Home Minda Presiden

Islam mewajibkan politik

111
SHARE

Minda Presiden PAS
ISLAM MEWAJIBKAN POLITIK


Politik atau siasah merupakan kaedah, proses dan cara mentadbir serta mengurus atau memimpin yang menjadi suatu keperluan dalam hidup bermasyarakat. Perkara ini adalah ketetapan Allah SWT kepada manusia, sebagaimana yang diisytiharkan oleh-Nya kepada para malaikat yang mulia, sebelum mencipta Nabi Adam AS. Firman Allah SWT:

﴿وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَنْ يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لَا تَعْلَمُونَ٣٠﴾

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: ‘Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.’ Mereka bertanya (tentang hikmah ketetapan Tuhan itu dengan berkata): ‘Adakah Engkau (wahai Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu?’. Tuhan berfirman: ‘Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kalian tidak mengetahuinya.’” (Surah al-Baqarah: 30)

Tujuan diciptakan manusia sebagai khalifah mengandungi hikmah yang tidak diketahui oleh para malaikat dengan kemampuan ilmu, akal dan jasad kurniaan Allah SWT kepada makhluk manusia yang tiada pada malaikat. Sekalipun sifat kejadian para malaikat itu suci dan mulia, mereka hanya mentaati Allah SWT dan sekali-kali tidak menderhakai-Nya.

Para ulama’ mentafsirkan perkataan ‘khilafah’ seerti dengan perkataan ‘siyasah’, yang merupakan ‘masdar’ (kata terbitan) daripada perkataan sasa, yasus (ساسيسوس) yang bermaksud memimpin dan mentadbir. Hal ini disebutkan oleh sabda Rasulullah SAW:

كَانَتْ بَنُو إسْرائِيلَ تَسُوسُهُمُ الأنْبِيَاءُ، كُلَّمَا هَلَكَ نَبِيٌّ خَلَفَهُ نَبِيٌّ، وَإِنَّهُ لَا نَبِيَّ بَعْدِي، وَسَيَكُوْنُ خُلَفَاءُ فَيَكْثُرُونَ.

“Kaum Bani Isra’il pada zaman dahulu, mereka dipimpin (dan ditadbir) oleh para anbiya’. Apabila setiap orang nabi diwafatkan, maka akan digantikan oleh nabi yang sesudahnya. Dan bahawasanya tidak akan ada nabi lagi selepasku (Nabi Muhammad SAW), tetapi akan ada para khalifah (pemimpin yang memerintah) selepasku, dan jumlah mereka itu adalah ramai.”

قَالُوْا: فَمَا تَأْمُرُنَا؟

Para sahabat bertanya: “Apakah perintahmu (pesanan Rasulullah) kepada kami jika itu berlaku?”

قَالَ: فُوْا بِبَيْعَةِ الْأَوَّلِ فَالأَوَّلِ، أُعْطُوْهُمْ حَقَّهُمْ، فَإِنَّ اللَّهَ سَائِلُهُمْ عَمَّا اسْتَرْعَاهُمْ.

Sabdanya: “Tunaikan baiah (janji ketaatan dan kesetiaan) kepada yang paling awal, kemudian sesudah itu. Berikanlah hak mereka (sebagai pemimpin), maka sesungguhnya Allah akan membicarakan mereka terhadap apa yang ditunaikan dalam urusan kepimpinan mereka.” (Riwayat al-Bukhari 3455 dan Muslim 1842)

Al-Quran membawa cerita benar yang wajib diimani akan kebenarannya, betapa para Rasul berdakwah tanpa berpisah daripada berpolitik kepada para pemimpin (al-mala’) dan para raja pada zaman masing-masing bersama rakyatnya. Mereka berdakwah supaya golongan itu beriman kepada Allah SWT dan mengikuti petunjuk-Nya dalam semua urusan.

Mereka terus berjuang dengan gigih menentang penyelewengan aqidah, syariat dan akhlak dalam semua urusan kehidupan manusia. Sesiapa yang menerima Islam diiktiraf menjadi raja (Zulqarnain dan Tolut), bahkan ada Rasul yang memimpin kerajaan sebagai Khalifah (Nabi Daud AS) dan menjadi Raja (Nabi Sulaiman AS).

Ramai dalam kalangan para Rasul wafat sebelum berjaya mendirikan kerajaan. Lalu, tugas tersebut disambung oleh Rasul selepasnya atau para sahabat yang setia melangsungkan perjuangan sehingga akhirnya berjaya mendapat kuasa politik.

