Home Rencana PAS Melaka

Pena editor Melaka | Tidak pernah pembangkang puji Kabinet Kerajaan

169
SHARE

BARU-BARU ini Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan barisan Menteri Kabinet Kerajaan yang baharu. Lalu bertempiklah pimpinan pembangkang yang menyindir kononnya kabinet ini adalah kabinet ‘recycle’.

Sebenarnya tidak ada yang pelik pun. Tidak pernah dalam sejarah mana-mana parti pembangkang memuji barisan kabinet kerajaan.

PAS pernah jadi pembangkang dan sekarang berada di bangku Kerajaan Persekutuan. Seingat saya pun, tidak pernah pemimpin PAS memuji kabinet Kerajaan Persekutuan semasa parti ini menjadi pembangkang.

Dan pada masa itu pun tidak pernah pula parti pemerintah Kerajaan Persekutuan memuji Barisan Exco Kerajaan Negeri di bawah pemerintahan PAS.

Hakikatnya bagaimana bagus pun barisan kabinet yang dibentuk itu ia tetap tidak akan diakui pembangkang sebagai bagus. Kalau tiba-tiba pemimpin PH memuji kabinet kerajaan maka kita semua harus bimbang kerana mungkin kiamat akan berlaku tidak lama lagi.

Soal ‘recycle’ pula tidak timbul kerana sebenarnya kerajaan ini sedang dalam perjalanan. Analoginya umpama sebuah bas yang sedang bergerak ke satu destinasi. Cuma tiba-tiba ada penumpang yang mahu pemandu ditukar.

Jadi bas ini terpaksa berhenti sekejap untuk menukar pemandu. Selepas bertukar pemandu maka penumpang-penumpang yang lain pun masuk semula ke dalam bas. Cuma mungkin beberapa orang bertukar tempat duduk atas sebab-sebab tertentu. Kalau nak tukar semua sekali tunggulah selepas tiba di stesen nanti.

Rombakan besar-besaran dengan menukar menteri baharu hanya akan menyulitkan perjalanan sesebuah kementerian yang sedang di dalam gear tiga untuk melawan Covid-19.

PH memang mahu berlaku perubahan besar-besaran dalam kerajaan supaya pentadbiran kerajaan terganggu dan mereka boleh jadikannya sebagai alasan untuk pengundi tidak mengundi PN semasa PRU15 nanti. Bukan demi rakyat sangat pun.

Petang ini barisan kabinet baharu ini dijadualkan akan mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Semua barisan kabinet yang telah dibentuk ini harus bekerja keras tanpa mempedulikan sebarang kata nista oleh pembangkang. Buktikan yang pembangkang sebenarnya ‘dungu abadi’ kerana memperlekehkan barisan kabinet ini.

Semua jentera parti dalam kerajaan harus sama-sama mendukung kerajaan yang ada demi untuk membuktikan bahawa pembangkang benar-benar ‘dungu abadi’.

IBNU JANIE
Editor Berita PAS Melaka