Home Berita PAS Pulau Pinang

Agenda muslimat membela wanita

118
SHARE

Oleh UMMU AL-FATEH

KEPALA BATAS, 7 NOVEMBER – Perjuangan membela nasib wanita adalah menjadi misi dan visi Dewan Muslimat agar kedudukan mereka sentiasa ditinggikan sebagaimana yang telah digariskan Islam.

Timbalan Ketua Muslimat PAS Pusat Dr. Rosni Adam menyatakan demikian dalam ucapan penggulungan mewakili Dewan Muslimat di Muktamar Tahunan PAS Pusat kali ke-67 di Duyong Marina Resort pada hari ini.

“Dalam perjuangan memartabatkan wanita, saya memohon kepada muslimin untuk melaksanakan konsep Qawwam mereka ke atas wanita agar maruah wanita sentiasa dapat dipelihara dan dimuliakan dengan sewajarnya”

“Saya menyeru kepada kaum muslimin agar memastikan golongan wanita yang berada dalam keluarga masing-masing mendapat perhatian, kebajikan dan perlindungan yang baik kerana PAS menjadi contoh kepada masyarakat di luar sana”, tegasnya lagi.

Tambah beliau, terdapat ramai juga wanita yang terpaksa menggalas tanggungjawab ketua keluarga mencari nafkah untuk membesarkan anak-anak kerana takdir telah menguji mereka dengan ujian yang berat dalam kehidupan.

Lantaran itu, Dr. Rosni telah mencadangkan agar PAS Pusat mewujudkan Lajnah Pembangunan Keluarga yang mana pengerusinya terdiri dari kalangan lelaki agar PAS dapat mengorak langkah dengan lebih serius dalam menjaga keharmonian dan kebajikan keluarga.

Dalam ucapannya, beliau turut membangkitkan cabaran yang perlu dilalui oleh pemimpin wanita untuk bersama dalam perjuangan PAS sebagaimana cabaran yang dilalui oleh muslimat di kalangan para sahabat sehingga lahir para pejuang wanita seperti Nusaibah binti Kaab.

“Memandangkan kedudukan muslimat yang begitu hampir dengan wanita, saya mengharapkan agar peratus calon muslimat PAS dalam pilihanraya akan dapat dipertingkat dan kami juga bersedia untuk memberikan calon muslimat muda sekiranya diperlukan”

“Ini adalah satu komitmen muslimat PAS dalam menerajui dan merealisasikan gerakan wanita yang memperjuangkan kesejahteraan keluarga, masyarakat dan kedamaian negara yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam”, ujar beliau lagi.

KUALA TERENGGANU, 7 Nov — Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat Dr. Rosni Adam menyampaikan ucapan penggulungan pada hari terakhir Muktamar Tahunan PAS ke-67 hari ini.
Muktamar PAS bertemakan Islam Menyatukan Ummah berlangsung dua hari bermula semalam, dan diadakan secara hibrid dengan 694 daripada 1,546 perwakilan hadir secara fizikal, manakala selebihnya secara maya.
— fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA