Home Berita Dewan Pemuda PAS Malaysia

Pencemaran Pantai Telok Gong Akibat Penternakan Babi : Kerajaan Melaka Hentilah Bermain Wayang

1600
SHARE

Oleh : Nazman bin Che Iberahim, Pengerusi Lajnah Pekerja, Pengguna dan Alam Sekitar (LPPAS) DPPM

LPPAS merasa terpanggil untuk menyatakan kekesalan atas tindakan lembab Kerajaan Melaka sejak puluhan tahun yang lampau berkaitan kes pencemaran Pantai Telok Gong dan Sungai Tuang akibat projek penternakan babi di Kg Paya Mengkuang. Ia ibarat kucing mengejar ekor sendiri. Berpusing di tempat sama tanpa ada penyelesaian yang konkrit dan tuntas.

Kami melihat kenyataan yang dikeluarkan oleh Exco Pertanian dan Pembangunan Usahawan Melaka, Datuk Hasan Abdul Rahman yang menyebut bahawa Kerajaan Melaka melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan akan membincangkan Kertas Cadangan Perlesenan Ladang Babi 2017 sebagai suatu jawapan yang tidak meyakinkan rakyat. Apa sudah jadi dengan Kaedah-kaedah Pelesenan Menternak Babi Negeri Melaka 2013? Kerajaan Melaka empat tahun lepas menyebut bahawa itu adalah usaha kerajaan negeri dalam menambah baik serta memberi kuasa di bawah Enakmen Menternak Babi 1980 dalam menangani permasalahan pencemaran tersebut. Namun selepas beberapa tahun berlalu, masalah ini kelihatan semakin kusut dan lebih teruk. Sungai Tuang semakin hitam, likat, busuk dan meloyakan sehingga akhirnya mengalir keluar ke Pantai Telok Gong. Kualiti dan bau udara di sekitar beberapa kampung berhampiran juga amat teruk dan betul betul mengganggu urusan seharian penduduk.

Rakyat juga semakin hairan apabila YB Exco Kerajaan Negeri menyebut bahawa semua penternak babi di Melaka sekarang ini tidak mempunyai lesen dan tiada undang undang khas yang mengawal aktiviti penternakan babi secara holistik dan efektif. Bagaimana hal semudah ini terlepas pandang? Sedangkan peniaga peniaga kecil Melayu, yang mencari sesuap nasi dengan berniaga di tepi tepi jalan sekalipun, dihambat dan ditekan dengan lesen itu dan ini, maka kenapa tauke tauke babi ini bebas tanpa ada lesen dan undang undang? Sungai Tuang musnah, Pantai Telok Gong membusuk malahan air kumbahan babi ini telahpun mengotori pantai sepanjang 24 kilometer bermula dari Pengkalan Balak sehingga ke Kuala Linggi lantas memberi kesan langsung kepada sektor pelancongan di kawasan ini dan kerajaan negeri boleh sahaja menyebut penternak itu tidak tertakluk kepada undang undang dan tidak mempunyai lesen?

Perkara tersebut juga sebenarnya menambahkan kekeliruan fikiran rakyat yang mana apabila disebut bahawa tiada undang undang khas untuk mengawal penternakan ini, maka apa pula kaitan dengan Enakmen Menternak Babi 1980 dan juga Kaedah Kaedah Pelesenan Menternak Babi Negeri Melaka 2013? Yang mana satu benar? Ada undang undang tapi tidak dilaksanakan atau memang tidak wujud lagi apa apa peraturan yang lengkap tentang isu ini? Kerajaan Melaka wajib berterus terang dengan rakyat dan menghentikan tindakan acuh tak acuh apabila rakyat mulai bising dengan pencemaran ini.

Mengenai cadangan Kerajaan Negeri yang mahu membangunkan Ladang Babi Moden bernilai RM50 juta di atas tanah seluas 50 ekar di Paya Mengkuang juga amat meragukan. Projek yang dijangka bermula pada tahun 2018 tahun hadapan itu, kami tidak yakini untuk menjadi solusi terbaik kepada masalah pencemaran ini. Adakah ia sudah melalui kajian yang mendalam dan bersifat menguntungkan rakyat secara keseluruhannya? Jangan pula nanti projek puluhan juta ini hanya menguntungkan lagi pemilik kepada 36 buah kandang babi ini sahaja sedangkan Sg Tuang tetap juga tercemar. Dan jangan juga nanti 48,000 ekor babi yang diternak ini yang akan selesa dalam kandang baru yang serba moden, canggih dan mewah sedangkan rakyat kekal menghidu udara yang busuk dan air hitam pekat dengan najis babi.

LPPAS juga cukup terkejut dengan pengumuman Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Melaka, Dr Azlan Enjah sebelum daripada ini yang mengatakan berdasarkan penilaian awal mereka, sebanyak 22 ladang penternakan babi tidak mematuhi kriteria penilaian yang ditetapkan dan hanya 14 kandang sahaja yang mematuhinya. Pelbagai aspek harus dilihat termasuklah pengurusan ladang babi, kebersihan ladang dan kandang serta pematuhan kuota bilangan babi mengikut saiz ladang masing masing.

Kerajaan Melaka wajib menamatkan wayang 30 tahun ini. Lihatlah nasib rakyat terbanyak berbanding terus memberi muka kepada pengembala babi ini semata mata. Nasib penduduk setempat malahan lebih khusus lagi nasib malang 153 pengusaha pusat peranginan yang menawarkan 1,503 bilik penginapan di kawasan ini perlu diberi perhatian. Sekiranya pengunjung dan pelancong sudah tidak mahu lagi berkunjung ke sini, jangan kata pengusaha chalet dan pusat peranginan tersebut yang terjejas, tetapi pemilik kedai makan, gerai gerai, kedai cenderamata, dan segala aktiviti bisnes yang hidup secara simbiosis dengan chalet tadi, akan turut terjejas.

Janganlah babi di kandang diutamakan dan majoriti rakyat sendiri diberi bau busuk dan meloyakan setiap hari. Sampai bila masalah ini mahu diheret? Takkanlah pad tahun 2050, yang selaras dengan gagasan TN50, kita akan masih bercakap mengenai masalah ini? Adakah mahu menunggu wabak JE menular dan menggila di Melaka, maka barulah satu tindakan muktamad akan dibuat? Kandang yang hanya terletak 1km dari pantai peranginan ini wajib dipindahkan segera!

{jathumbnail off}