Kenyataan Media Setiausaha Akhbar Presiden PAS
PENDIRIAN PRESIDEN PAS YANG KONSISTEN DALAM ISU 1MDB
1. Sehingga kini masih berlegar di media massa, persepsi buruk dengan niat jahat yang dimainkan oleh musuh politik untuk menggambarkan Dato’ Seri Tuan Guru Presiden PAS menyokong bahkan mempertahankan salah urus tadbir 1MDB. Sedangkan umum mengetahui bahawa sudah puluhan tahun, Presiden PAS tegar melawan kezaliman yang zahir atau tersembunyi disebalik wayang kulit yang dipentaskan, tidak kira UMNO-BN atau parti yang sama sifatnya.
2. Bahkan sejarah perlawanan UMNO dan PAS dalam pilihanraya, hanya sekali sahaja PAS tidak menentang UMNO ketika PAS bersama-sama dalam Barisan Nasional (BN), selebihnya 12 kali pilihanraya PAS berlawan dikerusi yang ditandingi UMNO termasuklah PRU14 akan datang. Malahan Tuan Guru Presiden tidak pernah menjadi ahli UMNO, sedangkan sebahagian pimpinan parti pembangkang lain adalah bekas pimpinan dan ahli UMNO.
3. Suka untuk saya menjelaskan kekeliruan yang dimainkan, agar yang gelap dicerahkan, yang cerah tersebar serata alam.
4. Sejak isu 1MDB menggegarkan panggung politik tanah air, Tuan Guru Presiden mengikuti secara dekat dan memandang jauh sama ada tersurat atau tersirat disebalik respon dan tindakan kerajaan atau pembangkang.
5. Pada 9 Mei 2015, Tuan Guru telah memberi respon dan mendesak kerajaan untuk membentangkan hasil bedah siasatan kepada ahli Parlimen dan menyatakan kekecewaan beliau terhadap tindakan kerajaan yang gagal memulihkan kepercayaan rakyat serta menggesa kerajaan mengemukakan penyelesaian yang berkesan.
“Perdana Menteri sendiri harus menjelaskan kepada semua Ahli Parlimen dan hendaklah membentangkan hasil bedah siasat terperinci terhadap audit kewangan 1MDB. Kita tidak mahu rakyat tertipu lagi dengan isu 1MDB ini serta terus menanggung beban pelbagai salah urus tadbir kewangan yang pernah berlaku sebelum ini.
Langkah sumbang Tabung Haji dan 1MDB ini bakal mengundang malapetaka besar bagi negara lantaran ketidakpedulian kerajaan terhadap teguran-teguran Jabatan Audit Negara selama ini. Apatah lagi yang terpalit dalam isu ini ialah anak syarikat Tabung Haji di mana selama ini diyakini rakyat jelata untuk tabungan khas mereka. Amat malang andai institusi ini digunakan oleh pihak kerajaan bagi urusan lain yang bukan menjadi tujuan penubuhan Tabung Haji.
Kita juga kecewa apabila kerajaan juga hingga ke hari ini gagal memberi penjelasan meyakinkan berhubung segala isu yang membelengu 1MDB, termasuk penyelesaian segera terhadapnya. Sebaliknya, condong dilihat menyelamatkan kroni sedangkan pada waktu yang sama, rakyat terbeban dengan kos sara hidup yang meningkat dan menderita dengan tindakan baru kerajaan yang mengenakan GST kepada semua lapisan rakyat tidak kira miskin dan kaya.” (https://www.pas.org.my/kenyataan-berita/167-peringkat-pusat/kolum-pimpinan/presiden/kenyataan-presiden-pas-sesi-2013-2015/4999-jangan-salah-guna-tabungan-rakyat )
6. Dalam kenyataan lain pada 8 Julai 2015 di Kota Bharu, Tuan Guru mengingatkan supaya isu 1MDB tidak memperjudikan nasib rakyat.
“Kita lihat apa yang akan dibincang nanti, kita tidak mahu ia (1MDB) boleh menyusahkan rakyat, tidak mahu rakyat menjadi beban.” (https://www.pas.org.my/kenyataan-berita/5190-kita-lihat-apa-akan-dibincang-nanti-presiden-pas)
7. Tuan Guru Presiden turut menyifatkan beberapa siri korupsi dan salah urus tadbir kewangan negara berlaku akibat menjadikan politik sebagai peluang untuk memenuhi kepentingan peribadi, kroni atau kumpulan, bukannya menunaikan tanggungjawab dan amanah. Peringatan ini disampaikan dalam ceramah Perhimpunan Istiqamah Hingga Kemenangan (PIHAK 11) di Tangkak, Johor pada 5 September 2015 dengan menyebut:
“Hanya dengan melaksanakan Islam sahaja akan mampu menyelesaikan segala kemelut yang melanda negara mutakhir ini. Terjadinya isu kewangan RM2.6 billion, 1MDB, KWSP, Tabung Haji, Perwaja dan Maika Holdings yang merunsingkan rakyat negara ini adalah natijah apabila politik dianggap sebagai satu peluang dan bukannya amanah.” (https://www.pas.org.my/kenyataan-berita/6281-apabila-politik-dianggap-peluang-presiden-pas )
8. Teguran Tuan Guru semakin keras, apabila menyeru seluruh rakyat rehatkan UMNO dalam pilihanraya akan datang bagi menyelesaikan kemelut 1MDB dan krisis negara, hal ini disebut dalam Ceramah Perasmian Himpunan Harapan Semua (HARAP 3.2) di Pulau Serai, Dungun, Terengganu pada 18 September 2015:
“Beri UMNO berehat, tengok PAS memerintah negara ini macam mana. Dengan tokoh-tokoh politik, ekonomi yang ada macam-macam ini, tengok macam mana kita nak memerintah dengan Islam. Barulah tak timbul kapal terbang hilang, tak timbul 1MDB, tak timbul Perwaja yang kilang besi itu, sedar-sedar besi tak ada, duit pun tak ada juga. Tidak timbul bermacam-macam penyelewengan. Kerana apa? Kerana kita yang berpegang dengan Islam ini ada perhitungan dosa pahala.” (https://www.pas.org.my/kenyataan-berita/6359-rehatkan-umno-beri-pas-perintah-dengan-islam )
9. Dalam perbahasan Bajet 2016 di Dewan Rakyat pada 26 Oktober 2015, Tuan Guru sebagai Ahli Parlimen Marang mengambil peluang untuk mengkritik dan menegur kelemahan tatakelola pentadbiran kewangan negara dan kelemahan undang-undang negara serta penguatkuasaannya dalam menyelesaikan masalah 1MDB yang mengulangi siri-siri kleptokrasi negara.
“Muhasabah sahaja terhadap bajet tidak mencukupi. Kita juga memerlukan pembetulan terhadap kesilapan dan tindakan yang adil terhadap penyelewengan. Seringkali berlakunya kehilangan wang negara dengan berbagai-bagai peristiwa yang ditinggalkan zaman tanpa penyelesaian dan ditutup puncanya dibawah karpet untuk dilupakan sehingga tidak menjadi iktibar.
