Home Minda Presiden

Pendatang Rohingya: Antara Agama, Kemanusiaan Dan Politik

2368
SHARE


Minda Presiden PAS

PENDATANG ROHINGYA: ANTARA AGAMA, KEMANUSIAAN DAN POLITIK


Isu semasa yang melibatkan pelarian Rohingya perlu dilihat dengan cara yang menyeluruh, bukan secara serpihan.

Dunia pernah menghadapi isu Palestin, Kashmir, Bosnia dan lain-lain, bukan sahaja isu Rohingya yang mencetuskan krisis antarabangsa yang tidak ditangani secara konsisten. Keadaan begitu berlaku apabila ia tidak dipandang dari sudut hak beragama, hak berperikemanusiaan dan hak berpolitik yang tidak boleh dilihat dari aspek pelarian semata-mata.

Dahulunya isu Palestin yang tidak selesai sehingga hari ini, walaupun puncanya sangat zalim apabila tanah air dirampas daripada penduduk asal bagi menubuhkan negara haram Yahudi yang sudah hilang dalam lipatan sejarah. Namun, kuasa-kuasa besar dunia yang dipengaruhi politik Zionis bertindak menjelmakannya semula bagi melaksanakan agenda impian Zionis yang sangat zalim. Tindakan tersebut telah mencetuskan krisis pelarian yang berlarutan dan belum selesai, di samping meneruskan kezaliman berlesen daripada PBB terhadap rakyat Palestin sehingga kini.

Isu Kashmir juga terus berlarutan tanpa mempedulikan kepada Resolusi PBB supaya diadakan referendum bagi menuntut hak majoriti rakyat, tetapi dinafikan dengan keras dan kejam tanpa dipedulikan, kemungkinan kerana mereka penganut Islam.

Isu Bosnia pula terpaksa diselesaikan apabila menghadapi kekalahan, kerana keberanian rakyatnya yang berjuang, tetapi dibelenggu dengan syarat-syarat yang ditetapkan oleh perjanjian yang menetapkan dasar sekular bagi menghalang kebangkitan politik Islam di Eropah.

Arakan adalah wilayah kaum muslimin Rohingya sejak beberapa abad yang lalu menjadi penduduk asal menganut Islam. Hak beragama adalah diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa, tetapi dinafikan kepada mereka, termasuklah hak berpolitik di bumi tempat mereka dilahirkan dan berpijak.

Islam mengajar penganutnya melindungi mangsa kezaliman tanpa batas agama, bangsa dan warna kulit, sebelum wujudnya piagam antarabangsa. Berdasarkan realiti tersebut, sepatutnya masyarakat antarabangsa tidak boleh membiarkan sahaja kelakuan kerajaan Myanmar yang menyekat hak beragama dan berpolitik kepada rakyatnya sendiri di tanah air. Langkah sebenar adalah menghalang penghapusan etnik dan tindakan memaksa rakyat Rohingya kerana faktor agama dan kaum, bukannya menghalalkan tindakan Myanmar dengan membuka pintu untuk terus dihalau dan dijadikan pelarian secara terbuka seolah-olah memudahkan tindakan yang salah itu.

Menerima pendatang adalah tindakan kemanusiaan sementara dan terhad yang wajib ditanggung secara bersama oleh masyarakat antarabangsa mengikut piagam antarabangsa, bukan negara Malaysia sahaja.

Dalam masa yang sama, perlu diambil tindakan supaya penduduk Rohingya kembali semula ke tanah air asal mereka, bukannya tindakan terbuka yang kekal menjadi pelarian tanpa tempoh dan sempadan, seperti memberikan kemudahan supaya terus dihalau atau melarikan diri tanpa tindakan yang sebenarnya dan Malaysia dijadikan transit, seterusnya menyerahkan tanah air kepada rejim yang zalim itu.

Pernah tindakan keras politik dilakukan, seperti misi ketenteraan dihantar dalam menangani krisis di Bosnia, Iraq, Syria dan Afghanistan. Mengapa tidak dilakukan perkara sama terhadap Myanmar yang lebih kejam terhadap rakyat sendiri?

PAS bersama BN dalam menangani isu pelarian Rohingya, walaupun pada ketika itu PAS berada di petak pembangkang dan BN ada suara tersendiri di atas prinsip agama dan kemanusiaan. Ini tidak sama seperti PH yang hanya kedengaran suara Tun Mahathir keseorangan di mimbar PBB, tetapi PH lebih sibuk menghadapi  krisis dalamannya kerana menanti Tun Mahathir meletakkan jawatan.

