Home Melaka

Pena editor Melaka | Rakyat nak tengok tiada campur tangan politik dalam keadilan

105
SHARE

TANPA merujuk kepada mana-mana peristiwa yang telah, sedang, atau akan berlaku, saya yakin bahawa rakyat mahu melihat keadilan ditegakkan dengan seadil-adilnya tanpa mengira siapa.

Kita tidak dapat menafikan bahawa wujud persepsi dalam kalangan rakyat sebelum ini bahawa mereka yang berkuasa mampu menentukan keputusan mahkamah. Ini persepsi. Mungkin betul, mungkin tidak.

Persepsi ini adalah hak rakyat kerana rakyat tidak mempunyai saluran untuk mendapat maklumat yang sebenar.

Dalam undang-undang ada satu prinsip yang dipanggil ‘keadilan bukan sahaja mesti ditegakkan, tetapi juga mesti DILIHAT sudah ditegakkan’.

Perkataan DILIHAT itu pun sebenarnya merujuk kepada persepsi. Ini bermakna sekiranya keadilan itu memang telah ditegakkan tetapi rakyat melihat ia seperti masih belum ditegakkan, maka ia masih belum menepati prinsip keadilan.

Hakikatnya persepsi bahawa ‘seseorang ahli politik kerajaan itu jika buat salah biasanya akan dilepaskan oleh mahkamah atas campur tangan kuasa politik terhadap sistem kehakiman’ memang wujud dalam kalangan rakyat.

Dalam banyak keadaan rakyat melihat bahawa apabila ahli-ahli politik kerajaan yang menghadapi tuduhan ini walau pun fakta-faktanya memang menjurus kepada bersalah, namun pasti pada akhir perbicaraan mereka selalunya didapati tidak bersalah dan akan mengecewakan rakyat.

Bukan tidak ada langsung yang didakwa dan didapati bersalah. Ada. Tetapi ia DILIHAT oleh rakyat sebagai satu dua kes yang dijadikan kambing hitam untuk menunjukkan bahawa keadilan itu seolah-olah telah ditegakkan.

Namun ahli-ahli politik besar kerajaan DILIHAT sukar didakwa, atau jika didakwa pun akhirnya didapati tidak bersalah. Akhirnya wujudlah persepsi bahawa ahli politik kerajaan kebal daripada undang-undang.

Dan memang benar, persepsi ini pula boleh menjurus kepada ketidakadilan kepada ahli politik kerajaan. Katalah sekiranya mereka memang tidak bersalah. Namun apabila mereka didapati tidak bersalah oleh mahkamah, maka rakyat secara salah akan menganggap mereka sebenarnya bersalah tetapi keputusan hakim diganggu tangan-tangan ghaib.

Tetapi rakyat juga tidak bodoh dan kini lebih celik maklumat. Rakyat pun boleh menilai daripada fakta-fakta yang didedahkan dalam perbicaraan dan membandingkan dengan keputusan yang dilihat janggal dengan fakta kes.

Benar juga, rakyat bukan faham sebenar-benarnya tentang prosedur keadilan seperti seorang pengamal undang-undang. Namun hak rakyat adalah untuk menilai daripada sudut persepsi seperti yang dinyatakan dalam prinsip undang-undang bahawa ‘keadilan mesti DILIHAT telah ditegakkan’.

Hak rakyat terletak pada perkataan ‘DILIHAT’ itu yang tidak memerlukan mereka mempunyai ijazah undang-undang untuk mereka mendapat hak untuk ‘MELIHAT’ keadilan itu seperti belum atau sudah ditegakkan.

Rakyat ingin sangat melihat tokoh-tokoh politik besar yang didakwa benar-benar dapat disabitkan bersalah agar tidak timbul persepsi bahawa wujud campur tangan politik dalam soal kehakiman.

Jika didapati tidak bersalah, itu biasa dan memang sudah dijangka. Ini peristiwa yang rakyat sudah lihat puluhan tahun. Namun jika ada tokoh politik besar kerajaan disabitkan kesalahan dan dipenjarakan, maka ia akan benar-benar menjadi sejarah.

IBNU JANIE
Editor Berita PAS Melaka dan WARM
Jabatan Penerangan PAS Melaka