Undang-undang dan penguatkuasaannya laksana sarang labah-labah yang hanya memerangkap nyamuk dan lalat, meloloskan helang dan jerung yang besar. Peristiwa terkini yang diwar-warkan 1MDB hanyalah mengulangi drama BMF, PERWAJA, KPFZ, Maika Holding dan lain-lain.” (http://m.harakahdaily.net.my/index.php/presiden/38095-bajet-2016-bertaubat-dan-maaf-tidak-menghukum )
10. Kenyataan beliau konsisten sejak dulu lagi, dalam ucapan Perbahasan Rang Undang-undang Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 pada 7 April 2014 di Dewan Rakyat, beliau menyatakan kelemahan penguatkuasaan undang-undang negara:
“Kami tidak lupa dengan isu MIF, isu PERWAJA, KWSP, Tabung Haji, Kapal Terbang Skyhawk, kapal selam dan lain-lain lagi. Tidak ada apa-apa tindakan, tindakannya terhadap ikan-ikan bilis yang kecil, yang besar tidak ada tindakan. Yang kena tindakan ialah pegawai-pegawai kerajaan. Orang-orang politik tidak ada tindakan. Menteri tidak ada tindakan. Yang kenanya pegawai-pegawai. Pegawai yang kena.” (Rujuk Hansard Parlimen 7 April 2014, muka surat 38)
11. Seterusnya kita dapat melihat, Tuan Guru menganalisa sesuatu isu dan krisis yang berlaku dengan mengemukakan penyelesaian kepada punca permasalahan sebenar. Beliau menyarankan pada 4 Mac 2016 supaya kemelut 1MDB diselesaikan dengan kembali kepada Islam dan menukar sistem dan dasar negara, bukan semata-mata menukar individu atau pemimpin semata-mata.
“Bukan nama tokoh pemimpin tertentu atau menukarnya sahaja silih berganti, adapun acuan, dasar dan konsepnya sama. Penyelesaiannya, ialah kembali kepada Islam yang sempurna, Islam wajib menjadi petunjuk yang diimani dalam semua urusan. Siapa pun yang dipecat atau diganti tanpa Islam dalam dirinya, tetap mengulangi perkara kesalahan yang sama. Dahulunya peristiwa BMF, KWSP, PETRONAS dan lain-lain lagi. Kemudiannya, SRI ISKANDAR, MAIKA, PKFZ dan selain itu. Terkini hangat, isu 1MDB dan seterusnya, lantik siapa sahaja dan melakukan apa sahaja.
Penyelesaiannya juga, pemimpin yang wajib mengubah minda, kefahaman, dasar matlamat dan mencari penasihat yang baik. Rakyat juga hendaklah sedar harga diri dan maruah manusia, yang harganya terlalu mahal, bukan politik pangkat, takhta, wanita dan harta. Atau berdegil sehingga tiba ajalnya tanpa berani membuat perubahan.”( http://m.harakahdaily.net.my/index.php/presiden/40234-akibat-pisahkan-politik-daripada-agama )
12. Tambahan lagi, pada 13 Jun 2016 ketika membalas tohmahan Tun Dr. Mahathir kepada PAS, Tuan Guru menyebut agar diselesaikan masalah negara dengan mengubah perangai dan sikap kerajaan dan pembangkang kerana 1MDB adalah rantaian daripada isu-isu yang melanda sebelum ini lagi dan Tun M juga tidak terlepas.
“Kerana PAS tidak terpengaruh dengan dedaklah maka PAS boleh terus melangsungkan perjuangan. Tiada politik wang, politik BR1M, siapa yang ajar? Kes 1MDB mula dengan apa? KWSP, Perwaja, Tabung Haji, itu adalah rantaian daripada awal. Selagi tak mengubah pendekatan, tak ubah perangai selagi itulah perkara ini akan berlaku,” (https://www.pas.org.my/kenyataan-berita/8793-pas-tidak-terpengaruh-dedak-umno )
13. Malah, Tuan Guru Presiden telah membangkitkan beberapa kali tentang isu 1MDB dalam ucapan perbahasan dan soalan-soalan beliau di Dewan Rakyat. Ini dapat diikuti pada 17 Mei 2016, Soalan No. 137, Tuan Guru mempersoalkan tindakan kerajaan terhadap cadangan PAC dan Laporan Audit Negara.
