Home Artikel PAS Sabah

Penduduk Batu Sapi kemuka petisyen tuntutan isu elektrik ke parlimen

237
SHARE

Oleh : Mustaman Bin Mustain
15 November 2019

BATU SAPI : Penduduk Kampung Sundang dan Kampung Bongaya Baru dalam kawasan ini telah menyerahkan petisyen ke parlimen yang diterima oleh kedua belah pihak kerajaan dan blok pembangkang semalam di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur.

Penyerahan tersebut telah diwakili oleh Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Sabah, Norsah Bongsu yang terlebih dahulu diterima oleh Ahli Parlimen Kubang Kerian, Dato’ Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man mewakili blok pembangkang.

Setelah meneliti dokumen berkenaan, Ustaz Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden PAS terkejut dan berpendapat bahawa caj elektrik yang dikenakan oleh syarikat swasta kepada penduduk kampung adalah tidak wajar.

Beliau mengharapkan masalah yang sudah berlarutan lebih 20 tahun itu dapat diselesaikan segera oleh kerajaan negeri Sabah dan pihaknya akan berusaha membantu penduduk kampung sekiranya kerajaan tidak memperdulikannya.

Selain itu, wakil penduduk kampung yang diiringi Ustaz Tuan Ibrahim dan Ahli Parlimen PAS Rantau Panjang, Dato’ Hajjah Siti Zailah Mohd Yusoff turut menyerahkan petisyen tersebut kepada pihak kerajaan yang diterima oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong.

Norsah turut menyampaikan hasrat penduduk kampung kepada Ahli Parlimen Batu Sapi itu yang menolak syarikat swasta menguruskan elektrik di penempatan mereka sebaliknya mengharapkan ianya diuruskan secara terus oleh SESB.

Menurut Norsah, dalam pertemuan itu Vui Keong berjanji untuk berbincang dengan pihak SESB dan Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, YB Isnaraissah Munirah Majilis bagi mencari jalan penyelesaian.

Katanya lagi, Vui Keong turut mengakui bahawa jalan penyelesaian kepada isu ini ialah dengan memasang meter elektrik melalui SESB tetapi hanya melibatkan Kampung Bongaya Baru kerana telah digazetkan sebagai perkampungan.

Tambahnya, Ahli Parlimen Batu Sapi itu juga berpendapat bahawa syarikat swasta yang menguruskan elektrik kini masih perlu dikekalkan di Kampung Sundang namun dengan kadar bayaran yang lebih rendah.

Vui Keong juga dalam pertemuan itu menurut Norsah meminta masa selama 6 bulan bagi kerja-kerja awal dan menentukan unit rumah di Kampung Bongaya Baru sebelum elektrik dimasukkn secara terus oleh SESB.