Home Artikel PAS Melaka

Pena Editor Melaka : Rakyat marhaen perlu bantuan topeng muka

228
SHARE

BERMULA 1 Ogos baru-baru ini kerajaan sudah mula menguatkuasakan undang-undang mewajibkan orang ramai untuk menggunakan topeng muka jika berada di tempat awam dan sesak. Peraturan ini sangat penting bagi mengekang penularan Covid-19.

Namun di media-media sosial sudah kedengaran keluhan-keluhan rakyat marhaen berkaitan ketidakmampuan mereka untuk membeli topeng muka. Sebenarnya ia bukan soal harga sekeping topeng muka. Ia adalah kerana kita semua sudah pasti memerlukan topeng muka pakai buang dalam kuantiti yang banyak kerana setiap orang perlu memakainya pada setiap hari jika mereka keluar rumah.

Seseorang yang perlu keluar rumah setiap hari memerlukan sekurang-kurangnya 30 keping topeng muka pakai buang dengan andaian satu topeng muka boleh digunakan untuk sehari sahaja.

Andaikan satu satu keluarga mempunyai lima orang anak menjadikan jumlah semuanya tujuh orang termasuk ibu-bapa. Sekiranya mereka perlu berada di tempat awam selama 25 hari dalam sebulan ini bermakna anggaran kasar sesuatu keluarga pada saiz ini memerlukan 175 keping topeng muka pakai buang sebulan. (7 orang x 25 hari).

Dan sudah tentu cara yang lebih jimat ialah dengan menggunakan topeng fabrik. Namun untuk topeng ini harga sekeping topeng ini mahal sedikit namun ia boleh dipakai lama. Oleh kerana topeng ini perlu dicuci maka sebaik-baiknya setiap orang sekurang-kurangnya perlu ada dua keping topeng muka fabrik ini.

Oleh kerana kosnya yang materi dan membebankan golongan miskin dan lebih-lebih lagi bagi keluarga yang mempunyai ramai anak maka saya menyarankan agar parti-parti politik, pusat-pusat khidmat wakil rakyat, JPKK, agensi-agensi kerajaan berkaitan kebajikan dan NGO untuk menjalankan program memberi bantuan topeng muka percuma kepada golongan sasar agar mereka tidak terbeban dengan peraturan baru kerajaan ini.

Namun, kena pastikan mereka yang diberi bantuan ini benar-benar daripada golongan sasar. Bagi yang mampu belilah sendiri kerana semua pihak baik rakyat, swasta atau kerajaan berada dalam situasi kewangan yang sangat sulit akibat bencana Covid-19 ini. Sama-sama kita bertimbang-rasa dan saling memahami.

IBNU JANIE
Editor Berita PAS Melaka
Lajnah Penerangan Dan Media Baharu PAS Melaka.