Home Rencana PAS Melaka

Pena editor Melaka | Isu judi, rupanya PH nak PAS keluar daripada kerajaan

623
SHARE

PATUTLAH sibuk menyalak-nyalak PH akhir-akhir ini sebab isu cabutan judi 22 kali. Rupanya mereka mahu supaya PAS keluar daripada kerajaan. Lepas tu kerajaan akan runtuh maka bolehlah DAP berkuasa semula.

Sebenarnya ada dua perkara yang PH harap PAS akan lakukan dalam isu ini iaitu samada PAS tinggalkan kerajaan atau PAS keluarkan fatwa judi jadi halal!

Namun PAS tidaklah sebodoh itu! PAS tidak menari mengikut gendang yang dipalu oleh PH. Sementelah PAS pun bukan kaki joget.

Mereka mengharapkan PAS akan mengeluarkan fatwa untuk menghalalkan pula judi. Mereka silap. PAS bukan pak turut macam Melayu dalam PH yang angguk bila disuruh angguk dan geleng bila disuruh geleng oleh DAP.

PAS bukan menguasai kerajaan. PAS ada tiga menteri penuh sahaja berbanding 32 jumlah Menteri Kabinet Malaysia sekarang. Tak sampai sepuluh peratus pun. Sudahlah jumlahnya sedikit, tidak pula diberi portfolio yang penting seperti parti-parti lain. Lainlah kalau Perdana Menteri daripada PAS.

Namun PAS tetap dengan setiakawan dan percaya bahawa parti-parti lain dalam kerajaan boleh didakwah agar memahami konsep Islam sebenarnya, bukan semata-mata dengan protes keluar kerajaan. Orang bergaduh suami isteri pun tidak terus bercerai. Cari dahulu jalan penyelesaian.

PAS juga bukan jenis parti yang mengambil kesempatan daripada kelemahan sokongan kerajaan sekarang di parlimen untuk mengugut-ugut keluar kerajaan seperti sesetengah parti lain. PAS menghormati setiakawan.

Menteri-menteri yang berkaitan dengan kelulusan cabutan judi 22 kali ini pula haruslah mendengar desakan yang dibawa oleh PAS terhadap isu ini.

Takkan kita tak malu dengan DAP yang pada masa pemerintahan mereka pun hanya membenarkan lapan cabutan sahaja? Penatlah macam ni kalau dalam soal perkara yang terkait dengan isu moral seperti judi ini DAP pula yang jadi juara!

Tidak bolehlah kita jadi lebih teruk daripada DAP. Kalau faham tu ambillah tindakan. Jangan buat keras saja. Segeralah batalkan kelulusan itu!

Bukan satu kerja mudah untuk membawa Islam sebenar ke dalam negara yang sudah beratus tahun dijajah orang putih dan merdeka pula dengan menganut sekular sebagai akidah politik kebanyakan parti yang wujud di Malaysia.

Setakat ini PAS satu-satunya parti dalam kerajaan yang mendesak tentang isu ini. Dan PAS tidak akan putus asa walau pun ia sangat sukar untuk dilakukan. Tetapi PAS tidak akan melakukan sesuatu sehingga memberi peluang DAP berkuasa. Jangan mimpilah!

IBNU JANIE
Editor
Berita PAS Melaka dan WARM

PENGUMUMAN KHAS JKN MELAKA

JKN Melaka telah mengumumkan bahawa bermula 30 Ogos individu di Negeri Melaka yang berusia 50 tahun ke atas yang belum mendapat tarikh temujanji dalam aplikasi Mysejahtera boleh melakukan ‘walk in’ ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam seperti di infografik dari jam 8.00 pagi hingga 1 tengahari.

Seramai maksimum 50 orang individu boleh melakukan ‘walk ini’ pada setiap hari di setiap PPV.

Namun bagi individu yang telah menerima tarikh temujanji, jabatan itu menasihatkan mereka agar patuh tarikh temujanji yang telah diberi.