Home Berita PAS Pusat

Pendudukan/Pemilikan Tanah di Bawah Akta GSA Perlu di Pinda

2569
SHARE

Kenyataan Media
Pendudukan/Pemilikan Tanah di Bawah Akta GSA Perlu di Pinda


Sambutan Hari Peneroka Kebangsaan 2017 pada 23 Julai 2017 yang lalu menyaksikan Perdana Menteri mengumumkan 6 Insentif Khas bagi menawan hati peneroka Felda menjelang PRU14.

Insentif Kedua yang diumumkan oleh Perdana Menteri adalah untuk memberikan kebenaran kepada peneroka bagi membina lebih dari 1 unit rumah dalam 1 tapak rumah yang sama adalah mustahil di laksanakan berdasarkan peruntukan perundangan yang sedia ada.

Pada masakini, berdasarkan peruntukan-peruntukan Akta Tanah (Kawasan Petempatan Berkelompok) 1960 (“Akta GSA”) khususnya Seksyen 7 dan Seksyen 14, dan Perjanjian Peneroka dengan Felda, hanya memperuntukan bahawa seorang individu sahaja yang dibenarkan pendudukan dalam jangkaan hakmilik (occupation in expectation of title) dan selanjutnya akan diberimilikan penuh melalui dokumen Hakmilik yang dikeluarkan kemudian dari itu.

Melalui Seksyen 15 Akta yang sama, pemilikan maksimum kepada 2 orang pemilik boleh diberikan sebagai “pemilik bersama” tanpa pecah bahagi, atas permohonan pemilik sedia ada untuk diberikan sebahagiannya kepada isteri, bekas isteri atau waris-waris ATAU melalui apa-apa perintah Mahkamah dibawah mana-mana Enakmen Keluarga Islam Negeri-Negeri atau Law Reform (Marriage & Divorce) 1976.

Dibawah Akta GSA dan Perjanjian Peneroka, setiap peneroka diberikan 1 tapak rumah yang berkeluasan lebih kurang ¼ ekar (250 depa) dan 10 ekar tanah ladang.

Atas asas perundangan sedemikian, Insentif berupa kebenaran untuk membina lebih dari 1 unit rumah atas 1 tapak rumah sebagaimana yang diumumkan oleh Perdana Menteri, tidak akan memberi apa-apa makna serta tidak melestarikan keharmonian keluarga peneroka, tanpa Kerajaan menunjukkan keseriusan untuk menyemak semula konteks pendudukan dalam jangkaan hakmilik dan pemilikan dalam konteks Akta GSA.

Hal ini kerana membenarkan pembinaan lebih dari 1 rumah (lebih dari satu keluarga) atas 1 tapak rumah, tanpa membenarkan pemilikan secara sah, serta tanpa kebenaran pecah bahagi, akan hanya mengundang malapetaka yang lebih besar khususnya selepas kematian peneroka asal. Apatahlagi dalam keadaan Akta GSA pada masakini tidak mengiktiraf hak waris-waris di bawah Hukum Faraid dan Perintah Pembahagian Pusaka untuk didaftarkan sebagai pemilik bersama bagi tanah-tanah yang tertakluk kepada Akta GSA.

Oleh yang demikian, PAS mendesak Perdana Menteri agar segera mengarahkan Peguam Negara untuk meneliti semula peruntukan-peruntukan berkaitan pendudukan dan pemilikan di bawah Akta GSA dan selanjutnya membentangkan pindaan kepada Akta GSA tersebut pada sidang Parlimen akan datang, dengan mengutamakan kebenaran pendudukan, dan pemilikan berdaftar yang melebihi 1 orang bagi 1 tapak rumah, termasuk memberikan kebenaran pecah bahagi.

PAS juga mendesak agar Perdana Menteri menunjukkan komitmen yang jelas untuk memberikan ruh Islam kepada Akta GSA dengan membenarkan pewarisan hakmilik selepas kematian peneroka asal, selaras dengan Hukum Faraid

Sejahtera Bersama Islam.

Wan Rohimi Wan Daud

Pengerusi,
Lujnah Pembangunan Tanah, Peneroka Bandar Dan Hal Ehwal Orang Asal,
PAS Pusat.

7 Zulkaedah 1438 | 1 Ogos 2017

{jathumbnail off}