Home Rencana PAS Melaka

Pena editor Melaka | Rakyat dambakan pemimpin kiriman tuhan

110
SHARE

DALAM sirah Khulafa Ar-Rashidin ada mencatatkan peristiwa-peristiwa tentang kesederhanaan kepimpinan mereka. Antaranya dalam peristiwa penaklukan Baitulmuqaddis oleh tentera Islam pada tahun 637 masihi.

Pemimpin Rom dan rakyat Baitulmuqaddis ketika itu terkejut melihat kesederhanaan Saidina Umar Al-Khattab R.A yang merupakan ‘Raja’ kepada empayar Islam pada masa itu datang tanpa memakai pakaian yang mahal dan hiasan-hiasan emas di badannya seperti kebiasaannya seorang penguasa sesebuah empayar. Namun sirah-sirah ini sudah kurang dihayati pada masa sekarang.

Dalam sistem pentadbiran negara pada masa kini selain elaun, setiap penjawat politik dalam kerajaan sepenuh masa seperti menteri dan exco diberi pelbagai kemudahan seperti tuntutan perjalanan, rumah dan kereta rasmi dan lain-lain mengikut kelayakan. Ini termasuk juga peruntukan-peruntukan untuk renovasi dan keraian.

Ada pemimpin yang menggunakan sepenuhnya kemudahan yang diberikan kepada mereka sama seperti yang mereka layak terima. Sesetengah pemimpin yang tidak jujur pula menuntut lebih daripada yang mereka layak dengan pelbagai cara penipuan dan salah guna kuasa.

Namun ada juga pemimpin yang tidak menggunakan sepenuhnya kemudahan yang diberi kepadanya walau pun mereka layak, demi untuk menjimatkan duit rakyat. Pemìmpin macam ni baru dikatakan luar biasa!

Teringat cerita semasa zaman awal pentadbiran Almarhum Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kelantan dahulu apabila Almarhum memarahi pembantunya yang memasukkan beberapa elaun tambahan ke dalam akaunnya.

Walau pun elaun itu memang layak diterimanya namun Almarhum menolak kerana menyifatkan ia tidak perlu. Almarhum kemudian dikatakan memotong gajinya untuk membayar semula elaun itu yang telah diterimanya pada bulan-bulan sebelumnya itu.

Diakui juga dalam banyak situasi wakil rakyat mengeluarkan wang poket sendiri untuk membantu rakyat seperti yang biasa dilakukan oleh wakil rakyat PAS. Elaun-elaun dan tuntutan tambahan mereka ini sebenarnya banyak menampung perkara ini.

Namun ia tidak seharusnya menjurus kepada tindakan menaikkan gaji atau elaun wakil rakyat, exco atau menteri. Ini kerana dari kacamata rakyat memandang tindakan ini sebagai tidak cermat dan tidak menjimatkan wang rakyat. Walau pun hakikat yang sebenarnya mereka banyak berkorban untuk rakyat dengan wang itu.

Begitu juga apabila menteri membuat renovasi pejabat, kediaman rasmi atau dalam membuat majlis-majlis keraian atas nama jawatan, mereka harus berjimat cermat walau pun mereka layak.

Dalam soal perbelanjaan membeli kereta rasmi pula, walau pun telah ditetapkan sesuatu had kelayakan untuk kereta yang boleh digunakan oleh seseorang menteri atau exco, adalah lebih menjimatkan jika mereka membeli model yang lebih rendah dan murah.

Memang tugas mereka sebagai menteri atau exco memerlukan keselesaan untuk mereka berjalan jauh menunaikan tugas. Keselesaan juga menjurus kepada soal kesihatan dan kemampuan mereka untuk menyambung tugas.

Namun memilih kemudahan selesa di tahap maksimum walau pun masih dalam kadar yang layak boleh menimbulkan fitnah. Rakyat mahu melihat menteri atau exco duduk di penerbangan kelas ekonomi walau pun mereka layak untuk duduk di kelas bisnes.

Dalam kata lain, keselesaan mereka harus dikorbankan sedikit demi kepentingan rakyat. Hakikat hidup sebagai pemimpin politik seharusnya penuh dengan pengorbanan dan keperitan.

Kita terpaksa terima hakikat bahawa menjadi pemimpin politik ini bukan jalan untuk hidup selesa dengan kemudahan daripada jawatan itu sekali pun dengan cara yang benar dan mengikut prosedur yang ditetapkan.

Rakyat mahu melihat pemimpin-pemimpin kerajaan yang bersederhana dalam menggunakan kemudahan yang diperuntukan pada mereka dengan penuh jimat cermat.

Pemimpin yang berintegriti harus bersifat ‘whiter than white’ iaitu mereka bersih sebersih-bersihnya dalam tindakan. Sama seperti istilah wara’ dalam Islam. Jika yang mereka layak pun mereka tidak ambil sepenuhnya, jauh sekali untuk mereka melakukan penyelewengan.

Sikap bersederhana dan berjimat cermat dalam memimpin kerajaan dan mengurus wang rakyat ini harus dijuarai oleh pimpinan PAS sementelah parti ini membawa imej dan perjuangan Islam.

Ada yang kata ia soal ‘izzah’ untuk meningkatkan imej pimpinan. Namun bagi penulis ia subjektif dan relatif. Izzah bukan hanya terletak pada kereta yang mewah atau pakaian yang mahal.

Kita juga harus ingat bahawa rakyat sekarang sudah bijak, tidak seperti di era order lama. Semenjak PRU14 rakyat sudah mula merasai kuasa sebenar mereka. Jadi ahli politik jangan main-main!

Rakyat tidak suka pemimpin yang menyelewengkan duit rakyat. Namun pemimpin yang mengambil kemudahan mereka secara maksimum walau pun dengan cara betul, masih tidak cukup untuk menjadikan mereka mulia di mata rakyat.

Yang rakyat benar-benar mahu ialah pemimpin yang melepaskan banyak kemudahan yang mereka dapat walau pun mereka layak. Rakyat mahu melihat pemimpin yang luar biasa! Rakyat mahu pemimpin kiriman tuhan! Ini yang sukar ditemui.

IBNU JANIE
Editor
Berita PAS Melaka dan WARM

PENGUMUMAN KHAS JKN MELAKA

JKN Melaka telah mengumumkan bahawa bermula 30 Ogos individu di Negeri Melaka yang berusia 50 tahun ke atas yang belum mendapat tarikh temujanji dalam aplikasi Mysejahtera boleh melakukan ‘walk in’ ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam seperti di infografik dari jam 8.00 pagi hingga 1 tengahari.

Seramai maksimum 50 orang individu boleh melakukan ‘walk ini’ pada setiap hari di setiap PPV.

Namun bagi individu yang telah menerima tarikh temujanji, jabatan itu menasihatkan mereka agar patuh tarikh temujanji yang telah diberi.