Home Berita PAS Perak

Pena Editor Perak | Kebajikan sebahagian daripada usaha dakwah

121
SHARE

PENA EDITOR PERAK

Kebajikan sebahagian daripada usaha dakwah
OLEH : Zulfahmi Ramli

KERJA KEBAJIKAN sangat sinonim sebenarnya di kalangan pimpinan dan ahli PAS. Seboleh mungkin untuk membantu sesiapa sahaja yang memerlukan dan bersegera menyempurnakannya.

Malah ada dikalangan pimpinan peringkat PAS Cawangan khususnya dikenali bukanlah orang senang dan layak juga untuk dibantu, namun memilih untuk sentiasa mendahulukan masyarakat.

Terkadang mereka juga turut menyumbang walaupun dalam serba kekurangan. Inilah semangat bekerja ikhlas kerana Allah SWT yang ada kepada para petugas perjuangan Islam.

Firman Allah SWT dan surah al-Hadiid : ayat 21 yang bermaksud,

“Berlumba-lumbalah kamu (mengerjakan amal-amal yang baik) untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu, dan mendapat Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasulNya; yang demikian ialah limpah kurnia Allah, diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar.”

Sudah tentu setiap amal kebajikan yang dilaksanakan sama ada kecil atau besar dinilai disisi Allah SWT. Apa yang penting istiqamahlah di atas jalannya agar dikurniakan Allah SWT kehidupan yang berkat.

Berpeganglah kepada rezeki itu milik Allah SWT adalah untuk dikongsi bersama dan bukannya menjadi milik mutlak seseorang. Ada sedikit, hulur semampunya, ada banyak, berilah semahunya.

Rasulullah SAW menjelaskan, kebaikan perlu direbut dan diusahakan dengan bersungguh-sungguh. Maksud Sabda Rasulullah SAW:

“Tidak boleh hasad kecuali pada dua perkara, iaitu terhadap seseorang yang Allah anugerahkan harta, lalu dia gunakan harta itu pada jalan kebenaran, dan terhadap seseorang yang dianugerahkan ilmu, lalu dia amalkan ilmu itu serta diajarkannya kepada manusia lain.” – (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Oleh yang demikian, marilah sama-sama kita berazam untuk sentiasa berbuat kebaikan dalam apa jua ruang dan peluang. Seterusnya mengajak orang lain juga untuk bersama buat kebaikan.

Sesungguhnya kehidupan abadi di syurga Allah SWT menjadi dambaan kita semua. Hakikatnya bukan kita seorang ingin menuju pengakhiran baik tersebut sebaliknya mestilah bersama-samalah ahli keluarga, saudara mara, sahabat handai dan ummah keseluruhannya, InsyaAllah.