“Dato’ Seri Abdul Hadi bin Awang [ Marang ] minta PERDANA MENTERI menyatakan apakah tindakan Kerajaan terhadap cadangan yang telah dikemukakan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dalam Laporan Pengurusan Tadbir Urus 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan bilakah Laporan Jabatan Audit Negara berkaitan isu 1MDB akan didedahkan kepada umum.”
14. Selain itu, Tuan Guru juga mempersoalkan tentang kertas siasatan SRC pada 14 Mac 2017, Soalan No. 47:
“Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Bin Awang [ Marang ] minta PERDANA MENTERI menyatakan apakah alasan Kerajaan tidak membawa kertas siasatan SRC International (SRC) yang telah dikemukakan oleh SPRM ke mahkamah.”
15. Disamping itu, Soalan Lisan Ahli Parlimen Marang itu juga menyasarkan kepada isu-isu yang berkait dengan 1MDB secara langsung atau tidak langsung seperti kebebasan Jabatan Peguam Negara dalam mendakwa kes rasuah berprofil tinggi (7 Mac 2017, Soalan No. 75), pengisytiharan aset Menteri Kabinet kepada SPRM (21 Mac 2017, Soalan No. 28), usaha kerajaan untuk memastikan SPRM dapat bertindak secara bebas, telus dan professional (24 Oktober 2016, Soalan No. 45), usaha kerajaan untuk mengurangkan perbelanjaan protokol dan keraian yang melibatkan elaun, kos perjalanan luar negara dan penganjuran program para menteri (8 Mac 2017, Soalan. No. 36) dan dana pembiayaan parti politik melalui cadangan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (16 Mei 2016, Soalan No. 50).
16. Beberapa Soalan Bertulis juga menyentuh isu sama yang berkaitan; jumlah ketirisan dalam agensi kerajaan dan jumlah kes rasuah yang melibatkan pemimpin parti politik, individu berprofil tinggi dan penjawat awam.
17. Terkini, Tuan Guru mengutus surat terbuka kepada parti politik pada 24 Jun 2017 dengan menasihati supaya tidak mengundang campur tangan asing bagi menyelesaikan masalah dalaman negara.
“Jangan kita mengulangi sejarah dengan menjemput pihak asing untuk menyelesaikan masalah dalaman kita seperti BMF, PERWAJA, Tabung Haji, KWSP, dan terkini isu 1MDB yang bersorak gembira supaya diberi ruang penyelesaiannya oleh mahkamah di negara asing.
Apa pun keputusan isu dalaman kita, biar mahkamah kita sendiri menyelesaikan atau mahkamah rakyat kita menyelesaikannya. Sebodoh-bodoh dan sezalim-zalim dalaman kita, biar kita yang tanggung sendiri dan akhirnya berkat kesabaran, pasti sedar dan insaf.
Adapun pihak lain atau kuasa asing selama-lamanya mencari peluang dan menjaga kepentingan mereka walaupun mengorbankan kita. Cukuplah kita dijajah sehingga beberapa abad dengan kesannya masih belum sembuh. Tiba-tiba mahu menjemput sekali lagi bekas penjajah itu atau membuka pintu supaya datang menyelesaikan masalah kita.” ( http://www.harakahdaily.net/index.php/rss-hd/53-presiden/1941-surat-terbuka-kepada-parti-politik-malaysia )
18. Tambahan lagi, Tuan Guru mengingatkan agar kita mengambil pengajaran atas apa yang berlaku di Asia Barat yang disifatkan musim bunga yang tidak berbuah dan berhati-hati dengan perkembangan terkini di peringkat antarabangsa:
“Umat Islam juga perlu memahami situasi hubungan antarabangsa terkini supaya dapat menilai sikap mereka terhadap mana-mana negara yang paling suka campur tangan dalam urusan negara lain dan negara yang paling dominan melebarkan Islamofobia. Selain itu juga, wajib memahami batas-batas sempadan hubungan dengan semua pihak dalam masyarakat majmuk disemua peringkat tanpa menghakiskan maruah umat dan menjatuhkan kedaulatan negara.”
