Home Berita PAS Pahang

Pendapat | Jangan pandang ringan isu hina raja

307
SHARE

Oleh: ABDULLAH HAKIM

Tindakan menghina Yang di-Pertuan Agong bukan sahaja biadap pada tahap paling buruk, tetapi juga pengkhianat kepada kedaulatan institusi raja-raja.

Isu sebelum ini, Wan Ji yang telah di hukum penjara gara-gara menghina Sultan Selangor. Terkini, Pengerusi Pro-Keadilan Sarawak, Iswardy Morni ditahan polis selepas membuat kenyataan yang dianggap menghina Yang Dipertuan Agong melalui Facebook Live yang telah tular baru-baru ini.

Isu sebegini sangat mendukacitakan dan mengundang kemarahan kerana ibarat mencabar institusi diraja yang mana merupakan payung negara yang sepatutnya maruah dan kedaulatan raja-raja dan keutuhan institusi ini tidak sekali-kali boleh dicabar oleh mana-mana pihak.

Persepsi segelintir pihak menganggap institusi diraja hanya satu simbolik dan untuk ritual keagamaan perlu diperbetulkan kerana Islam bersifat syumul, iaitu merangkumi segenap aspek kehidupan manusia yang tidak hanya terhad kepada akidah, ibadah dan akhlak tetapi merangkumi muamalat.

Selain mempertahankan agama Islam, Yang di-Pertuan Agong juga berperanan memastikan hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera terbela, sekaligus menjaga keharmonian dalam kalangan rakyat. Peranan Yang di-Pertuan Agong atau Raja memastikan Islam itu terjamin dan di samping itu, agama lain juga boleh diamalkan di negara ini dengan aman dan penuh keharmonian.

Umpama aur dengan tebing, konsep Raja Berperlembagaan itu bersesuaian dengan kedudukan institusi diraja dalam memastikan hubungan antara raja dan rakyat dapat diperkukuhkan.

———————————————————————————————–

Tulisan ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian CPP Berita PAS.