Home Berita PAS Melaka

Pena editor Melaka | Akar umbi Melayu mahu semua parti Melayu bersatu lawan DAP-PH

546
SHARE

BARU-BARU ini saya sempat berbual dengan seorang lelaki Melayu separuh usia yang mempunyai impian yang sangat tinggi. Dia mahu lihat orang Melayu kukuh bersatu padu sebelum dia menutup mata.

“Pakcik ni dah 70 tahun. Pakcik dah lama tengok orang Melayu ni berpecah-belah. Pakcik dari dulu lagi memang sokong kerajaan Melayu.

“Dari dulu pakcik sokong (parti) kerajaan. Pakcik tak kisah asalkan Melayu. Kerajaan DAP-PH pakcik tak sokong.

“Dulu PAS bergaduh dengan Umno. Siang malam bergaduh. Tak habis-habis. Tapi sekarang alhamdulillah, dah bersatu.

“Pakcik tak suka tengok orang Melayu berpecah-belah. Sekarang ni kita ada kerajaan Melayu bawah Perdana Menteri kita Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Pakcik harap semua parti-parti Melayu ni bersatulah. Jangan bergaduh lagi. Umno, Bersatu, PAS jangan bergaduh lagilah. Nanti yang untung DAP. Nak bagi DAP memerintah lagikah?”

Ini luahan seorang pakcik tua yang tidak tahu apa itu erti sepak terajang politik. Dia tidak faham siapa abang besar siapa abang kecil; dia tidak faham apa itu berebut kerusi;

Dia tidak faham apa itu parti dominan; dia tidak faham soal parti mana yang layak jadi Perdana Menteri; Dia tidak faham parti mana yang patut bertanding di sana di sini. Dia tidak faham semua itu.

Dia tidak faham dan tidak tahu semua itu. Yang dia tahu dia mahu melihat orang Melayu bersatu padu. Dia pegang tangan saya. Mata dia bergenang.

“Pakcik taknak nanti sebab kita orang Melayu berebut nak jadi Perdana Menteri akhirnya kita berpecah. Jangan sampai satu masa nanti sebab kita berpecah Lim Guan Eng tiba-tiba dapat jadi Perdana Menteri!

“Kau kenal orang-orang atas ni? Kau tolong sampaikanlah pada dia orang, orang Melayu ni ramai atas pagar tapi sokong kerajaan orang Melayu. Kami ni taknak tengok Melayu berpecah lagi,” rayu pakcik tua itu pada saya.

PAS janji akan satukan semua

Saya katakan padanya bahawa PAS insya-Allah akan terus berusaha agar semua parti ini dapat bersatu menjelang Pilihan Raya Umum ke 15. Kami mahu kalau boleh parti Amanah pun dapat bersama-sama dengan kita kalau mereka sanggup meninggalkan DAP.

Saya katakan pada pakcik itu bahawa bukan mudah untuk menyatukan orang-orang politik yang masing-masing ada niat tertentu. Bukan semua ikhlas.

Perbualan saya dengan pakcik tua ini adalah satu contoh betapa sucinya harapan akar umbi Melayu (bukan akar umbi parti-parti politik) yang sangat ingin melihat orang Melayu bersatu membentuk kerajaan yang kuat bersama-sama dengan rakan-rakan bukan Melayu yang lain yang tidak ekstrem.

Mereka sangat bimbang sekiranya perbalahan di antara parti-parti politik Melayu ini akhirnya akan menyebabkan orang Melayu akan kalah, hidup terbangsat di bawah tapak kaki DAP.

“Agaknya jadi pembangkang 22 bulan hari tu tak rasa insaf agaknya? Nak sampai jadi pembangkang sepuluh tahunkah baru nak insaf?” soal pakcik tua itu lagi.

Sebenarnya di luar sana ada ramai orang-orang Melayu yang duduk di posisi atas pagar yang sangat ingin melihat orang Melayu menjadi kuat dan memerintah negara ini dengan majoriti yang selesa.

Janganlah kita menghampakan impian mereka dengan politik sempit dan menjaga kepentingan peribadi kita semata-mata dan tidak mahu bertolak ansur sehingga kita umpama membunuh diri dengan bertanding tiga penjuru dalam PRU15 akan datang.

Jika berlaku pertandingan tiga penjuru DAP-PH akan menang dan memerintah kita semua. Dengarlah luahan akar umbi Melayu. Marilah kita bersatu dalam tawaran baharu terbaik untuk orang Melayu PERIKATAN NASIONAL (PN).

IBNU JANIE
EDITOR
Berita PAS Melaka dan WARM
Jabatan Penerangan PAS Melaka.

 

 

 

AKIKAH MAKKAH EMRANSYAH

 

.         SAMBAL IBU SARI         .