Oleh : Abu Harith
FIRMAN Allah SWT, maksudnya.
“Tidakkah engkau memerhatikan bahawasanya kapal-kapal belayar di laut dengan nikmat kurnia Allah, untuk diperlihatkan kepada kamu sebahagian dari tanda-tanda kemurahan-Nya? Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan dan bukti (untuk berfikir) bagi tiap-tiap (Mukmin) yang tetap teguh pendiriannya, lagi sentiasa bersyukur”.
-Surah Luqman, Ayat 31
Fikiran merupakan satu anugerah yang cukup besar kurniaan daripada Allah SWT kepada manusia. Dengan akal fikiranlah dapat membezakan kita dengan makhluk ciptaan Allah SWT yang lain. Dengan akal jugalah kita manusia dapat membezakan yang mana baik dan yang mana buruk, dibantu oleh panduan yang telah dibekalkan, iaitu al-Quran dan al-Sunnah.
Tanpa kita sedari, manusia adalah makhluk ciptaan-NYA yang sempurna. Asbab inilah kita diberikan tanggungjawab menggalas amanah sebagai hamba-Nya dan dalam masa yang sama sebagai khalifah yang memakmurkan bumi ini. Semua ini sebagai satu tanda yang harus difikirkan dan seterusnya meningkatkan rasa syukur kita kepada Allah SWT.
Dale Carnegie, dalam buku ‘How to Stop Worrying and Start Living‘ menyatakan bahawa, “Kira-kira 90 peratus daripada perkara yang berlaku dalam hidup kita adalah sempurna, hanya kira-kira 10 peratus sahaja yang salah. Sekiranya kita inginkan kebahagiaan, berikan tumpuan sepenuhnya kepada 90 peratus perkara yang sempurna itu, dan abaikan 10 peratus perkara yang lain. Sebaliknya, sekiranya kita mahu berasa bimbang, mengusutkan fikiran, serta mahu mendapat penyakit ulser perut, berilah tumpuan kita kepada 10 peratus perkara yang salah itu dan abaikan 90 peratus perkara yang sempurna”.
Lihat sahaja nikmat pada tubuh badan kita. Sanggupkah kita menjual kedua-dua biji mata kita dengan harga 1 billion ringgit? Berapakah tanda harga yang akan kita letakkan pada kedua-dua belah kaki, tangan dan telinga kita? Bagaimana pula dengan anak-anak dan keluarga kita, berapakah nilainya? Cuba kita jumlahkan semua aset yang kita ada, adakah mampu untuk ditukarkan dengan semua nikmat yang kita ada? Sudah tentu tidak, bukan?
Firman Allah SWT, maksudnya.
Dan sungguh telah Kami berikan hikmah kepada Luqman, yaitu: “Bersyukurlah kepada Allah. Dan barangsiapa bersyukur (kepada Allah), maka sesungguhnya ia bersyukur untuk dirinya sendiri; dan barangsiapa tidak bersyukur, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji”.
-Surah Luqman, Ayat 12
Atas kesedaran ini, marilah kita tajamkan daya fikir dan pada masa yang sama kita tingkatkan rasa syukur kita bagi merenung setiap kejadian yang Allah SWT ciptakan ini bagi mendekatkan lagi diri kita kepada-Nya. Kita tidak mahu tergolong di kalangan mereka yang buta mata hatinya dan kufur dengan setiap nikmat yang telah Allah SWT sediakan. Ini adalah masa untuk menjadi hamba yang soleh (orang yang baik) dan khalifah yang musleh (penyeru kebaikan).
Penulis merupakan seorang Kaunselor Berdaftar