19. Perkara sama disebut lebih awal dalam Perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong pada 9 Mac 2016 di Dewan Rakyat:
“Kita kena sabar membetulkan pemimpin, di mana pendekatan dalam negara sendiri, Arab Spring, apa jadi dengan Arab Spring. Arab Spring menjadi musim bunga yang tidak berbuah. Meletakkan berlaku campur tangan asing yang menghuru-harakan negara. Walaupun saya tidak setuju dengan kerajaan, tetapi kita sabar. PAS menyertai arena politik negara sejak sebelum merdeka sehingga hari ini. Parti-parti lain ini banyak yang baru ditubuhkan kemudian. Kita sabar, kita menang, kita kalah, kita rebah, kita bangun, kita banyak kerusi, tidak ada kerusi langsung, tidak kisah. Apa yang penting ialah jangan mengacau rakyat. Ini yang kita perlu jaga betul-betul.” (Rujuk Hansard Parlimen 9 Mac 2016, muka surat 47)
20. Dalam keghairahan pelbagai pihak mahu menjatuhkan pemimpin zalim, Tuan Guru Presiden mengajar cara berhikmah dalam Fiqh Taghyir (Fiqh Perubahan) dan Fiqh Amar Maaruf Nahi Mungkar yang diadun dengan Fiqh Siasah. Langkah PAS bukan langkah keluar mulut buaya, masuk mulut harimau. Menjatuhkan kezaliman bukan dengan membina kezaliman yang lain. Langkah PAS menukar kerajaan melalui pilihanraya secara aman, bukan mengundang campur tangan asing atau melalui jalanan. Inilah yang membezakan pendekatan PAS dengan parti-parti yang lain.
21. Kesimpulannya, jelaslah bahawa pendirian Tuan Guru Presiden sejak dari awal sangat konsisten dalam menyelesaikan masalah 1MDB dengan mendesak hasil bedah siasatan yang telus dilakukan diperingkat dalaman negara tanpa melibatkan campur tangan asing, melakukan reformasi kepada sistem perundangan negara, pengasingan kuasa dan kebebasan kepada Jabatan Audit Negara, Jabatan Peguam Negara, SPRM dan Polis daripada cengkaman kuasa kabinet.
22. Laporan Jabatan Audit Negara juga perlu didedahkan dan dibebaskan daripada sekatan Akta Rahsia Rasmi (OSA), bertindak aktif terhadap cadangan yang dikemukakan oleh PAC dalam Laporan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB dan membawa kertas siasatan SRC International (SRC) yang dikemukakan oleh SPRM ke mahkamah. Sehinggalah kini, pendirian PAS mendesak kerajaan dengan segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat pihak yang terbabit.
23. Kita sedar dengan tindakan kerajaan meletakkan Laporan Audit 1MDB dibawah OSA dan menangguhkan penubuhan RCI adalah tindakan meragukan semua pihak dan mengundang ketidakyakinan terhadap ketelusan kerajaan dalam menyelesaikan masalah 1MDB. Justeru itu, Tuan Guru Presiden berpendirian, lakukan segera reformasi undang-undang negara dan ketelusan dalam siasatan dan pendakwaan dalam menyelesaikan masalah 1MDB tanpa melibatkan campur tangan kuasa asing. Segala pendirian Tuan Guru Presiden dijelaskan lebih terperinci oleh Timbalan Presiden dan pimpinan-pimpinan PAS.
24. Kepada musuh politik, sila belajar mengeja dan membaca sebelum mencari di mana perkataan yang menyebut Tuan Guru Presiden PAS menyokong salah urus tadbir 1MDB.
“Sejahtera Bersama Islam”
ABDUL MALIK AB RAZAK
Setiausaha Akhbar Presiden PAS
Bertarikh: 9 Syawal 1438H / 3 Julai 2017M
{jathumbnail off}