Home Melaka

Pena editor Melaka | Kebenaran pramugari tutup aurat – adakah kita sudah gila?

424
SHARE

BARU-BARU ini Ahli Dewan Negara daripada PAS, Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff semasa membahaskan Rang Undang-Undang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan menggesa agar pramugari dibenarkan untuk memakai pakaian menutup aurat semasa bertugas.

Gesaan ini agar pramugari Muslim dibenarkan menutup aurat, bukan untuk mewajibkan semua pramugari menutup aurat. Dan ia digesa untuk dilaksanakan di Malaysia Airlines dahulu sebagai sebuah syarikat milik kerajaan.

Sekali pandang seperti satu perkara biasa. Tetapi cuba kita teliti betul-betul situasi ini. Apabila kita terpaksa merayu kerajaan agar membenarkan pramugari Muslim menutup aurat ia adalah sesuatu yang pelik dan terbalik.

Kalau saya kata ‘ibu bapa perlu meminta izin daripada anak-anak untuk keluar rumah’; seorang pekerja harus memberi gaji kepada majikannya’; ‘tanggungjawab seorang murid adalah mendidik gurunya’; ‘seorang bos perlu mematuhi arahan pekerjanya’, pasti orang kata saya gila.

Tetapi apabila umat Islam di sebuah negara Islam terpaksa merayu kepada kerajaan yang Perdana Menterinya Islam agar dibenarkan pramugari Muslim untuk menutup aurat adalah sesuatu yang maha gila dan tidak masuk akal!

Sepatutnya daripada awal lagi pramugari Muslim harus diberi kebenaran untuk menutup aurat. Bukannya terpaksa merayu seperti pengemis di negara sendiri untuk melaksanakan tuntutan agamanya sendiri.

Kredit foto : Malaysia Airlines Website

Sangat pelik dengan negara Islam bernama Malaysia yang ditadbir oleh orang Islam semenjak merdeka dan sehingga hari ini tahun 2021 ini apabila kita terpaksa meminta izin agar pramugari dibenarkan menutup aurat!

Agaknya di negara India sana adakah wujud hak-hak penganut agama Hindu disekat sehingga mereka merayu agar diberi kebenaran untuk melaksanakannya?

Agaknya di negara Amerika Syarikat sana adakah wujud hak-hak penganut Kristian disekat sehingga mereka merayu agar diberi kebenaran untuk melaksanakannya?

Di era 80an dahulu seingat saya ada seorang kakitangan kerajaan dibuang kerja kerana memakai purdah. Kes ini dilawan di mahkamah. Saya tak ingat apa keputusannya.

Tetapi pada masa itu alasan mengapa pekerja itu diambil tindakan kerana isu keselamatan. Seseorang kakitangan kerajaan memakai purdah menyebabkan dia sukar dikenali boleh menjurus kepada penyamaran dan kesukaran untuk dikenalpasti. Ironinya sekarang ini semua orang tidak kira lelaki perempuan sudah wajib memakai purdah.

Sebelum ini pun ada isu doktor bedah tidak boleh memakai tudung. Tujuannya adalah isu kesihatan bagi menjamin kebersihan di dalam bilik bedah yang mungkin boleh membahayakan nyawa pesakit.

Sekarang ini apa sebabnya pramugari tidak boleh menutup aurat? Adakah kerana ia boleh membahayakan penumpang atau boleh menyebabkan pesawat terhempas? Nah, apa alasan pramugari dilarang dari menutup aurat?

Ketika pramugari-pramugari ini bertugas dalam pesawat tempahan khas untuk jemaah haji boleh pula mereka menutup aurat. Tidak ada pula pesawat jemaah haji yang terhempas kerana pramugari menutup aurat.

Malah banyak syarikat-syarikat penerbangan daripada negara Islam lain seperti Brunei dan Indonesia pramugari mereka boleh menutup aurat. Jadi apa masalahnya?

Dan ada pula pemimpin-pemimpin politik yang mengaku beragama Islam yang memperlekehkan gesaan ini seolah-olah ia sesuatu yang remeh. Alasan cliche mereka kununnya ‘di saat rakyat sedang susah PAS sibuk nak suruh orang tutup aurat’.

Adakah menutup aurat ini jika kita berada dalam keadaan senang-lenang sahaja? Adakah kita dalam kesusahan kita tidak perlu menutup aurat? Manusia jenis apa ini yang mengaku Islam, tetapi cara bercakap macam orang tak kenal Islam?

Kita tahu wujudnya kumpulan orang bukan Islam yang ekstrem yang suka mempertikaikan hak orang Islam. Golongan ini sebenarnya tidak ramai, namun ia diramaikan dengan orang-orang Islam yang menjadi pengampu kepada golongan ini untuk menjadi juara dan menunjukkan seolah-olah mereka seorang bertimbang-rasa terhadap golongan ini.

Sampai bila kita perlu memperjuangkan hak pramugari Muslim untuk menutup aurat ini? Adakah kita umpama beberapa orang yang waras di tengah-tengah kelompok majoriti yang gila? Jadi orang gila akan mengatakan orang gila itu yang waras, dan orang yang waras itu dikatakan gila.

IBNU JANIE
Editor
Berita PAS Melaka dan WARM