Home Melaka

Pena editor Melaka | Jangan bersedih gagal satukan parti Melayu

206
SHARE

SEMALAM Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man melahirkan kesedihan kerana gagal membawa Umno untuk bersama-sama dalam satu pasukan menentang PH pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang bakal bermula minggu hadapan.

Penulis turut bersedih. Namun apa boleh buat, itu kehendak Umno sendiri. Bagi penulis yang penting kita sudah berusaha. Namun kita tidak mampu memaksa mereka untuk berkongsi dalam satu pasukan bersama-sama dengan Bersatu dan Perikatan Nasional.

Penulis sebenarnya sangat terkejut apabila pengumuman calon yang dibuat oleh BN semalam yang membenarkan ura-ura bahawa Umno memang tidak mahu berpakat bersama-sama dengan PAS.

Beberapa hari sebelum ini pun media-media ada melaporkan bahawa BN akan bertanding di semua kawasan. Namun penulis sangka ia hanya andaian media, rupanya ia kenyataan.

Bagi penulis PAS dan Perikatan Nasional harus terus ke depan menghadapi PRN ini walau pun terpaksa bertembung tiga penjuru.

Penulis yakin insya-Allah Perikatan Nasional akan memenangi PRN ini atas imej sebuah parti yang bersih. Calon-calon yang diketengahkan juga berkaliber, bersih dan tidak terpalit dengan apa-apa isu integriti atau skandal.

Rakyat sekarang sudah bijak memilih. Mereka sudah tidak boleh lagi berkompromi dengan mana-mana parti yang dilihat tidak jujur dan menyelewengkan amanah yang pernah diberi.

Isu integriti dijangka akan menjadi pokok utama faktor pengundi memangkah seseorang calon. Tidak ada lagi parti yang memiliki status quo pada masa ini yang mampu mendapat undi ‘deposit tetap’. Strategi ugutan dan paksaan yang sering berlaku pada masa dulu-dulu juga tidak lagi boleh diterima rakyat.

Rakyat kini sudah bebas sebebas-bebasnya memilih calon dan parti yang mereka mahu pangkah tanpa takut seperti dulu-dulu.

Dan penulis percaya Perikatan Nasional adalah pilihan rakyat pada masa ini berdasarkan prestasi parti gabungan ini dalam pentadbiran kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini yang berjaya mengurangkan penularan wabak Covid-19.

IBNU JANIE
Editor
Berita PAS Melaka dan WARM