Home Melaka

Pena editor Melaka | PRN Melaka, masih belum jelas perjalanan norma baharunya

103
SHARE

ISNIN lepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah membuat sidang media berkaitan proses perjalanan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke 15. Namun SPR tidak panggil PRN. Mereka panggil Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

Penulis hadir di dalam sidang media tersebut membuat liputan untuk laporan berita. Banyak juga perkara berkaitan dengan PRN ini yang diumumkan SPR itu yang meleset daripada apa yang ada di dalam kotak fikiran penulis.

Yang pertama sekali penulis fikir ia akan dibuat dengan mengambil tarikh paling hujung iaitu sekitar 4 atau 5 Disember mengambil kira tarikh 60 hari daripada pembubaran pada 5 Oktober. Namun SPR memilih 20 November sebagai tarikh membuang undi.

Maksud penulis lebih jauh jaraknya kemungkinan lebih berkurang risiko merebaknya Covid-19 mengambil kira trend penurunan yang sedang berlaku sekarang. Namun sangkaan penulis meleset.

Yang kedua penulis fikir masa berkempen mungkin dipanjangkan dengan andaian mungkin ada prosedur operasi standard (SOP) kempen yang ketat menyebabkan kekangan berkempen. Jadi kerana kekangan itu, masa yang lama diperlukan untuk berkempen. Atau kita panggil biar lambat asal selamat.

Namun masa berkempen yang ditetapkan SPR semalam hampir sama dengan kebiasaan iaitu selama 12 hari. Meleset lagi sangkaan penulis.

Yang ketiga penulis menjangkakan hari membuang undi akan dipanjangkan berbanding satu hari kebiasaannya. Penulis menjangkakan mungkin berlanjutan hingga dua hari bagi mengelakan kesesakan di pusat pengundian.

Atau pun pusat mengundi akan diperbanyakkan. Sebagai contoh setiap kampung ada pusat mengundi di balai raya masing-masing. Jadi pengundi tidaklah perlu bersesak-sesak dalam proses pengundian. Namun ia memerlukan lebih ramai tenaga kerja. Namun perkara ini juga tidak berlaku.

Cuma yang nampak berbeza sedikit ialah jangkamasa yang bertambah setengah jam iaitu dari jam 8.00 pagi hingga 5.30 petang berbanding sehingga jam 5.00 petang pada kebiasaannya. Namun hanya setengah jam sahaja tambahan masa.

SPR pada sidang media itu juga belum lagi memaklumkan apa-apa SOP yang akan ditetapkan untuk PRN kali ini. Parti-parti politik sangat tertunggu-tunggu untuk tahu apa yang boleh dan apa yang tidak boleh untuk berkempen pada PRN ini.

Kita juga tidak dapat menafikan bahawa rakyat sangat gusar dan marah apabila PRN ini berlaku. Bukan marah pada SPR, tapi marah kepada ahli-ahli politik yang menyebabkan krisis politik ini berlaku.

Sebab itu kita bimbang tidak ramai pengundi yang akan keluar mengundi pada PRN ini kerana mereka bimbang dengan keselamatan mereka.

Penulis percaya SPR akan mengumumkan SOP PRN dalam jangkamasa terdekat. Namun semua pihak sangat berharap agar ada prosedur yang jauh lebih ketat daripada apa yang berlaku pada PRN Sabah tahun lepas. Jangan pertaruhkan nyawa rakyat.

IBNU JANIE
EDITOR
Berita PAS Melaka dan WARM