Home Berita PAS Melaka

Pena Editor Melaka : PAS jadi jarum jahit yang menyatukan.

517
SHARE

SEMALAM Facebook rasmi Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang ada memuatnaik gambar beliau bersama dengan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden UMNO, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan caption “Kita berjaya menyatukan ketiga-tiga parti, kita tidak boleh berpisah dengan Umno, tak boleh berpisah dengan Bersatu.”

Hantaran tersebut jelas menunjukkan komitmen tidak berbelah-bahagi PAS terhadap usaha penyatuan Melayu dan Islam tanpa syarat dan tanpa ada maksud tersirat atau kepentingan politik. Ia adalah menifestasi dari rasa persaudaraan dan kasih sayang sesama Islam yang sangat mendalam.

Akhir-akhir ini terlalu banyak teori-teori politik yang dicanangkan oleh pakar-pakar kaji politik yang mengeluarkan teori-teori yang cuba untuk memecahkan usaha penyatuan orang Melayu yang selama ini menjadi impian PAS.

Dalam kita bermain dengan bermacam-macam teori yang nampak seperti ada kebenarannya kita lupa bahawa kebanyakan teori itu sebenarnya dibuat oleh musuh-musuh kita yang benci melihat orang Melayu bersatu padu.

Jika kita terikut-ikut dengan teori-teori busuk ini maka akhirnya impian untuk melihat parti-parti Melayu bersatu akan menjadi cerita dongeng.

Alhamdulillah, setakat ini PAS adalah parti paling komited untuk melihat perpaduan Melayu ini menjadi kenyataan. PAS telah mengambil sikap melupakan segala perselisihan yang panjang dengan Umno dahulu demi perpaduan Melayu Islam.

Komitmen PAS terhadap perpaduan Melayu jelas dan nyata. Sekali pun pemimpin-pemimpin atau ahli-ahli Amanah ingin bersama-sama dengan PAS pun PAS tidak ada masalah untuk menerima mereka. Yang PAS tidak boleh terima cuma DAP.

Jika kita masih bermain dengan nostalgia rasa marah dan dendam maka orang Melayu tidak akan ke mana-mana. Kita akan jadi orang Melayu yang duduk ditakuk lama dengan cerita lama dan mentaliti lama.

Yang penting kita jangan termakan racun yang dimainkan oleh musuh-musuh orang Melayu yang sedang bekerja keras agar PAS, Umno dan Bersatu berpecah. Jika ini terjadi mereka bukan sahaja bertepuk tangan, tapi mereka akan ketawa berguling-guling di atas tanah.

Ramai yang berpandangan bahawa orang Melayu memang tak boleh bersatu kerana banyak pemimpin Melayu yang mempunyai kepentingan peribadi. Itu orang kata.

Dan di tangan orang Melayu sendirilah terletaknya kuasa untuk membuktikan apa yang mereka kata itu salah atau kita sendiri yang terpaksa mengakui sampai kiamat orang Melayu tidak akan boleh bersatu.

IBNU JANIE
Editor Berita PAS Melaka
Lajnah Penerangan Dan Media Baharu
PAS Melaka


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)