pasir Puteh)

24 Safar 1441 l 23 Oktober 2019