Kita perlu membuat perhitungan secara bijak, kerana di kalangan Rohingya ada yang benar-benar berjuang, maka wajib disokong perjuangan mereka untuk menuntut hak kemanusiaan, kerakyatan dan beragama. Ada juga kumpulan yang tidak peduli dengan apa yang berlaku, hanya sekadar mahu menyelamatkan diri sahaja. Bahkan ada juga yang mencari kesempatan sehingga menimbulkan masalah sosial dan keselamatan kepada negara penerima.  Di samping itu, ada negara yang bertindak untuk dirinya sahaja tanpa mempunyai perikemanusiaan, lalu bertindak tidak berperikemanusiaan pula.

Di sini Islam menetapkan Feqah Aulawiyat dan Feqah Muwazanat yang bertindak mengikut perhitungan agama, kemanusiaan dan politik yang tetap mengambil kira hak yang patut diperjuangkan oleh mereka dan mudarat yang mendatang terhadap negara yang perlu diatasi dan dicegah sebelum ia berlaku. Maka mencegah mudarat yang lebih besar hendaklah diutamakan daripada menghadapi pendatang yang mencari kesempatan, bukan kerana perjuangan menuntut hak mereka sahaja tanpa perhitungan terhadap diri sendiri.

Semua pihak telah mengambil langkah awal sebelum ini lagi, sehingga melibatkan NGO Malaysia yang bertali arus pergi ke sempadan membawa bantuan. Maka langkah terkini yang diambil oleh pihak keselamatan menyampaikan bantuan bekalan sepatutnya, di samping menghalang bahtera pelarian masuk ke dalam negara dalam suasana seluruh dunia diserang bencana wabak COVID-19 adalah perkara yang sewajarnya.

Tindakan itu mengambil kira aspek kemanusiaan dengan menghulurkan bekalan, dan menghalang dengan bersopan kerana maslahat menjaga keselamatan negara. Khususnya dalam keadaan luar biasa yang sangat mencabar di waktu berlakunya wabak, apabila kawasan daerah sehinggalah kampung dalam negara sendiri pun dikawal sempadan bagi mencegah wabak yang lebih besar bahaya, tanpa mengira agama dan bangsa.

Semua pihak sepatutnya tidak lupa, bahawa dalam keadaan biasa masyarakat di negara ini seringkali menerima pelarian dan pendatang sejak dahulu lagi, bermula zaman penjajahan sehinggalah selepas kemerdekaan, kerana sifat Islam yang berperikemanusiaan tersemai di dalam dirinya.

Sebenarnya Islam lebih mendahului seribu tahun daripada apa yang dikatakan dalam Perisytiharan Hak Asasi Manusia 1945-1948 dan Konvensyen Geneva 1951, tetapi percakapan mereka tidak serupa bikin.

Al-Quran menegaskan firman Allah:

﴿وَإِنۡ أَحَدٞ مِّنَ ٱلۡمُشۡرِكِينَ ٱسۡتَجَارَكَ فَأَجِرۡهُ حَتَّىٰ يَسۡمَعَ كَلَٰمَ ٱللَّهِ ثُمَّ أَبۡلِغۡهُ مَأۡمَنَهُۥۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمۡ قَوۡمٞ لَّا يَعۡلَمُونَ٦﴾

“Dan jika seseorang dari kaum musyrik meminta perlindungan kepadamu, maka berilah perlindungan kepadanya sehingga dia sempat mendengar keterangan-keterangan Allah (tentang hakikat Islam itu), kemudian hantarlah dia ke mana-mana tempat yang dia beroleh keamanan. Perintah yang tersebut ialah kerana mereka itu kaum yang tidak mengetahui (hakikat Islam).” (Surah al-Taubah: 6)

Inilah konsep Islam terhadap pelarian tanpa mengira agama dan bangsa. Semua pihak yang hanya pandai mengkritik sepatutnya menyuluh diri sendiri terlebih dahulu dan mengkaji sejarah di tempat asal mereka, bagaimana cara bertindak terhadap  pelarian dan apakah layanan mereka terhadap pendatang.Jangan bercakap setelah hilangnya kuasa, laksana panglima ayam jantan yang kuat berkokok berderai-derai, sedangkan ekornya berlumuran tahi.

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS
Bertarikh: 4 Ramadhan 1441 / 27 April 2020