Allah SWT meletakkan semua bentuk cabaran dalam urusan kehidupan manusia bagi menguji mereka, sebagaimana yang dinyatakan oleh firman-Nya:

﴿تَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ الْمُلْكُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ١ الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ٢﴾

“Maha Suci Allah, Tuhan yang menguasai kerajaan (pemerintahan); dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. (1); Dialah yang telah menjadikan adanya mati dan hidup untuk menguji kalian, siapakah antara kalian yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Perkasa, lagi Maha Pengampun. (2).” (Surah al-Mulk: 1-2)

Para Rasul AS berjuang menghadapi penyelewengan aqidah, syariat, akhlak dan sistem hidup seperti melantik tuhan-tuhan yang lain daripada Allah, serta mengadakan peraturan sendiri dalam perkara yang tidak diizinkan oleh Allah dalam urusan hidup dan akhlak. Firman Allah:

﴿أَمْ لَهُمْ شُرَكَاءُ شَرَعُوا لَهُمْ مِنَ الدِّينِ مَا لَمْ يَأْذَنْ بِهِ اللَّهُ وَلَوْلَا كَلِمَةُ الْفَصْلِ لَقُضِيَ بَيْنَهُمْ وَإِنَّ الظَّالِمِينَ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ٢١﴾

“Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan mana-mana bahagian daripada agama mereka, sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah? Dan kalaulah tidak kerana kalimah ketetapan yang menjadi pemutus (daripada Allah, untuk menangguhkan hukuman hingga ke suatu masa yang tertentu), tentulah dijatuhkan azab dengan serta-merta ke atas mereka (yang berbuat demikian). Dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (Surah al-Syura: 21)

Rasulullah SAW juga melaksanakan kewajipan yang sama, sehingga Baginda menolak tawaran untuk dilantik menjadi raja atau pemimpin oleh para pemimpin masyarakat Makkah. Hal ini demikian kerana, puak Musyrikin Makkah tidak mengizinkan Islam itu berkuasa dalam negara.

Akhirnya, Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah untuk mendirikan negara bermasyarakat majmuk dengan petunjuk hidayah Allah SWT dan kebijaksanaan Rasul-Nya SAW serta para sahabatnya. Baginda SAW melaksanakan urusan politik berprinsipkan iman dan berkonsepkan ibadat, syura dan adil kepada semua bagi mencapai janji Allah SWT:

﴿وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَى لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُمْ مِنْ بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا يَعْبُدُونَنِي لَا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا وَمَنْ كَفَرَ بَعْدَ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ٥٥﴾

“Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh dalam kalangan kalian (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka yang berkuasa; dan sesungguhnya Dia akan meneguhkan bagi mereka agama Islam yang telah diredhai-Nya untuk mereka; dan Dia juga akan mengubah keadaan mereka dalam ketakutan (dengan ancaman musuh) kepada keamanan. Mereka terus beribadat kepada-Ku dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain dengan-Ku. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur (tidak bersyukur) ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq (derhaka).” (Surah al-Nur: 55)

Selepas kewafatan Rasulullah SAW, hukum kewajipan berpolitik telah menjadi ijma‘ (sepakat) para ulama’. Hal ini sekali gus menunjukkan hukum wajib berpolitik adalah berdasarkan kepada nas al-Quran, hadis dan ijma‘ para ulama’ khususnya generasi awal Islam yang menjadi pilihan Allah SWT.

Kesempurnaan Islam tidak boleh diamalkan tanpa politik bagi mentadbir dan mengurus pelaksanaannya. Firman Allah SWT:

﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ٢٠٨﴾ 

“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kalian ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kalian menuruti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kalian.” (Surah al-Baqarah: 208)

Betapa banyaknya hukum-hukum Allah yang meletakkan syarat pelaksanaannya dengan wujudnya politik serta sebuah kerajaan berdaulat yang mentadbir dan menguruskannya. Maka, ulama’ meletakkan perbahasannya dalam satu kaedah hukum yang terkenal:

‌مَا ‌لَا ‌يَتِمُّ ‌الْوَاجِبُ ‌إلَّا ‌بِهِ ‌فَهُوَ ‌وَاجِبٌ.

“Apa-apa hukum wajib yang tidak dapat disempurnakan melainkan dengan adanya, maka hukum adanya juga menjadi wajib.” (Al-Ghazali, al-Mustasfa, 217)

Imam al-Ghazali RH seorang tokoh ulama’ yang terkenal dalam bidang tasawuf pernah menegaskan kata-katanya yang terkenal dalam tulisannya berkenaan politik:

‌الدِّينُ ‌أُسٌّ وَالسُّلْطَانُ حَارِسٌ وَمَا لَا أُسَّ لَهُ فَمَهْدُومٌ وَمَا لَا حَارِسَ لَهُ فَضَائِعٌ.

“Agama (Islam yang disebut al-Din) menjadi asas, manakala kuasa pemerintahan (politik) menjadi pengawas. Maka, perkara yang tidak berasas nescaya akan runtuh, dan perkara yang tiada pengawas akan hilang.” (Al-Ghazali, al-Iqtisad fi al-I‘tiqad, ms. 128)

Apa yang disebutkan di atas menghuraikan amaran yang pernah dinyatakan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya:

لَتُنْقَضَنَّ ‌عُرَى ‌الْإِسْلَامِ ‌عُرْوَةً ‌عُرْوَةً، فَكُلَّمَا انْتَقَضَتْ عُرْوَةٌ تَشَبَّثَ النَّاسُ بِالَّتِي تَلِيهَا، وَأَوَّلُهُنَّ نَقْضًا الْحُكْمُ وَآخِرُهُنَّ الصَّلَاةُ.

“Demi sesungguhnya akan berlaku, dirungkai (dirombak) ikatan ajaran Islam (yang teguh) satu demi satu. Maka, apabila setiap satunya dirombak menjadikan para penganut Islam berpegang dengan simpulan berikutnya (yang masih ada). Simpulan pertama yang dirombak ialah (pelaksanaan) hukum Islam dan simpulan terakhir yang dirombak ialah (pelaksanaan) solat.” (Riwayat Ahmad 22160, Ibn Hibban 6715 dan lain-lain dengan sanad yang baik)

Perkara yang sedemikian berlaku apabila politik dihilangkan daripada Islam, sehingga tumbangnya sebuah kerajaan yang mendaulatkan Islam, lalu dikuasai oleh penjajah dan ideologinya. Walaupun dikatakan sudah beroleh kemerdekaan dan mampu memerintah sendiri, tetapi kebanyakan hukum Islam telah dilupakan oleh umat Islam dan mereka jahil berkenaannya.

Syeikh Mustafa Sabri RA (Syaikhul Islam atau Mufti Kerajaan Turki ‘Uthmaniyyah) menegaskan dalam tulisannya berkenaan langkah Kamal Ataturk yang menegakkan sekularisme di Turki setelah menjatuhkan Khilafah ‘Uthmaniyyah. Katanya:

“Sesungguhnya langkah memisahkan politik daripada agama merupakan jalan pintas paling dekat kepada penyelewengan daripada agama Islam.” (Mawqif al-‘Aql wa al-‘Ilm wa al-‘Alam)

Apa yang dikatakan sebagai langkah memajukan Turki dengan meninggalkan Islam adalah suatu pembohongan, apabila Turki jatuh menjunam daripada kedudukan kuasa besar dunia kepada sebuah negara yang lemah. Seterusnya diikuti dengan penjajahan dan pembahagian tanah air Islam oleh kalangan negara-negara penjajah.

Kesannya sehingga hari ini, negara umat Islam masih berada pada tahap negara yang lemah dan dipecahkan di bawah pengaruh kuasa besar yang menjajah dengan bentuk penjajahan baharu (neokolonialisme). Walaupun Allah SWT mengurniakan hasil bumi yang melimpah ruah, penduduk manusia yang ramai dan kedudukan yang terbaik dalam peta dunia, namun tetap tidak berjaya untuk bangkit semula menjadi umat yang hebat dan perkasa.

Keadaan ini membuktikan amaran yang dikatakan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya:

يُوشِكُ ‌الْأُمَمُ ‌أَنْ ‌تَدَاعَى ‌عَلَيْكُمْ كَمَا تَدَاعَى الْأَكَلَةُ إِلَى قَصْعَتِهَا.

“Akan tiba masanya seluruh manusia akan mengerumuni kalian, laksana mengerumuni hidangan pada bekasnya.” 

فَقَالَ قَائِلٌ: وَمِنْ قِلَّةٍ نَحْنُ يَوْمَئِذٍ؟ 

Lalu seorang sahabat bertanya: “Adakah kerana jumlah (bilangan kita) pada masa itu adalah sedikit?”

قَالَ: بَلْ أَنْتُمْ يَوْمَئِذٍ كَثِيرٌ، وَلَكِنَّكُمْ غُثَاءٌ كَغُثَاءِ السَّيْلِ، وَلَيَنْزَعَنَّ اللَّهُ مِنْ صُدُورِ عَدُوِّكُمُ الْمَهَابَةَ مِنْكُمْ، وَلَيَقْذِفَنَّ اللَّهُ فِي قُلُوبِكُمُ الْوَهْنَ.

Sabda Rasulullah SAW: “Bahkan jumlah kalian ramai, tetapi laksana sampah dan buih yang dihanyutkan oleh air banjir. Allah mencabut kehebatan kalian yang dirasakan oleh musuh dalam dada mereka dan dicampakkan ke dalam diri kalian penyakit wahan (lemah dan hina).”  

فَقَالَ قَائِلٌ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَمَا الْوَهْنُ؟

Kemudian salah seorang sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah! Apakah rupa penyakit itu?”  

قَالَ: حُبُّ الدُّنْيَا، وَكَرَاهِيَةُ الْمَوْتِ.

Sabda Rasulullah SAW: “Terlalu cintakan dunia (sehingga tamak dan rakus) dan terlalu takutkan mati.” (Riwayat Abu Dawud 4297 dan Ahmad 22397)

Umat Islam tidak menjadi umat yang berjuang menyahut seruan Allah SWT agar menegakkan Islam pada kedudukan tertinggi dan mengatasi segala ajaran yang lain. Sebagaimana firman Allah SWT:

﴿هُوَ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ٩ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا هَلْ أَدُلُّكُمْ عَلَىٰ تِجَارَةٍ تُنجِيكُم مِّنْ عَذَابٍ أَلِيمٍ١٠ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَتُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ١١ يَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَيُدْخِلْكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ وَمَسَاكِنَ طَيِّبَةً فِي جَنَّاتِ عَدْنٍ ۚ ذَٰلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ١٢ وَأُخْرَىٰ تُحِبُّونَهَا ۖ نَصْرٌ مِّنَ اللَّهِ وَفَتْحٌ قَرِيبٌ ۗ وَبَشِّرِ الْمُؤْمِنِينَ١٣﴾

“Dialah yang mengutuskan Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar, agar Dia memenangkannya atas segala agama-agama, meskipun orang Musyrik membenci dirinya. Wahai orang-orang yang beriman, mahukah kalian Aku tunjukkan kepada kalian sesuatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kalian daripada azab yang pedih? (10); (Iaitu) kalian beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad pada jalan Allah dengan harta dan jiwa kalian. Itulah yang lebih baik bagi kalian, jika kalian mengetahui. (11); Nescaya Allah akan mengampuni dosa-dosa kalian dan memasukkan kalian ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; dan (memasukkan kalian) ke tempat tinggal yang baik di dalam syurga ‘Adn. Itulah kemenangan yang besar. (12); Dan (ada lagi) kurniaan lain yang kalian sukai (iaitu) pertolongan daripada Allah dan kemenangan yang dekat (waktunya). Dan sampaikanlah berita yang menggembirakan itu kepada orang-orang yang beriman. (13).” (Surah al-Saff: 9-13)

Secara tegasnya, ramai dalam kalangan umat Islam meninggalkan kewajipan berpolitik dan menyerahkan kuasa kepada pihak lain. Sehingga menyebabkan tanah air mereka dijajah secara langsung atau tidak langsung. Malah, mengakibatkan Islam itu dihina di hadapan mata mereka tanpa apa-apa perasaan dan tanpa sedar mereka telah diperhambakan oleh musuh Islam.

Allah SWT memberikan amaran kepada sesiapa sahaja dalam kalangan umat yang tidak bangkit menegakkan Islam dengan firman-Nya:

﴿هَا أَنْتُمْ هَؤُلَاءِ تُدْعَوْنَ لِتُنْفِقُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَمِنْكُمْ مَنْ يَبْخَلُ وَمَنْ يَبْخَلْ فَإِنَّمَا يَبْخَلُ عَنْ نَفْسِهِ وَاللَّهُ الْغَنِيُّ وَأَنْتُمُ الْفُقَرَاءُ وَإِنْ تَتَوَلَّوْا يَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ ثُمَّ لَا يَكُونُوا أَمْثَالَكُمْ٣٨﴾

“Ingatlah, kalian ini orang-orang yang diajak untuk menafkahkan (harta) pada jalan Allah. Maka antara kalian ada yang bersikap bakhil, dan siapa yang bakhil sesungguhnya dia hanyalah bakhil terhadap dirinya sendiri. Dan (ingatlah) Allah itu Maha Kaya sedangkan kalian semua adalah orang-orang yang berkehendak (kepada-Nya); dan jika kalian berpaling (tanpa peduli kepada urusan untuk menegakkan Islam), nescaya Dia akan menggantikan (kalian) dengan kaum yang lain; dan mereka tidak akan berkeadaan seperti kalian.” (Surah Muhammad: 38)

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 18 Safar 1443 / 26 September 2021